Translate

Thursday, August 28, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM : JUJUR

 

بسم الله الرحمن الرحيم



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam terkenal sebagai manusia yang paling jujur bahkan kejujuran baginda sudah dikenali sebelum kedatangan Islam. Sifat jujur baginda merupakan sifat semula jadi yang terdapat dalam diri baginda sejak zaman kanak-kanak lagi. Dengan sifat jujur ini juga membuatkan orang ramai kagum dengan keperibadian baginda, sekalipun ada di antara mereka itu tidak beriman kepada baginda.

Sejarah merakamkan bahawa baginda telah diberikan kepercayaan oleh Sayidatina Khadijah untuk membawa barang-barang dagangannya yang akan diniagakan di negeri Syam. Ternyata kepercayaan ini dijaga dan dijalankan dengan penuh amanah, sehingga hasil dagangannya memperolehi keuntungan yang besar. Dengan keutamaannya ini, akhirnya telah menambat hati Sayidatina Khadijah untuk menjadikan baginda sebagai pendamping hidupnya. Betapa sifat jujur itu menjadikan seseorang itu sangat bernilai dan mulia di mata manusia apatah lagi di mata Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sangat menggalakkan umat baginda untuk berlaku jujur di dalam apa jua situasi.

Dalam hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah Radhiallahu ‘anhu telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya kejujuran akan membimbing kepada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang itu sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiring ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.”


Rujukan : Buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam Dalam Pergaulan

Monday, August 25, 2025

MENCINTAI RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM

 


Anak-anak,  kecintaan dan sayangnya kita kepada Rasulullah adalah  dengan mengenali Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana baginda adalah contoh untuk anak-anak berbuat kebaikan yang dapat  membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Rasulullah yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang perlu diketahui nasab, kehidupan, akhlak dan mu’jizat yang telah diberikan kepada baginda.


Imam at-Tirmidzi telah meriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencintai aku, adalah ia bersama aku dalam syurga.” 


Setiap 12 Rabi’ulawal, kita akan memperingati kelahiran Baginda  Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan memperbanyakkan bacaan selawat tanda kecintaan kita kepada baginda.  Anak-anak perlu tahu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi  wa sallam adalah manusia pilihan yang paling dicintai dan diagungkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti yang terdapat dalam alQur’an Surah Aali ‘Imraan ayat 32, yang tafsirnya: 


“Jika kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu.”