Kita masih lagi berada di bulan Rejab, bulan dimana telah terjadi satu peristiwa
penting kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam iaitu peristiwa Isra’
dan Mi’raj. Dalam peristiwa itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah
diperjalankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dari Masjidil Haram di Mekah ke
Masjidil Aqsa di Palestin dan seterusnya Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam diangkat
kelangit untuk bertemu dengan Allah Subhanahu Wata’ala dan menjadi tetamuNya
pada malam yang sangat bersejarah itu. Peristiwa itu merupakan satu bukti
tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sepanjang
perjalanan Isra’ dan Mi’raj yang ditemani oleh Malaikat Jibril Alaihi Salam,
Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia samada yang
telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang menggembirakan dan ada
yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah
Subhanahu Wata’ala kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam diperlihatkan satu kaum lelaki dan
perempuan yang makan daging mentah yang busuk sedangkan daging yang masak ada
disisi mereka. Malaikat Jibril memberitahu itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri dan suami. Golongan tersebut ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan
dengan cara yang halal dan mereka tergolong dikalangan yang dicela.
Apa yang
menyedihkan, kebanyakkan mereka tahu tentang hukum haramnya berzina namun masih
tetap melakukannya, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara bersembunyi,
namun diakhir zaman penzinaan dilakukan secara terang-terangan. Dipadang
Mahsyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala dibawah dan kaki keatas
langit. Mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan
nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup didunia mereka ini
berbuat zina. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab
seksa yang sangat pedih dineraka jahanam. Sesungguhnya kepanasan api neraka
adalah tujuh puluh kali ganda kepanasan api yang ada diatas dunia.
Adapun
keinginan seksual itu adalah anugerah Allah Subhanahu Wata’ala kepada manusia
untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapat ketenangan dalam kehidupan.
Walaubagaimanapun keinginan seksual itu hendaklah dilakukan dengan pernikahan
yang sah. Ketahuilah bahawa seseorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak
sah pada dasarnya itu telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang
memandang wanita dengan pandangan bernafsu bererti ia telah mendekati
perzinaan. Begitu juga dengan mereka yang suka melayari gambar-gambar dan video-video
yang tidak wajar di Internet adalah mendorong kepada perzinaan.
Peristiwa
Isra’ dan Mi’raj ini hendaklah ditauladani dan dipelajari sebaik mungkin,
InsyaAllah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan dan kemungkaran serta mengelakkan dari terjerumus ke lembah
kemaksiatan. Kita juga hendaklah menghayati pengajaran disebalik peristiwa ini
bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Bersempena
peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai mukjizat yang besar ini, marilah sama-sama
kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan
menjauhi segala larangannya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah
kemaksiatan, sedar dan insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini
kehidupan kita akan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala.