Hukum berdoa adalah sunat (mustahabb iaitu digalakkan). Allah Subhanahu Wa Ta’ala memerintahkan kita supaya berdoa dan memohon kepadaNya ke arah kebaikan, sama ada dalam keadaan senang ataupun susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian mahupun berjemaah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ
Terjemahan makna ayat:
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hamper (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”
Menurut Imam al-Qurthubi bahawa ayat di atas menunjukkan perintah Allah Ta’ala supaya semasa berdoa dan beribadat kepadaNya.Allah menjanjikan bahawa doa-doa tersebut akan dikabulkan melainkan ada sebab-sebab lain mengapa suatu doa itu tergantung-gantung atau ditolak.
Telah disebutkan dalam banyak hadits Shahih mengenai doa, antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam :
“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika seorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan )tidak menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi)
Sabda Baginda lagi:
“Akan dikabulkan doa seorang daripada kamu selama mana dia tidak terburu-buru mengatakan : “Aku sudah berdoa (kepada Allah), namun doaku belum dikabulkan.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)
MENDOAKAN ORANG LAIN TANPA PENGETAHUANNYA
Alangkah indahnya Islam itu apabila menganjurkan supaya umatnya saling doa mendoakan antara satu sama lain, sama ada orang yang didoakan itu mengetahuinya ataupun tidak, yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hasyr ayat 10:
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ
Terjemahan Makna Ayat:
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.”
Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa
Sallam bersabda :
“Setiap hamba Muslim mendoakan saudaranya pada ketika saudaranya itu tidak ada
(tanpa pengetahuannya), maka malaikat akan berkata : “Semoga kamu juga mendapat
seumpama (doa) itu.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)
Malah doa seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya adalah mustajab berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam:
“Adapun dia seorang Muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan bagi saudaranya itu, malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama apa yang engkau doakan itu.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)
Adapun antara orang-orang yang wajar didoakan adalah seperti berikut:
1. Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam
Mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bererti juga mendoakan Baginda di samping menunjukkan rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar kita.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Ahzab ayat 56 :
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
Terjemahan Makna Ayat:
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan."
2. Ahli Keluarga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, Para sahabat dan Pengikut Baginda.
Ulama’ sepakat mengatakan bahawa adalah harus atau dibolehkan menyebut ahli keluarga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, para sahabat, isteri-isteri, zuriat dan para pengikut Baginda selepas sempurna mengucapkan doa dan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Contoh:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَأَصْحَابِهِ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَتِهِ وَأَتْبَاعِهِ
3. Ibu Bapa
Berbuat baik dan mendoakan kedua ibu bapa merupakan kewajipan bagi setiap anak. Ibu bapa adalah orang yang terutama sekali didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara dan mendidik di waktu kecil.
Diceritakan dalam al-Qur’an tentang Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam mendoakan kedua ibu bapanya :
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ
Terjemahan Makna Ayat :
“Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan ibu bapaku serta orang-orang yang beriman pada hari berlakunya hisab (di hari Kiamat).”
Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa adalah besar manfaatnya lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda:
“Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalnya daripadanya, melainkan tiga perkara ; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda :
“Sesungguhnya diangkat darjat seseorang hamba di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari mana (saya memperoleh darjat) ini?” Maka dikatakan padanya: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan oleh anakmu.”
(Terjemahan Makna Hadits Shahih Riwayat Ibnu Majah)
4. Anak-Anak
Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘alaihissalam berdoa untuk anaknya yang tersebut di dalam surah ash-Shaffat ayat 100:
رَبِّ
هَبۡ لِي مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ
“Ya Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang salih.”
5. Ulama’ Dan Guru
Mendoakan para ulama dan guru yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat adalah termasuk perkara yang dianjurkan untuk dilakukan.
Menurut as-Sayyid ‘Alawi as-Saqqaf dalam kitab Majmu’ah Sab’ah Kutub Mufidah, antara adab-adab terhadap guru janganlah seseorang itu meninggalkan doa untuk gurunya, baik ketika dia hadir (ada) mahupun semasa ketiadaannya, sebagaimana seseorang itu tidak meninggalkan doa untuk kedua ibu bapanya dan hendaklah dia berbuat baik kepada gurunya sebagaimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
6. Orang Yang Berbuat Baik Pada Saudaranya
Apabila seseorang telah melakukan kebaikan dan memberi pertolongan,maka sewajarnya kita membalasnya dengan perbuatan setimpal. Jika tidak mampu dilakukan, maka hendaklah kita mendoakannya dengan doa yang baik.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam juga pernah mendoakan seseorang yang berbuat baik kepada Baginda:
Daripada Ibnu ‘Abbas: “ Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam memasuki bilik air kecil, lalu aku meletakkan ait wudhu untuk Baginda. Baginda bersabda: “Siapakah yang meletakkan ini (air wudhu)?” Lalu Baginda berdoa : “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.”
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam al-Bukhari)
Dan Daripada Usamah dan Zaid bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda :
“Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya, maka katakanlah kepada orang yang membuat kebaikan itu: جَزَاكَ اللَّهُ حَيْرًا“Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.” Sesungguhnya ucapan demikian itu adalah sebaik-baik pujian (ucapan).
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Ibnu Hibban)