Tuesday, September 07, 2021

Az-Zubair bin Al-‘Awwam

  



Az-Zubair  bin  al-‘Awwam  Radhiallahu  ‘anhu  merupakan  seorang  sahabat  Rasulullah Shallallahu  ‘alaihi  wa sallam  yang  mempunyai  peranan  dan  sumbangan  yang  sangat  besar  dalam  perkembangan  agama  Islam  pada  zaman  Rasulullah  Shallallahu  ‘alaihi  wa sallam  dan  Khulafa  ar-Rasyidin.  Beliau  merupakan sahabat Rasulullah Shallallahu  ‘alaihi  wa sallam  yang  banyak  berjasa,  dan  banyak  berkorban  dalam  mengembangkan  dan  menegakkan  syi’ar  Islam  bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Az-Zubair bin al-‘Awwam  termasuk dalam salah seorang dari tujuh orang pertama yang meyakini kebenaran ajaran Islam. Beliau memeluk agama Islam ketika berusia lapan tahun dan melakukan hijrah ketika berusia lapan belas tahun.

Menurut  ahli  sejarah  Islam,  az-Zubair  bin  al-‘Awwam  pernah  diseksa  oleh  bapa  saudaranya  sendiri.  Ketika  bapa  saudaranya  Naufal  bin  Khuwailid  mengetahui  az-Zubair  bin  al-‘Awwam  telah  memeluk  agama  Islam,  beliau  sangat  marah  dan  berusaha mengembalikan az-Zubair bin al-‘Awwam  ke agama asal dan cuba untuk memusnahkan kepercayaannya kepada agama Islam yang telah dianutinya. Naufal bin Khuwailid telah menyeksa az-Zubair bin al-‘Awwam dengan mengikat dan menggulung beliau ke dalam tikar lalu diasapi dengan api. Ketika az-Zubair bin  al-‘Awwam  mengalami  kesukaran  bernafas,  di  saat  itulah  dia  berkata  kepada  az-Zubair   bin   al-‘Awwam   sebagai   memberi   ancaman:   “Kembalilah   kepada   kepercayaanmu  semula.”  Namun    az-Zubair  bin  al-‘Awwam    menjawab:  “Tidak, aku tidak akan kembali kepada kekufuran selama-lamanya. “Namun    az-Zubair  bin  al-‘Awwam  tetap  berpegang  teguh  dengan  agama  Islam.  Beliau termasuk di antara sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling ikhlas dan paling teguh imannya.

Az-Zubair  bin  al-‘Awwam  adalah  golongan  mujahid  dan  pejuang  yang  telah  berjuang berhabis-habisan bagi menegakkan agama Allah. Kerana sifat keberanian dan   kemahirannya   dalam   menunggang   kuda   serta   pantang   mundur   dalam   setiap  peperangan  menjadikan  beliau  “ayam  tambatan”  kaum  muslimin.  Selain  keberanian  beliau  dalam  peperangan,  beliau  juga  memiliki  sifat-sifat  terpuji  sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merasa bangga memiliki sahabat sepertinya. 

Kecintaan baginda bukan hanya disebabkan beliau  anak  saudara  baginda tetapi kerana az-Zubair bin al-‘Awwam merupakan seorang pemuda yang setia, ikhlas, jujur, kuat, berani, pemurah dan sanggup berkorban jiwa, dan harta demi kepentingan Islam dan kaum muslimin. Sebagaimana  hadits  riwayat  Imam  al-Bukhari daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:ِ

إِنَّ لِكُلِّ نَبِيِّ حَوَارِيًّا وَإِنَّ حَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ بْنُ الْعَوَّامِ

Maksudnya: Setiap nabi mempunyai pengiring dan pengiringku ialah az-Zubair bin ‘Awwam.

Bertepatan  juga  dengan  apa  yang  dikatakan  oleh  Hassan  bin  Tsabit dalam  menggambarkan  sifat-sifat az-Zubair bin al’-Awwam: Ia  berdiri  teguh  menepati  janjinya  kepada  Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan  mengikuti  petunjuknya.  Menjadi  pembelanya  sementara perbuatan sesuai dengan perkataannya. Ditempuhnya jalan yang telah digunakkannya, tak hendak  menyimpang  daripadanya.  Bertindak  sebagai  pembela  kebenaran,  kerana  kebenaran  itu  jalan  sebaik-baiknya.  Dia    seorang  penunggang  kuda  yang  termasyhur,  dan  pahlawan  yang  gagah  perkasa.  Bermaharajalela  di  medan  perang  dan  ditakuti  di  setiap  arena.  Di  samping  Rasulullah  mempunyai  jasa-jasa yang tidak terkira. Betapa banyaknya bahaya yang mengancam Rasulullah nabi al-Musthafa. Disingkirkan az-Zubair dengan hujung pedangnya, maka semoga Allah membalas jasa-jasanya.

Az-Zubair  bin  al’-Awwam merupakan  seorang  pahlawan  besar.  Beliau  sentiasa  turut  serta  dalam  setiap  peperangan  bersama  Rasulullah  Shallallahu  ‘alaihi  wa sallam dan    tidak  pernah  berpisah  jauh  daripada  baginda.  Sentiasa  bersedia  menyandang  senjatanya  untuk  melawan  musuh  yang  menghendaki  gugurnya  da’wah  Islam.  Selama  hidupnya  beliau  tidak  pernah  ketinggalan  dalam  berjihad  menegakkan  agama  yang  dibawa  oleh  Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Az-Zubair   bin   al’-Awwam telah   memperlihatkan   kegagahan   dan   keperkasaan   beliau menerusi  perang  Badar.  Walaupun  kekuatan  umat  Islam  masih  lemah  ketika  itu  khasnya  ketika  menentang  kaum musyrikin  Mekah,  beliau  telah  berjaya  menumpaskan  beberapa  pahlawan musyrikin telah mencapai kejayaan yang gemilang. Begitu  juga  keikhlasan az-Zubair  bin  al’-Awwam berjuang  bersama-sama  tentera  Islam  jelas  terpancar dan amat mengkagumkan lebih-lebih lagi semasa mengalahkan tentera Rumawi di Iskandariyah.   Begitu   juga   ketika   Kota   Babylon   jatuh   ke   tangan   tentera   Islam   selepas   dikepung   selama   berbulan-bulan dan   tembok   kebal   kota   itu   berjaya   ditembusi   berkat   keberanian yang dimiliki oleh az-Zubair bin al’-Awwam. Selama  hidupnya  beliau  tidak  pernah  ketinggalan  dalam  berjihad  menegakkan agama yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Perjuangan  az-Zubair  bin  al-‘Awwam  bersama  tentera  Islam  di  bawah  pimpinan  ‘Amru bin al-‘Ash telah berjaya menguasai hampir kesemua kota di dalam Negeri Mesir.  Kegagahan  dan  kehandalan   az-Zubair  bin  al-‘Awwam  telah  menjadikan  wilayah Islam semakin berkembang luas. Sifat   berani   az-Zubair   bin   al-‘Awwam      yang   sangat   mengkagumkan   dalam   menegakkan  syiar  Islam.  Keberanian  dan  semangat  yang  berkobar  dalam  diri  beliau  tidak  pernah  berhenti,  beliau  tanpa  ragu  rela  berkorban  di  jalan  Allah.  Beliau bertarung dengan gagah berani di dalam setiap peperangan yang disertainya dengan   harapan   untuk   mendapatkan   syahid.   Setelah   kewafatan   Rasulullah   Shallallahu  ‘alaihi  wa sallam,  az-Zubair  bin  al-‘Awwam    tetap  teguh  meneruskan  perjuangan demi menegakkan kalimah Allah.

Az-Zubair  bin  al-‘Awwam    wafat  setelah  dibunuh  oleh  ‘Amru  bin  Jurmuz  pada  bulan Jamadilawal tahun 36 Hijrah. Ketika itu az-Zubair bin al-‘Awwam berusia kira-kira 64 tahun.

Begitulah hebatnya insan yang bernama az-Zubair bin al-‘Awwam, beliau termasuk dalam   golongan   sahabat   Rasulullah   Shallallahu   ‘alaihi   wa sallam   yang   amat   istimewa  dan  telah  mendapat  kerelaan  baginda  sehingga  baginda  menyebutnya  secara khusus sebagai ahli syurga.

Hadits  riwayat  Imam  at-Tirmidzi,  daripada  ‘Abdul  Rahman  bin  Humaid  dari  ayahnya dari Sa’id bin Zaid pernah bercerita kepadanya mengenai beberapa orang yang dikhabarkan masuk syurga, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

عَشْرَةُ فِي الْجَنَّةِ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَان وَعَلِيِّ وَالزُّبَيْرُ وَطَلْحَةُ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ

Maksudnya :Sepuluh  orang  (akan)  masuk  syurga;  Abu  Bakar  masuk  syurga,  ‘Umar  masuk  syurga,  ‘Utsman,  Ali,  Az-Zubair, Talhah, Abdul Rahman, Abu ‘Ubaidah dan Sa’ad bin Abi Waqqash.

 

 

 

 

Petikan dari Majalah al-Huda, PDI.