Wednesday, July 12, 2017

TAAT KEPADA ULIL AMRI



Negara Brunei Darussalam merupakan Negara Islam yang sentiasa beriltizam dalam mengembangkan syiar Islam di bawah kepimpinan seorang raja yang berdaulat, yang sentiasa menitikberatkan prinsip ajaran Islam dan hukum-hukum Allah subhanahu wa Ta’ala dengan bersandarkan Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan bermazhabkan Imam asy-Syafi’e. Melayu Islam Beraja pula merupakan unsur kehidupan bagi rakyat di Negara Brunei Darussalam. Islam dalam konteks Melayu Islam Beraja merupakan pengukuhan, kerana Islam merupakan “ad-Din” sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna, agama yang hanya diakui oleh Allah subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Maa’idah ayat 3:
وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Terjemahannya: “Dan Aku telah meredhai bagi kamu Islam sebagai agama (kamu)”

Justeru itu, sebagai seorang hamba Allah dan rakyat yang bernaung di bawah kepimpinan seorang raja yang dikasihi, maka hendaklah sentiasa diingat serta sematkan di hati dan jiwa raga kita betapa baginda seorang raja dan khalifah Allah menjadi wakilNya di muka bumi ini yang wajib kita taati.

Ibnu khaldun rahimahullah menjelaskan tentang khalifah yang membawa maksud raja dengan berkata:”pada hakikatnya khalifah adalah sebagai pengganti pemilik syara’ dalam urusan menjaga agama dan mengurus (mentadbir) dunia berdasarkannya.”
Ungkapan ”khalifah adalah sebagai pengganti pemilik syara” menjelaskan bahawa seorang raja adalah berperanan dalam memelihara semua aspek kehidupan masyarakat sebagaimana yang dikehendaki agama. Oleh kerana itu, raja adalah penguasa yang wajib ditaati. Di dalam al-Quran Allah subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam menjelaskan bahawa raja adalah Ulil Amri (أولى الأمر) yang dianugerahkan oleh Allah subhanahu wa Ta'ala kekuasaan atau kedaulatan untuk melaksanakan peranan yang diamanahkan kepadanya, sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala dalam surah an-Nisaa’ ayat 59 yang terjemahannya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Manakala dalam sebuah hadits pula ada menyebutkan bahawa Sultan adalah payung Allah di muka bumi ini yang wajib kita hormati dan muliakan. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Baihaqi, daripada Abu Bakrah katanya: saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
اَلسُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ
Maksudnya: “Sultan adalah payung Allah di bumi, siapa yang menghormati sultan, maka Allah akan menghormatinya, dan siapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.”

والله أعلم بالصواب

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan