· Sayidina Ali Bin Abi Thalib
dilahirkan pada tahun Gajah, lebih kurang 610 Masehi, 23 tahun sebelum hijrah.
Para sejarahwan mengatakan bahawa beliau lahir di lingkungan Ka’bah. Sayidina
Ali Bin Abi Thalib ialah saudara sepupu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa
sallam. Beliau dilahirkan di dalam Masjidil Haram tiga tahun sebelum Nabi Muhammah Shallallahu ‘Alaihi wa
Sallam berkahwin dengan Sayidatina Khadijah. Selepas kelahirannya Rasulullah
mengambil, mengasuh dan memperlakukannya seperti anak sendiri.
· Sayidina Ali memiliki rupa
paras yang menarik, tampan dan kacak. Beliau seorang yang mulia, suka berjenaka
dan lemah lembut terhadap orang yang
lemah terutamanya kaum wanita, suka memberi maaf kepada musuh dan sesiapa yang
bersalah terhadapnya. Beliau mula bertindak sebagai pengawal peribadi
Rasulullah ketika beliau baru berusia sekitar 13 ke 14 tahun.
· Sayidina Ali merupakan orang
yang terakhir yang berhijrah ke Madinah. Beliau telah ditugaskan oleh
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam untuk menggantikan baginda di atas tempat
tidurnya di malam hari untuk mengelirukan orang -orang kafir Quraisy Makkah.
Ketika itu, orang-orang Quraisy sudah sepakat untuk membunuh Rasulullah, namun
Allah telah mewahyukan kepada baginda akan rancangan mereka dan memerintahkan
supaya baginda berhijrah Sayidina Abu Bakar. Sayidina Ali menggantikan tempatnya
dengan hati yang penuh rela dan gembira.
· Kasih sayang Rasulullah
terhadap Sayidina Ali tidak berbelah bagi. Ini terbukti bila baginda menerima
lamaran Ali terhadap puterinya Sayidatina Fatimah Az-Zahra. Mereka ditunangkan
sebelum Perang Badar, tetapi hanya dikahwinkan 3 bulan sesudahnya. Ketika itu
Sayidina Ali berusia 21 tahun dan Sayidatina Fatimah berumur 18 tahun.
Perkahwinan mereka berjalan dengan baik dan bahagia. Mereka dikurniakan dua
orang anak lelaki iaitu Sayidina Hasan dan Sayidina Husin Radhiallahu ‘anhuma,
cucu kesayangan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam.
· Sayidina Ali selalu hadir
dalam setiap peperangan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam
kecuali Perang Tabuk, kerana beliau ditugaskan oleh Rasulullah untuk
menggantikan tugas baginda di Madinah. Sayidina Ali dilantik menjadi khalifah
kaum muslimin pada tahun 34 Hijrah selepas berlakunya pembunuhan Usman. Perlantikan
beliau adalah atas permintaan sebahagian besar rakyat, memandangkan ciri-ciri
kepimpinan yang ada pada beliau.
· Pada 19 Ramadhan tahun 40
Hijrah, sewaktu sembahyang Subuh di Kuffah, beliau membangunkan orang-orang
yang tidur di masjid untuk membawa mereka berjemaah bersama, salah seorang
daripadanya ialah Ibnu Muljam. Ketika mengimamkan sembahyang dalam sujud
beliau, pedang Ibnu Muljam menimpa kepala Sayidina Ali dan tetakannya sangat
dalam.Ibnu Muljam melarikan diri dan dikejar oleh beberapa Jemaah yang lain,
walaupun terganggu, Sayidina Ali menyelesaikan juga sembahyangnya. Setelah
selesai beliau tersandar di tangan anak-anak beliau iaitu Sayidina Hasan dan
Sayidina Husin. Beliau hidup dua hari lagi selepas kejadian tersebut. Kehidupan
beliau sejak permulaan sehingga akhirnya penuh dengan perbuatan mulia, beliau
melantik anaknya Sayidina Hasan sebagai Khalifah selepasnya. Beliau dikebumikan
di Najaf, kira-kira dua batu dari Kuffah menurut wasiatnya.
Petikan daripada Majalah Muslimin, 2014
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan