Hadits riwayat Ibnu Majah
daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ
عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ ؟ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ
جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
Maksudnya:
“Ya Rasulullah, apakah wanita wajib
berjihad?” Baginda menjawab: “Ya, jihad yang tanpa ada peperangan di dalamnya,
iaitu haji dan umrah.”
Ramai yang mengetahui tentang
kalimah “jihad” tetapi kurang yang mengerti makna perkataan “jihad” dalam
perspektif Islam. Jihad bukanlah setakat
peperangan semata-mata tetapi ianya adalah satu perbuatan memerangi musuh-musuh
ataupun sesuatu yang ingin menghancurkan agama, masyarakat, kebudayaan,
pegangan, akidah Islam dan sebagainya dengan hanya bertujuan menegakkan agama dan
berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sekiranya ia memerangi
tanpa tujuan mempertahankan Islam ataupun di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala
semata-semata, maka ianya bukan dinamakan “Jihad” akan tetapi ianya hanya
menjadi peperangan yang menurut hawa nafsu, harta benda dan kuasa.
Jihad bukan sahaja pada peperangan
sama musuh semata-mata, akan tetapi Jihad juga sesuatu perbuatan atau usaha
bagi memerangi hawa nafsu mahupun dalam perjalanan melakukan ibadah di jalan
Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya juga dikatakan jihad.
Salah satu antara melakukan jihad
tanpa ada melakukan peperangan atau penumpahan darah di dalamnya ialah
mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Hukumnya
wajib dilakukan oleh setiap umat Islam yang mukallaf yang ada kemampuan sebagaimana
firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah A-li Imraan ayat 97:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ
اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Tafsirnya:
Dan
Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadat haji ke Baitullah iaitu
sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.
Mampu dan berkuasa disini bermaksud
mampu dari segi perbelanjaan untuk pergi dan balik dan berkuasa iaitu mempunyai
badan yang sihat wal’afiat untuk mengerjakan ibadah haji.
Ibadah Haji disebut oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan pahala jihad fi
sabilillah kerana apabila seseorang itu meninggal dunia sewaktu menunaikan
ibadah tersebut, kematiannya itu tergolong dalam golongan yang mati syahid.
Hadits
riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Shalallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ
وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya:
“Syuhada
itu ada lima, iaitu orang yang meninggal karena penyakit ta’un, orang yang
meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang
meninggal kerana tertimpa keruntuhan, dan orang yang gugur di jalan Allah.”
Yang
dimaksudkan orang yang gugur di jalan Allah itu ialah orang yang terkorban
dalam menjalani ibadah atau berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sama
seperti orang yang ingin menunaikan fardhu haji ke mekah. Dalam perjalanan
mereka yang sedang melakukan ibadah haji, lalu terkorban mereka ini tergolong
dalam orang yang mati syahid. Ibadah haji seperti perjalanan menahan dan memerangi
hawa nafsu, maksiat, tidak melakukan perbuatan keji demi mendapat keredhaan
Allah Subhanahu wa Ta’ala. Terdapat banyak ganjaran dalam melakukan
rukun Islam yang kelima ini.
Hadits riwayat Imam al-Bukhari
daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ
يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
“Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk
mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan maksiat,
tidak melakukan perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa
sebagaimana hari ibunya melahirkannya.”
Ganjaran serta pahala berjihad di
jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sangatlah besar darjatnya. Sesiapa
yang mati dalam keadaan syahid, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan
menjanjikan dengan balasan baik iaitu syurga. Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala dalam Surah an-Nisaa’ ayat 95-96:
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي
الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ
فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى
الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ
الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا (95) دَرَجَاتٍ مِنْهُ
وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (96)
Tafsirnya:
“Tidaklah
sama (dari segi darjat dan pahala) orang-orang beriman yang tinggal (tidak
turut berjihad) selain daripada orang-orang yang mempunyai keuzuran dengan yang
berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan
orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang
yang tinggal (tidak turut berjihad kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat.
Dan setiap golongan itu Allah janjikan ganjaran yang baik (syurga), dan Allah
melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak
turut berjihad tanpa kuzuran) pahala yang sangat besar. Iaitu beberapa darjat
kelebihan daripadaNya dan keampunan serta rahmat. Dan Allah adalah Maha Pengampun
lagi Maha Pengasih”.
والله أعلم
بالصواب
Dipetik dari
Majalah Al-Huda,
bil 133.April 2016M/1437H
Pusat Da’wah Islamiah.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan