Translate

Tuesday, September 30, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM : PEMAAF

 

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mempunyai keperibadian yang sangat mulia. Baginda sentiasa memberi kemaafan terhadap sesiapa jua dan tidak pernah membalas kejahatan yang pernah dilemparkan kepada baginda.

Contohnya, kejadian di Khaibar telah datang seorang wanita Yahudi membawa hidangan daging yang telah dibubuh racun kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu baginda makan sebahagian . Ketika itulah baginda dapat mengesan rasa racun itu lalu memuntahkannya. Kemudian wanita itu dipanggil dan dihadapkan kepada baginda. Apabila baginda menanyakan tentang racun itu kepada wanita tersebut, maka dia pun mengatakan bahawa dia memang berniat hendak membunuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Melihat hal tersebut para sahabat pun bertindak hendak membunuh wanita berkenaan. Tetapi baginda melarang mereka berbuat demikian kerana telah memaafkannya. Walaupun bekas racun itu jelas kelihatan di leher baginda dan telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Memberi maaf adalah bentuk kemuliaan perasaan kejiwaan yang menyuburkan rasa toleransi, menghilangkan dendam kesumat dan tidak menuntut hak. Ianya merupakan sifat yang banyak mendatangkan kebaikan, dan tidak pula mendatangkan kerugian apabila memaafkan kesalahan orang  lain walaupun mereka ternyata bersalah. Bahkan Islam memang menganjurkan umatnya supaya memiliki sifat pemaaf sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 199 yang mafhumnya:

“Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah  daripada orang-orang yang jahil.”

Memberi maaf itu tidak bererti kita lemah dan penakut, kerana memberi maaf dapat menghilangkan rasa permusuhan, memperbanyakkan teman serta mengeratkan silaturrahim. Malah cara demikian dapat memberikan kesan yang baik kepada orang yang diberi maaf. Pasti ia akan merasa akhirnya akan menimbulkan rasa persaudaraan yang akrab. Sebenarnya orang yang memberi kemaafan adalah orang yang kuat, kuat kerana mampu melawan nafsu amarah dan dendamnya sekaligus memperlihatkan kewibawaan dan kehebatan dirinya.

Untuk memiliki akhlak yang demikian kita perlu melatih dengan menahan perasaan marah dan mempertimbangkan kesan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Ini kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada disenghajakan  mahu pun tidak.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu  Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang terjemahannya:

“Orang kuat bukanlah yang sering mengalahkan orang lain bergelut,tapi dia adalah orang yang mampu mengendalikan diri saat marah.”


Petikan dari buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam Dalam Pergaulan, Pusat Da'wah Islamiah

Monday, September 29, 2025

PERINTAH MENSYUKURI NI'MAT ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA


 

Mafhumnya: Katakanlah ( Wahai Nabi Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap) segala ni‘mat-Ku) tentu aku akan menambah ni‘mat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap ni‘mat itu) maka sesungguhnya azab-Ku sangat keras. ( Surah Ibraahiim : 7)

MASJID AN-NABAWI

 


Masjid an-Nabawi merupakan masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidilharam di Mekah. Masjid ini dibina oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat iaitu selesai sahaja baginda melaksanakan perjalanan hijrahnya dari Kota Mekah ke Madinah, pada tahun pertama hijrah (sekitar tahun 622 Masihi). Kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok tamar dan juga runtuhanruntuhan lama yang kemudiannya dibersihkan dan diratakan untuk didirikan masjid. Pada zaman Rasulullah, atapnya diperbuat daripada pelepah-pelepah pokok tamar, disimen dengan tanah liat. Mempunyai nilai seni bina yang sangat indah dan unik pada bangunannya, di antaranya bangunan masjid yang terdiri dari dua buah bangunan bertingkat berbentuk persegi panjang yang luas. Halamannya juga sangat luas dengan mempamerkan rekabentuk islamik. Terdapat kubah dan payung yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik di halaman luar masjid. Ini merupakan daya tarik serta pesona keindahan dari Masjid an-Nabawi. Pahala bersembahyang di Masjid an-Nabawi  adalah 1,000 kali ganda dibandingkan dengan masjid lain kecuali di Masjidil Haram di Mekah. Menjadi pusat perjuangan Islam ketika Rasulullah hijrah dari Mekah ke Madinah dan dikunjungi jutaan umat muslim sepanjang tahun ketika melaksanakan ibadah ke Baitullah.

Wednesday, September 17, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM: SABAR

 

Sabar bererti kuat menahan perasaan agar tidak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Dengan kesabaran, seseorang  pemimpin tidak akan bertindak di luar batas pemikirannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala memuji ketinggian akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai orang yang memiliki sifat kesabaran yang tinggi. Inilah salah satu akhlak terpuji yang patut dimiliki seseorang agar hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah asy-Syura ayat 43 yang terjemahannya:

Dan orang yang bersabar serta memaafkan (kesalahan orang lain terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang sangat utama untuk dilaksanakan (digalakkan oleh syari’at).

Salah satu kesabaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dapat kita lihat melalui kisah dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun segera mengerumuninya, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Biarkanlah”. Kemudian baginda meminta sebaldi air mencurahkan ke atasnya (membasuhnya).

Sabar merupakan senjata paling penting dalam menghadapi pelbagai ujian, tetapi ianya tidak mudah untuk dilakukan. Sifat sabar membolehkan kita mengatasi segala ujian dan menghadapi kesukaran dari setiap sudut kehidupan ini dengan tenang dan aman. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah 

A-li ‘Imran ayat 200 yang terjemahannya: 

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), kuatkanlah kesabaran kamu (dalam menghadapi orang-orang kafir) dan bersiap sedialah (dengan kekuatan pertahanan di sempadan negeri kamu) serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Al-Qur’an ada menjelaskan bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah pasti akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam membuat kebajikan. Allah telah menjanjikan kemenangan yang baik di dunia mahu pun di akhirat untuk mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi dalam surah al-Furqaan ayat 75 yang terjemahannya:

Mereka itulah yang akan dikurniakan ganjaran dengan darjat yang tinggi (di syurga) disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan ‘salam’ (selamat sejahtera) di dalamnya.

Sifat sabar memerlukan pengorbanan yang besar. Terkadang melibatkan soal harta, hati , perasaan dan maruah. Kesabaran boleh meletakkan seseorang itu berhak mendapat syurga Jannatun Naim, iaitu suatu tempat tinggal yang tenteram, kediaman yang penuh bahagia di akhirat nanti.

Monday, September 08, 2025

RAJA NAMRUD DAN NYAMUK

 


Di zaman Nabi Ibrahim, ada seorang raja yang zalim bernama Namrud bin Kan’an. Namrud memiliki kekayaan yang luar biasa.   Ia memiliki istana mewah yang tinggi mencakar langit,  makanan yang berlimpah dan bala tentera yang ramai.

Namun sayang Raja Namrud yang kejam dan sombong merasakan dirinya raja yang paling berkuasa sehingga mengaku dirinya sebagai tuhan yang patut disembah.  Seluruh rakyat Raja Namrud merasa takut dan tidak berani untuk menegur sikap raja mereka yang zalim itu.

Disebabkan kezaliman Raja Namrud itu,  Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutus Nabi Ibrahim supaya Raja Namrud dan rakyatnya menyembah Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Namun dengan kesombongannya,  Raja Namrud telah mencabar Nabi Ibrahim untuk berperang dengan bala tenteranya yang gagah dan ramai.  Oleh kerana itulah,   Nabi Ibrahim meminta bantuan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Maha Berkuasa telah memerintahkan tentera nyamuk untuk menyerang dan membinasakan Raja Namrud dan bala tenteranya.

Akhirnya Raja Namrud dan tenteranya kalah kerana tidak dapat menahan gigitan nyamuk yang semakin banyak.   Allah Maha Berkuasa hanya dengan gigitan nyamuk  sahaja boleh mengalahkan tentera gagah Raja Namrud.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 258  yang tafsirnya:

Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Nabi Muhammad) tentang orang (Namrud) yang berhujjah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Allah telah memberi kuasa pemerintahan kepadanya? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan yang mematikan.” Dia (Namrud) berkata: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.” Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur maka terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah (Namrud) yang kafir itu (kerana kehabisan hujah). Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Tuesday, September 02, 2025

CONTOHILAH RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM

 





“Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia” 

(Surah al-Qalam : 4) 


Antara amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang patut dicontohi ialah:  


- Mengambil wudhu’ sebelum tidur.

- Meletakkan tangan di bawah pipi ketika tidur. 

- Tidak bersandar ketika makan dan makan menggunakan tiga jari. 

- Lebih banyak senyum daripada ketawa. 

- Senyum ketika bertemu orang lain. 

- Minum dengan dua atau tiga tegukan. 

- Mengutamakan sahur dan mengakhirkannya. 

- Menyegerakan berbuka puasa.

- Berbuka puasa dengan buah Kurma dan air.

- Menghadap kiblat ketika berdoa. 

- Mengangkat kedua tangan dan menyapukannya ke muka setelah habis berdoa.

- Mulakan berdoa untuk diri sendiri sebelum mendoakan orang lain. 

- Yakin doa akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. 

- Berdoa sebanyak tiga kali. 

- Tidur mengiring sebelah kanan.

Monday, September 01, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM : ADIL

 

Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya, iaitu memutuskan semua perkara di atas dasar kebenaran yang digariskan oleh Islam dan bukan kerana mengikut hawa nafsu.

Disebutkan dalam hadits riwayat Imam Abu Daud daripada Hanasy bahawa Ali ‘alaihissalam berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengutusku ke Yaman sebagai hakim, lalu aku berkata, “ Wahai Rasulullah, apakah engkau akan mengutusku sementara aku masih muda dan tidak memiliki ilmu mengenai pengadilan?” Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah akan memberi petunjuk kepada hatimu, dan meneguhkan lisanmu. Apabila ada dua orang yang berbalah duduk di hadapanmu maka janganlah engkau memberi keputusan sehingga engkau mendengar dari orang yang lain, sebagaimana engkau mendengar dari orang yang pertama, kerana sesungguhnya keputudan akan lebih jelas bagimu.” Ali berkata: “Setelah itu aku tetap menjadi hakim atau aku tidak merasa ragu dalam memberikan keputusan.”

Contoh dalam aspek kepimpinan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan seorang pemimpin yang sangat jujur dan adil di kalangan umat manusia. Sekiranya baginda tidak adil dalam kepimpinan baginda, pasti rakyat membenci dan bangkit menentang mereka. Keadilan yang baginda amalkan terserlah apabila baginda sendiri mengatakan bahawa baginda sanggup menghukum anak baginda Fatimah dengan hukum hudud sekiranya dia melakukan maksiat sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri akan memotong tangannya.”

Seorang pemimpin yang adil, sepatutnya tidak boleh terpengaruh dengan kedudukan orang yang akan dihukum sama ada mereka itu orang yang disenangi atau dibenci, mempunyai kaitan kekeluargaan ataupun orang lain.

Keadilan merupakan dasar ajaran Islam yang mesti ditegakkan. Sebaliknya, apabila keadilan diketepikan dan diabaikan, perpecahan dan kehancuran di kalangan umat pasti akan berlaku. Sebab itulah baginda menyeru seluruh umat baginda terutama para pemimpin dan hakim untuk sentiasa berlaku adil, dan telah menyatakan kedudukan dan keistimewaan pemimpin yang adil di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Zuhair, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil, kelak di sisi Allah berada di atas mimbar yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan ar-Rahman ‘Azza wa jalla, iaitu orang -orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan  tugas yang dibebankan  kepada mereka.”


Petikan daripada: Buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, Pusat Da'wah Islamiah