Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang (sedang kamu berhadats kecil) maka (berwudhu'lah iaitu) basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu hingga ke siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kaki kamu hingga ke buku lali... Allah tidak mengkehendaki untuk kamu menanggung suatu kesusahan tetapi Allah berkehendak untuk membersihkan kamu...
(Terjemahan makna ayat surah al-Maa'idah:6)
Adik-adik, agama Islam sangat menyukai kebersihan seperti bersih tubuh badan, pakaian kita dan rumah. Kebersihan itu sangat penting. Kita sebagai umat Islam diperintahkan dan wajib untuk menyucikan diri apabila hendak melakukan ibadah sembahyang iaitu dengan berwudhu' seperti perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Maa'idah ayat di atas.
Adik-adik, wudhu' itu adalah satu cara menyucikan diri daripada hadats kecil dengan membasuh anggota-anggota tertentu seperti tangan, muka, hidung, kepala, telinga dan kaki dengan menggunakan air yang suci dan tidak bercampur dengan najis. Wudhu' juga wajib bagi kita yang hendak melakukan thawaf dan menyentuh al-Qur'an.
Berwudhu' bukan untuk menyusahkan diri kita melainkan untuk kebersihan supaya badan kita rasa sihat, bersih dan segar untuk melakukan ibadah.
Lafaz niat wudhu'
نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَصْغَرِ ِلِله تَعاَلَى
Ertinya:
Sahaja aku mengangkat hadats kecil kerana Allah Ta'ala

No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan