Translate

Thursday, July 17, 2025

BERLELUASA FITNAH AKHIR ZAMAN


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengkhabarkan  bahawa di antara tanda-tanda hari kiamat adalah munculnya pembohongan-pembohongan dan fitnah  besar yang bercampur di dalamnya kebenaran dan kebathilan. Jika kita lihat pada zaman ini, pembohongan sememangnya banyak berlaku  dan semakin berleluasa  lebih-lebih lagi pada era globalisasi dan teknologi kini di mana segala informasi mudah diperolehi dan disebarkan tanpa jelas keshahihannya.

Maksiat dan dosa daripada fitnah yang disebarkan dipandang mudah dan bebas dilakukan tanpa sebarang halangan. Justeru, atas sebab-sebab ini kita melihat fitnah maksiat itu menjadi semakin parah lebih-lebih lagi di dunia akhir zaman ini.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad dengan sanad yang shahih dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَظْهَرَ الْفِتَنُ، وَيَكْثُرَ الْكَذِبُ، وَتَتَقَارَبَ الْأَسْوَاقُ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ، وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ قِيلَ: وَمَا الْهَرْجُ؟ قَالَ: الْقَتْلُ

Maksud:

“Tidak terjadi hari kiamat sehingga muncul banyak fitnah, banyak pembohongan, berdekatannya pasar-pasar, berdekatannya zaman (masa) dan banyaknya al-Harj.”  Dikatakan : Dan apakah itu al-Harj? Rasulullah menjawab: “Pembunuhan.”

Akibat dari fitnah dan pembohongan inilah boleh terjadinya banyak pembunuhan sepertimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak dari Abdullah bin Mas’ud berkata:

وَإِذَا كَثُرَ الْكَذِبُ كَثُرَ الْهَرْجُ

Maksudnya:

Apabila banyak berlaku kebohongan, maka banyak pula berlaku pembunuhan.

Berkata al-Imam Nu’im bin Muhammad  dalam kitab al-Fitan daripada Ziyad atau Ibnu Ziyaad berkata: Saya mendengar Ka’ab al-Ahbaar berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda:

يَأْتِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ أَصْحَابُ الْأَلْوَاحِ , يُزَيِّنُونَ الْحَدِيثَ بِالْكَذِبِ تَفْصِيلَ الذَّهَبِ بِالْجَوْهَرِ

Maksudnya:

“Akan datang pada akhir zaman tuan-tuan Luh (penulis-penulis buku), mereka menghias percakapan dengan bohong sepertimana tukang emas menghiaskan emas dengan permata manikam.”

Petikan daripada Majalah al-Huda 2015, Pusat Da’wah Islamiah

Wednesday, July 02, 2025

MUSH’AB BIN UMAIR

 

Mush’ab bin Umair lahir dari sebuah keluarga Bani Abdu Dar yang kaya raya. Beliau diberi gelaran dengan Safir Al-Islam (duta besar islam), Mush’ab Al-khair (orang baik) dan Mush’ab Al-Qari’ (penghafal al-Qur’an).

Ayah beliau bernama Umair bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Abdu Dar, yang memiliki kedudukan yang tinggi dan juga salah seorang hartawan dikalangan kaumnya. Manakala ibunya bernama Khannash binti Malik, seorang wanita kaya raya yang mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baik pendidikan, memberi mereka pakaian yang paling indah dan mahal.

Beliau ialah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang merupakan seorang remaja Quraisy terkemuka, paling tampan, paling teguh pendiriannya dan penuh dengan semangat.

Disebabkan beliau memiliki tempat tersendiri di hati ibunya, ibunya sangat marah mendengar beliau memeluk agama Islam. Beliau dikurung dan dipenjara oleh ibunya. Beliau mencari muslihat dan berjaya mengaburi ibu dan penjaga-penjaganya, lalu beliau pergi ke Habsyi dan tinggal bersama saudara-saudara kaum muslimin.

Ketika beliau tampil di hadapan beberapa orang muslim yang sedang duduk di sekeliling Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, mereka menundukkan kepala dan memejamkan mata, sedih melihat keadaan beliau yang memakai jubah usang bertampal-tampal.

Beliau meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dinikmatinya serta memilih hidup miskin dan sengsara. Dengan menggunakan pakaian yang kasar dan usang, sehari makan dan beberapa hari menderita lapar. Tetapi jiwanya dihiasi aqidah dan kecemerlangan menjadikan beliau manusia yang dihormati, berwibawa dan disegani.

Beliau menjadi duta utusan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ke Madinah untuk mengajar selok-belok agama Islam kepada orang Ansar di Bukit Aqabah.

Ketika Perang Badar, saudara beliau yang masih musyrik, Abu Aziz bin Umair, dapat ditawan oleh tentera Islam dan Mush’ab tetap menganggapnya sebagai musuh.

Dalam Perang Uhud pula, beliau ditugaskan untuk memegang bendera kaum muslimin sedangkan sebelah tangannya memegang pedang, tangan kanan beliau ditetak oleh salah seorang tentera musyrikin sehingga putus. Dengan segera, beliau memegang bendera Islam dengan tangan kirinya kerana tidak mahu bendera tersebut jatuh ke tanah melainkan berkibar dengan megah. Tidak lama kemudian, tangan kirinya pula ditetak oleh pedang musuh. Namun, beliau dengan tabah cuba menahan bendera Islam tersebut pada dadanya. Ketika itu juga panah-panah para musuh bertubi-tubi datang ke arahnya dan akhirnya gugurlah beliau sebagai syuhada.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersedih melihat keadaan jasad beliau. Tidak sehelai kain pun menutupinya selain sehelai burdah. Andainya diletakkan di atas kepalanya, terdedahlah di bahagian kakinya. Dan akhirnya jasad beliau ditutup dengan rumput idzkhir (rumput yang mendatangkan bau harum di atas kubur) di bahagian kaki manakala di bahagian kepalanya ditutup dengan sehelai burdah.

[Petikan daripada Majalah Muslimin, Januari 2017M, terbitan Pusat Da’wah Islamiah]