Tuesday, April 02, 2019

PERISTIWA ISRA' MI'RAJ; ZINA


Kita masih lagi berada di bulan Rejab, bulan dimana telah terjadi satu peristiwa penting kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Dalam peristiwa itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah diperjalankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan seterusnya Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam diangkat kelangit untuk bertemu dengan Allah Subhanahu Wata’ala dan menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Peristiwa itu merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sepanjang perjalanan Isra’ dan Mi’raj yang ditemani oleh Malaikat Jibril Alaihi Salam, Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia samada yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang menggembirakan dan ada yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam diperlihatkan satu kaum lelaki dan perempuan yang makan daging mentah yang busuk sedangkan daging yang masak ada disisi mereka. Malaikat Jibril memberitahu itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami. Golongan tersebut ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan cara yang halal dan mereka tergolong dikalangan yang dicela.

Apa yang menyedihkan, kebanyakkan mereka tahu tentang hukum haramnya berzina namun masih tetap melakukannya, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara bersembunyi, namun diakhir zaman penzinaan dilakukan secara terang-terangan. Dipadang Mahsyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala dibawah dan kaki keatas langit. Mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup didunia mereka ini berbuat zina. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab seksa yang sangat pedih dineraka jahanam. Sesungguhnya kepanasan api neraka adalah tujuh puluh kali ganda kepanasan api yang ada diatas dunia.

Adapun keinginan seksual itu adalah anugerah Allah Subhanahu Wata’ala kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapat ketenangan dalam kehidupan. Walaubagaimanapun keinginan seksual itu hendaklah dilakukan dengan pernikahan yang sah. Ketahuilah bahawa seseorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak sah pada dasarnya itu telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memandang wanita dengan pandangan bernafsu bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu juga dengan mereka yang suka melayari gambar-gambar dan video-video yang tidak wajar di Internet adalah mendorong kepada perzinaan.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini hendaklah ditauladani dan dipelajari sebaik mungkin, InsyaAllah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta mengelakkan dari terjerumus ke lembah kemaksiatan. Kita juga hendaklah menghayati pengajaran disebalik peristiwa ini bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.

Bersempena peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai mukjizat yang besar ini, marilah sama-sama kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan menjauhi segala larangannya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah kemaksiatan, sedar dan insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita akan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala.


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan