­

Tuesday, April 22, 2025

MASIH ADA ALLAH TEMPAT MENGADU

 


Cabaran dan dugaan adalah merupakan fitrah kehidupan. Tidak dinafikan kadang-kadang kita sebagai manusia akan hilang pertimbangan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang. Namun walau sebesar manapun dugaan hidup yang dihadapi, maka kita sebagai umat Islam hendaklah menghadapinya dengan penuh kesabaran kerana setiap dugaan yang datang itu merupakan ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi meningkatkan martabat seseorang di sisi-Nya.

Islam sangat menitikberatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut merupakan asas kepada kesejahteraan seseorang individu. Untuk memiliki mental yang sihat, seseorang individu itu memerlukan rohani yang sihat sebagai peneraju utama.

Justeru, untuk mendapatkan rohani yang sihat dan hati yang tenteram adalah dengan melakukan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi perkara yang haram. Sebagai umat islam, keperluan rohani perlulah diisikan dengan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala di setiap saat iaitu dengan mendirikan sembahyang serta amalan-amalan yang lain yang dianjurkan oleh islam seperti puasa, berzikir dan sebagainya.

Imam Muslim dalam kitab sahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَقۡرَبُ مَا يَكُونُ اؐلۡعَبۡدُ مِن رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكۡثِروا اؐلدُّعَاءَ

Maksudnya: “Sedekat-sedekat hamba kepada Tuhannya, ialah dikala hamba itu sedang sujud (di hadapan Allah), oleh itu perbanyakkanlah doa dalam sujud”.

Adapun, memperbanyakkan zikir juga merupakan satu terapi rohani yang sangat besar manfaatnya. Zikir boleh didefinisikan sebagai apa-apa yang disebut oleh lidah, sampai kepada hati dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Justeru, memperbanyakkan zikir seperti mengucapkan tasbih, tahmid, takbir, tahlil, istighfar dan lain-lain adalah satu kaedah untuk melahirkan jiwa yang sihat selain mampu menghilangkan kerisauan, memberikan ketenangan dan ketenteraman hati kepada pengamalnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab jami’nya, daripada Abu ad-Darda’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُم بِخَيرِ أَعۡمَالُكُمۡ، وَأَزۡكَاهَا عِنۡدَ مَلِيكِكُمۡ، وَأَرۡفَعَهَا فِي دَرَجَاتِكُمۡ، وَخَيرٌ لَكُمۡ مِنۡ إِنۡفَاقِ اؐلذَّهَبِ وَاؐلۡوَرَقِ، وَخَيرٌ لَكُمۡ مِنۡ أَنۡ تَلقَوا عَدُوَّكمُ فَتَضۡرِبُوا أَعۡنَاقَهُمۡ وَيَضرِبُوا أَعۡنَاقَكُمۡ؟قَالُوا: بَلَى، ذِكۡرُ اللهِ تَعَالى

Maksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling suci di hadapan tuhan kamu, paling mengangkat darjat kamu, dan lebih baik bagi kamu daripada menginfakkan emas dan perak dan lebih baik daripada kamu berhadapan dengan musuh kamu lalu kamu menebas leher mereka dan mereka menebas leher kamu? Jawab mereka: “Mahu, wahai Rasulullah”. Sabda Baginda: “Berzikirlah kepada Allah”.

Selain itu juga, setiap  hamba yang beriman hendaklah redha menerima kehendak dan ketentuan Allah Subhanahu Wwa Ta’ala dan yakin bahawa dugaan tersebut memiliki hikmah yang besar. Hendaklah bersabar menghadapinya tanpa keluh kesah malahan yakin bahawa ia adalah rahmat dari-Nya yang memberi peluang kepada seseorang untuk membersihkan diri dari dosa.

Imam Abu Daud dalam kitab sunannya meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengajar umatnya agar bersangka baik dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّ حُسۡنَ اؐلظَّنِّ باؐللهِ تَعَالَى مِنۡ حُسۡنِ اؐلۡعِبَادَة

Maksudnya: “Sesungguhnya berprasangka baik kepada Allah bahagian dari ibadah kepada Allah”.

Justeru, jadikanlah setiap keresahan dan kegundahan hati sebagai isyarat untuk kita lebih memperbanyakkan amalan, zikir, istighfar dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sesungguhnya memiliki kepercayaan dan keyakinan yang utuh terhadap Maha Pencipta akan menjadikan seseorang itu merasa lebih tenang, tenteram dan redha kerana adanya Allah tempat berdoa dan mengadu.

Petikan dari Majalah Al-Huda, Bil.156, Disember 2023M/1445H.