Az-Zubair bin al-‘Awwam Radhiallahu ‘anhu merupakan seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat besar dalam perkembangan agama Islam pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan Khulafa ar-Rasyidin. Beliau merupakan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang banyak berjasa, dan banyak berkorban dalam mengembangkan dan menegakkan syi’ar Islam bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Az-Zubair bin al-‘Awwam termasuk dalam salah seorang dari tujuh orang pertama yang meyakini kebenaran ajaran Islam. Beliau memeluk agama Islam ketika berusia lapan tahun dan melakukan hijrah ketika berusia lapan belas tahun.
Menurut ahli sejarah Islam, az-Zubair bin al-‘Awwam pernah diseksa oleh bapa saudaranya sendiri. Ketika bapa saudaranya Naufal bin Khuwailid mengetahui az-Zubair bin al-‘Awwam telah memeluk agama Islam, beliau sangat marah dan berusaha mengembalikan az-Zubair bin al-‘Awwam ke agama asal dan cuba untuk memusnahkan kepercayaannya kepada agama Islam yang telah dianutinya. Naufal bin Khuwailid telah menyeksa az-Zubair bin al-‘Awwam dengan mengikat dan menggulung beliau ke dalam tikar lalu diasapi dengan api. Ketika az-Zubair bin al-‘Awwam mengalami kesukaran bernafas, di saat itulah dia berkata kepada az-Zubair bin al-‘Awwam sebagai memberi ancaman: “Kembalilah kepada kepercayaanmu semula.” Namun az-Zubair bin al-‘Awwam menjawab: “Tidak, aku tidak akan kembali kepada kekufuran selama-lamanya. “Namun az-Zubair bin al-‘Awwam tetap berpegang teguh dengan agama Islam. Beliau termasuk di antara sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang paling ikhlas dan paling teguh imannya.
Az-Zubair bin al-‘Awwam adalah golongan mujahid dan pejuang yang telah berjuang berhabis-habisan bagi menegakkan agama Allah. Kerana sifat keberanian dan kemahirannya dalam menunggang kuda serta pantang mundur dalam setiap peperangan menjadikan beliau “ayam tambatan” kaum muslimin. Selain keberanian beliau dalam peperangan, beliau juga memiliki sifat-sifat terpuji sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merasa bangga memiliki sahabat sepertinya.
Kecintaan baginda bukan hanya disebabkan beliau anak saudara baginda tetapi kerana az-Zubair bin al-‘Awwam merupakan seorang pemuda yang setia, ikhlas, jujur, kuat, berani, pemurah dan sanggup berkorban jiwa, dan harta demi kepentingan Islam dan kaum muslimin. Sebagaimana hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:ِ
إِنَّ لِكُلِّ نَبِيِّ حَوَارِيًّا وَإِنَّ حَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ بْنُ الْعَوَّامِ
Maksudnya: Setiap nabi mempunyai pengiring dan pengiringku ialah az-Zubair bin ‘Awwam.
Bertepatan juga dengan apa yang dikatakan oleh Hassan bin Tsabit dalam menggambarkan sifat-sifat az-Zubair bin al’-Awwam: Ia berdiri teguh menepati janjinya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan mengikuti petunjuknya. Menjadi pembelanya sementara perbuatan sesuai dengan perkataannya. Ditempuhnya jalan yang telah digunakkannya, tak hendak menyimpang daripadanya. Bertindak sebagai pembela kebenaran, kerana kebenaran itu jalan sebaik-baiknya. Dia seorang penunggang kuda yang termasyhur, dan pahlawan yang gagah perkasa. Bermaharajalela di medan perang dan ditakuti di setiap arena. Di samping Rasulullah mempunyai jasa-jasa yang tidak terkira. Betapa banyaknya bahaya yang mengancam Rasulullah nabi al-Musthafa. Disingkirkan az-Zubair dengan hujung pedangnya, maka semoga Allah membalas jasa-jasanya.
Az-Zubair bin al’-Awwam merupakan seorang pahlawan besar. Beliau sentiasa turut serta dalam setiap peperangan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak pernah berpisah jauh daripada baginda. Sentiasa bersedia menyandang senjatanya untuk melawan musuh yang menghendaki gugurnya da’wah Islam. Selama hidupnya beliau tidak pernah ketinggalan dalam berjihad menegakkan agama yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Az-Zubair bin al’-Awwam telah memperlihatkan kegagahan dan keperkasaan beliau menerusi perang Badar. Walaupun kekuatan umat Islam masih lemah ketika itu khasnya ketika menentang kaum musyrikin Mekah, beliau telah berjaya menumpaskan beberapa pahlawan musyrikin telah mencapai kejayaan yang gemilang. Begitu juga keikhlasan az-Zubair bin al’-Awwam berjuang bersama-sama tentera Islam jelas terpancar dan amat mengkagumkan lebih-lebih lagi semasa mengalahkan tentera Rumawi di Iskandariyah. Begitu juga ketika Kota Babylon jatuh ke tangan tentera Islam selepas dikepung selama berbulan-bulan dan tembok kebal kota itu berjaya ditembusi berkat keberanian yang dimiliki oleh az-Zubair bin al’-Awwam. Selama hidupnya beliau tidak pernah ketinggalan dalam berjihad menegakkan agama yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Perjuangan az-Zubair bin al-‘Awwam bersama tentera Islam di bawah pimpinan ‘Amru bin al-‘Ash telah berjaya menguasai hampir kesemua kota di dalam Negeri Mesir. Kegagahan dan kehandalan az-Zubair bin al-‘Awwam telah menjadikan wilayah Islam semakin berkembang luas. Sifat berani az-Zubair bin al-‘Awwam yang sangat mengkagumkan dalam menegakkan syiar Islam. Keberanian dan semangat yang berkobar dalam diri beliau tidak pernah berhenti, beliau tanpa ragu rela berkorban di jalan Allah. Beliau bertarung dengan gagah berani di dalam setiap peperangan yang disertainya dengan harapan untuk mendapatkan syahid. Setelah kewafatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, az-Zubair bin al-‘Awwam tetap teguh meneruskan perjuangan demi menegakkan kalimah Allah.
Az-Zubair bin al-‘Awwam wafat setelah dibunuh oleh ‘Amru bin Jurmuz pada bulan Jamadilawal tahun 36 Hijrah. Ketika itu az-Zubair bin al-‘Awwam berusia kira-kira 64 tahun.
Begitulah hebatnya insan yang bernama az-Zubair bin al-‘Awwam, beliau termasuk dalam golongan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang amat istimewa dan telah mendapat kerelaan baginda sehingga baginda menyebutnya secara khusus sebagai ahli syurga.
Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi, daripada ‘Abdul Rahman bin Humaid dari ayahnya dari Sa’id bin Zaid pernah bercerita kepadanya mengenai beberapa orang yang dikhabarkan masuk syurga, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
عَشْرَةُ فِي الْجَنَّةِ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَان وَعَلِيِّ وَالزُّبَيْرُ وَطَلْحَةُ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ
Maksudnya :Sepuluh orang (akan) masuk syurga; Abu Bakar masuk syurga, ‘Umar masuk syurga, ‘Utsman, Ali, Az-Zubair, Talhah, Abdul Rahman, Abu ‘Ubaidah dan Sa’ad bin Abi Waqqash.
Petikan dari Majalah al-Huda, PDI.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan