Translate

Tuesday, June 03, 2025

SAYIDATINA ‘AISYAH BINTI ABU BAKAR

 

Nama lengkap Sayidatina ‘Aisyah ialah ‘Aisyah binti Abu Bakar ash-Shiddiq bin Abu Quhafah Utsman bin ‘Amir. Sayidatina ‘Aisyah dilahirkan empat tahun setelah kenabian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sayidatina ‘Aisyah terkenal dengan nama panggilan as-Shiddiqah yang bermaksud perempuan yang berkata benar, dan nama timangannya pula Humaira’ yang bererti kemerah-merahan kerana beliau memiliki kulit cerah kemerah-merahan. 

Sayidatina ‘Aisyah adalah seorang yang sangat bijaksana dan sungguh istimewa. Beliau adalah penghulu wanita-wanita berilmu dan terkenal sebagai gedung ilmu. Beliau bukan sahaja berpengetahuan luas dalam bidang agama seperti al-Qur’an, tafsir, hadits dan fiqh. Malah beliau turut menguasai ilmu pengetahuan seperti sejarah, perubatan dan sastera. Ini kerana beliau mempunyai masa yang tidak terhad dan dapat belajar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak kira siang dan malam. Keluasan ilmu yang beliau miliki telah menjadikan beliau sebagai tempat rujukan para sahabat semasa hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, apatah lagi setelah kewafatan Baginda.

Kepintaran, kecerdasan, kebijaksanaan fikiran dan daya ingatan yang dimiliki Sayidatina ‘Aisyah inilah yang membuat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat mencintainya dan Baginda suka bercakap-cakap serta bergurau senda dengan beliau.

Setelah kewafatan Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Sayidatina ‘Aisyah juga telah melalui kehidupan di zaman Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar dan Khalifah Utsman yang sangat beliau hormati. Sehinggalah pada zaman pemerintahan Khalifah Mu’awiyah bin Abu Sufyan dan pada tahun-tahun akhir zaman berkenaan, Sayidatina ‘Aisyah jatuh sakit. Setelah menderita sakit selama lebih kurang dua minggu, Sayidatina ‘Aisyah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Selasa, 17 Ramadan pada tahun 58 Hijrah. Jenazah beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’ selepas menunaikan sembahyang Witir bersama Ummahatul Mu’minin dan Ahlul Bait yang lain. Ketika itu beliau berumur 66 tahun. Beliau telah berwasiat supaya tidak dikuburkan bersama mereka (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar) kerana menganggap diri beliau tidak layak mendapat penghormatan itu.

KEISTIMEWAAN SAYIDATINA ‘AISYAH

·        Wanita Istimewa

Keistimewaan beliau setanding dengan wanita-wanita mulia yang disebut di dalam al-Qur’an, dan diistilahkan dengan perumpamaan makanan istimewa pada zaman tersebut. Hal ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كَمَلَ مِنَ اؐلرِّجَالِ كَثِيرٌ وَلَمۡ يَكۡمُلۡ مِنَ اؐلنِّسَاءِ إِلَّا مَرۡيَمُ بِنۡتُ عِمۡرَانَ وَآسِيَةُ امۡرَأَةُ فِرۡعَونَ وَفَضۡلُ

 عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضۡلِ اؐلثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ اؐلطَّعَامِ

Maksudnya:

“Manusia yang sempurna dikalangan lelaki banyak namun tidak ada manusia yang sempurna dari kalangan wanita kecuali Maryam binti ‘Imran dan Asiyah, isterinya Fir’aun. Dan keistimewaan ‘Aisyah terhadap wanita-wanita lain bagaikan keistimewaan makanan ‘Tsarid’ dibandingkan dengan makanan lain. (Tsarid adalah sejenis makanan yang terbuat dari daging dan roti yang dibuat bubur dan berkuah).

·        Terjemahan Langsung Al-Qur’an dan Paling Memahami Sunnah

Ilmu hadits itu adalah peribadi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sayidatina ‘Aisyah sangat beruntung kerana beliau merupakan orang yang sentiasa berdampingan dengan Baginda serta berpeluang mengambil banyak bahagian daripada ilmu tersebut. Beliau dapat menyemak kata-kata Baginda secara langsung dan meminta penjelasan terus daripada Baginda tanpa memerlukan perantaraan.

Oleh itu beliau adalah satu-satunya wanita dan merupakan salah seorang diantara tujuh orang sahabat yang termasyhur yang paling banyak meriwayatkan hadits. Kebijaksanaan Sayidatina ‘Aisyah dalam menerangkan dan mentafsir hadits-hadits ada dijelaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Musa berkata:

مَا أَشۡكَلَ عَلَيۡنَا أَصۡحَابَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ حَدِيثٌ قَطُّ فَسَأَلۡنَا عاَئِشَةَ إِلَّا وَجَدۡنَا عِنۡدَهَا مِنۡهُ عِلۡمًا

Maksudnya:

“Tidak ada suatu kesulitan atas kami sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai hadits Baginda, lalu kami bertanya kepada ‘Aisyah, melainkan kami akan mendapatkan ilmu tentang hadits itu dari dirinya”.

·        Malaikat Jibril Pernah Menyampaikan Salam Untuk Sayidatina ‘Aisyah

Sebagaimana yang diceritakan dalam hadits Riwayat Imam al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

يَاعَائِشَةُ هَذَا جِبۡرِيلُ يَقۡرَأُ عَلَيۡكِ اؐلسَّلاَمَ. فَقَالَتۡ: وَعَلَيهِ اؐلسَّلَامُ وَرَحۡمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Maksudnya:

“Wahai ‘Aisyah, ini Jibril datang menyampaikan salam kepadamu”. ‘Aisyah berkata: “Wa’alaihissalam wa rahmatullahi wa barakatuh”.

Petikan daripada Buku Wanita-Wanita Mulia Dalam Kehidupan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah 1441H/2019M.