﴿إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا٥٦﴾
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bershalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Bershalawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan."
Demikianlah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang menerangkan
bahawa Allah dan para malaikat bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu
‘Alaihi Wa Sallam. Maksud shalawat Allah kepada Nabi Muhammad ialah pujian dan
pengagungan Allah kepada Baginda. Sementara maksud shalawat para malaikat ialah
mendoakan keberkatan kepada baginda. Ayat di atas dilanjutkan dengan perintah
agar kita umat Islam turut bershalawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa
Sallam.
Bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam adalah salah satu bukti kecintaaan seseorang kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa sallam. Bershalawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa
sallam merupakan ibadat yang mulia dan terpuji yang tidak sewajarnya dipandang
ringan oleh setiap umat Islam. Sebagai tanda mengasihi Rasulullah juga, setiap
umat Islam berkewajipan mengasihi dan mencintai Rasulullah dengan menjalani
kehidupan berdasarkan sunah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Ini sesuai dengan kedudukan shalawat itu sendiri yang
memiliki berbagai fadhilat di sisi Allah. Ia mengandungi pelbagai kelebihan dan
mendapat syafa’at dari Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam serta
memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
"Barangsiapa yang bershalawat ke atasku sekali, Allah akan bershalawat ke atasnya sepuluh kali."
(Terjemahan Makna Hadits Riwayat Imam Muslim)
Dan diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa sallam bersabda :
"Seutama-utama manusia di sisiku pada hari Kiamat adalah orang yang paling banyak bershalawat ke atasku."
(Terjemahan Makna Hadits Hasan Gharib Riwayat Imam at-Tirmidzi)
Justeru itu marilah kita sentiasa bershalawat kepada baginda
Rasulullah Shallallahu ‘alaih wa sallam yang akan menjadi bukti kecintaan kita
kepada baginda.
اللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan