Monday, August 07, 2017

HAJI ADALAH IBADAH JIHAD TANPA PEPERANGAN



Hadits riwayat Ibnu Majah daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ ؟ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya:
“Ya Rasulullah, apakah wanita wajib berjihad?” Baginda menjawab: “Ya, jihad yang tanpa ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah.”

Ramai yang mengetahui tentang kalimah “jihad” tetapi kurang yang mengerti makna perkataan “jihad” dalam perspektif Islam. Jihad  bukanlah setakat peperangan semata-mata tetapi ianya adalah satu perbuatan memerangi musuh-musuh ataupun sesuatu yang ingin menghancurkan agama, masyarakat, kebudayaan, pegangan, akidah Islam dan sebagainya dengan hanya bertujuan menegakkan agama dan berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sekiranya ia memerangi tanpa tujuan mempertahankan Islam ataupun di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-semata, maka ianya bukan dinamakan “Jihad” akan tetapi ianya hanya menjadi peperangan yang menurut hawa nafsu, harta benda dan kuasa.

Jihad bukan sahaja pada peperangan sama musuh semata-mata, akan tetapi Jihad juga sesuatu perbuatan atau usaha bagi memerangi hawa nafsu mahupun dalam perjalanan melakukan ibadah di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya juga dikatakan jihad.

Salah satu antara melakukan jihad tanpa ada melakukan peperangan atau penumpahan darah di dalamnya ialah mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Hukumnya wajib dilakukan oleh setiap umat Islam yang mukallaf yang ada kemampuan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah A-li Imraan ayat 97:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Tafsirnya:
Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.

Mampu dan berkuasa disini bermaksud mampu dari segi perbelanjaan untuk pergi dan balik dan berkuasa iaitu mempunyai badan yang sihat wal’afiat untuk mengerjakan ibadah haji.

Ibadah Haji disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan pahala jihad fi sabilillah kerana apabila seseorang itu meninggal dunia sewaktu menunaikan ibadah tersebut, kematiannya itu tergolong dalam golongan yang mati syahid.

Hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya:
“Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal karena penyakit ta’un, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang meninggal kerana tertimpa keruntuhan, dan orang yang gugur di jalan Allah.”

Yang dimaksudkan orang yang gugur di jalan Allah itu ialah orang yang terkorban dalam menjalani ibadah atau berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sama seperti orang yang ingin menunaikan fardhu haji ke mekah. Dalam perjalanan mereka yang sedang melakukan ibadah haji, lalu terkorban mereka ini tergolong dalam orang yang mati syahid. Ibadah haji seperti perjalanan menahan dan memerangi hawa nafsu, maksiat, tidak melakukan perbuatan keji demi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Terdapat banyak ganjaran dalam melakukan rukun Islam yang kelima ini.
Hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari ibunya melahirkannya.”

Ganjaran serta pahala berjihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sangatlah besar darjatnya. Sesiapa yang mati dalam keadaan syahid, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjanjikan dengan balasan baik iaitu syurga. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah an-Nisaa’ ayat 95-96:
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا (95) دَرَجَاتٍ مِنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (96)
Tafsirnya:
“Tidaklah sama (dari segi darjat dan pahala) orang-orang beriman yang tinggal (tidak turut berjihad) selain daripada orang-orang yang mempunyai keuzuran dengan yang berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal (tidak turut berjihad kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap golongan itu Allah janjikan ganjaran yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berjihad tanpa kuzuran) pahala yang sangat besar. Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya dan keampunan serta rahmat. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”.

والله أعلم بالصواب
Dipetik dari
Majalah Al-Huda,
bil 133.April 2016M/1437H
Pusat Da’wah Islamiah.