Translate

Tuesday, September 30, 2025

AKHLAK RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM : PEMAAF

 

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mempunyai keperibadian yang sangat mulia. Baginda sentiasa memberi kemaafan terhadap sesiapa jua dan tidak pernah membalas kejahatan yang pernah dilemparkan kepada baginda.

Contohnya, kejadian di Khaibar telah datang seorang wanita Yahudi membawa hidangan daging yang telah dibubuh racun kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu baginda makan sebahagian . Ketika itulah baginda dapat mengesan rasa racun itu lalu memuntahkannya. Kemudian wanita itu dipanggil dan dihadapkan kepada baginda. Apabila baginda menanyakan tentang racun itu kepada wanita tersebut, maka dia pun mengatakan bahawa dia memang berniat hendak membunuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Melihat hal tersebut para sahabat pun bertindak hendak membunuh wanita berkenaan. Tetapi baginda melarang mereka berbuat demikian kerana telah memaafkannya. Walaupun bekas racun itu jelas kelihatan di leher baginda dan telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Memberi maaf adalah bentuk kemuliaan perasaan kejiwaan yang menyuburkan rasa toleransi, menghilangkan dendam kesumat dan tidak menuntut hak. Ianya merupakan sifat yang banyak mendatangkan kebaikan, dan tidak pula mendatangkan kerugian apabila memaafkan kesalahan orang  lain walaupun mereka ternyata bersalah. Bahkan Islam memang menganjurkan umatnya supaya memiliki sifat pemaaf sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 199 yang mafhumnya:

“Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah  daripada orang-orang yang jahil.”

Memberi maaf itu tidak bererti kita lemah dan penakut, kerana memberi maaf dapat menghilangkan rasa permusuhan, memperbanyakkan teman serta mengeratkan silaturrahim. Malah cara demikian dapat memberikan kesan yang baik kepada orang yang diberi maaf. Pasti ia akan merasa akhirnya akan menimbulkan rasa persaudaraan yang akrab. Sebenarnya orang yang memberi kemaafan adalah orang yang kuat, kuat kerana mampu melawan nafsu amarah dan dendamnya sekaligus memperlihatkan kewibawaan dan kehebatan dirinya.

Untuk memiliki akhlak yang demikian kita perlu melatih dengan menahan perasaan marah dan mempertimbangkan kesan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak. Ini kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada disenghajakan  mahu pun tidak.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu  Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang terjemahannya:

“Orang kuat bukanlah yang sering mengalahkan orang lain bergelut,tapi dia adalah orang yang mampu mengendalikan diri saat marah.”


Petikan dari buku Bercermin Pada Akhlak Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam Dalam Pergaulan, Pusat Da'wah Islamiah

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan