Negara
Brunei Darussalam merupakan Negara Islam yang sentiasa beriltizam dalam
mengembangkan syiar Islam di bawah kepimpinan seorang raja yang berdaulat, yang
sentiasa menitikberatkan prinsip ajaran Islam dan hukum-hukum Allah subhanahu
wa Ta’ala dengan bersandarkan Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan bermazhabkan Imam
asy-Syafi’e. Melayu Islam Beraja pula merupakan unsur kehidupan bagi rakyat di
Negara Brunei Darussalam. Islam dalam konteks Melayu Islam Beraja merupakan
pengukuhan, kerana Islam merupakan “ad-Din” sebagai cara hidup yang lengkap dan
sempurna, agama yang hanya diakui oleh Allah subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana
firmanNya dalam surah al-Maa’idah ayat 3:
وَرَضِيتُ
لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Terjemahannya:
“Dan Aku telah meredhai bagi kamu Islam sebagai agama (kamu)”
Justeru
itu, sebagai seorang hamba Allah dan rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan
seorang raja yang dikasihi, maka hendaklah sentiasa diingat serta sematkan di
hati dan jiwa raga kita betapa baginda seorang raja dan khalifah Allah menjadi
wakilNya di muka bumi ini yang wajib kita taati.
Ibnu
khaldun rahimahullah menjelaskan tentang khalifah yang membawa maksud raja
dengan berkata:”pada hakikatnya khalifah adalah sebagai pengganti pemilik
syara’ dalam urusan menjaga agama dan mengurus (mentadbir) dunia
berdasarkannya.”
Ungkapan
”khalifah adalah sebagai pengganti pemilik syara” menjelaskan bahawa
seorang raja adalah berperanan dalam memelihara semua aspek kehidupan
masyarakat sebagaimana yang dikehendaki agama. Oleh kerana itu, raja adalah
penguasa yang wajib ditaati. Di dalam al-Quran Allah subhanahu wa Ta’ala telah
berfirman dalam menjelaskan bahawa raja adalah Ulil Amri (أولى الأمر) yang dianugerahkan
oleh Allah subhanahu wa Ta'ala kekuasaan atau kedaulatan untuk melaksanakan
peranan yang diamanahkan kepadanya, sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala
dalam surah an-Nisaa’ ayat 59 yang terjemahannya:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada Ulil amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan
kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara
maka kembalilah kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu
benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih
baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”
Manakala
dalam sebuah hadits pula ada menyebutkan bahawa Sultan adalah payung Allah di muka
bumi ini yang wajib kita hormati dan muliakan. Ini telah dijelaskan dalam
sebuah hadits riwayat Imam al-Baihaqi, daripada Abu Bakrah katanya: saya
mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
اَلسُّلْطَانُ
ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ ، وَمَنْ أَهَانَهُ
أَهَانَهُ اللهُ
Maksudnya: “Sultan
adalah payung Allah di bumi, siapa yang menghormati sultan, maka Allah akan
menghormatinya, dan siapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.”
والله أعلم بالصواب