Saturday, June 20, 2009

Lima Ciri Perkukuh Institusi Keluarga

Lima Ciri Perkukuh Institusi Keluarga


Hidup berkeluarga adalah fitrah setiap manusia yang dicipta Allah. Hidup berpasangan atau berkeluarga amat digalakkan Islam kerana pembentukan keluarga bukan sekadar memenuhi fitrah tabii manusia, tetapi juga mempunyai matlamat lebih penting iaitu untuk mendapat keredaan Allah.

Melalui institusi kekeluargaan setiap individu yang menjadi anggotanya akan dapat dibimbing dan dibantu antara satu sama lain dalam menunaikan tanggungjawab diamanahkan.

Kepentingan berkeluarga dititikberatkan oleh Islam sejak daripada awal kewujudan manusia malah, menjadi lebih penting apabila masyarakat hari ini diserang pelbagai keruntuhan sosial yang semakin membimbangkan.

Ini diburukkan lagi dengan kesibukan mengejar keuntungan material dan harta benda melebihi perhatian yang diberikan kepada keluarga. Keluarga yang bertakwa adalah keluarga yang mencontohi keperibadian dan akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW.

Ini dibuktikan walau bagaimana sibuknya Baginda menjalankan tugas sebagai Rasul dan pemimpin negara, tanggungjawab terhadap keluarga tidak sekali-kali diabaikan.

Ciri-ciri keluarga yang bertakwa ialah:

(1) Bertanggungjawab

Semua anggota keluarga mempunyai tanggungjawab sesuai dengan kedudukannya dalam keluarga. Suami, isteri, bapa, ibu atau anak mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain. Suami atau bapa mempunyai tanggungjawab berat untuk menjaga dan membimbing ahli keluarga supaya sentiasa berada di jalan yang diredai Allah. Ini kerana, keluarga yang bahagia tertegak atas dasar amanah dan tanggungjawab suami atau bapa selaku ketua keluarga.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya terdiri daripada malaikat yang kasar dan keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan." - (Surah at-Tahrim, ayat 6)

(2) Amanah

Amanah dan jujur dalam setiap tindakan perlu bagi memastikan keluarga yang dibentuk terus kekal serta menikmati ketenangan dan kebahagiaan sepanjang masa. Ini dilakukan dengan memberikan iltizam atau komitmen berterusan serta ikhlas dalam menunaikan kewajipan kepada Allah selain memastikan hak setiap ahli keluarga turut dipenuhi.

Sebagai bapa atau ibu, kita perlu menanamkan rasa cinta terhadap agama iaitu kepada Allah dan Rasul-Nya dalam diri setiap ahli keluarga. Antara nilai amanah yang harus dipenuhi termasuklah mengambil berat mengenai solat untuk membina ketakwaan dan sahsiah yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan perkara yang jahat dan mungkar." - (Surah al-Ankabut, ayat 45)

(3) Mempunyai kekuatan peribadi

Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa. Kekuatan peribadi dapat memperkukuhkan lagi ikatan kekeluargaan.

Ini dapat diterjemahkan melalui sikap tenang, sabar dan sentiasa bersyukur dalam menghadapi apa juga ujian serta dugaan. Ini termasuklah saling memohon dan memberi maaf sesama ahli keluarga serta sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dua tabiat yang dicintai oleh Allah adalah murah hati dan sabar."

(4) Mempunyai wawasan

Sebagai bapa atau ibu, masing-masing perlu berbincang untuk menetapkan wawasan yang ingin dan mesti dicapai. Dengan wawasan yang jelas, sudah tentu perjalanan hidup dilalui akan lebih terarah dan dapat memandu keluarga mengorak langkah ke arah kejayaan bersama.

Bagi merealisasikan wawasan itu, setiap anggota keluarga perlulah dari semasa ke semasa bermuhasabah untuk melihat sama ada keluarganya berada di jalan yang betul, diredai Allah atau sebaliknya.

(5) Berakhlak mulia

Ibu bapa dan anak perlu bekerjasama memupuk jati diri untuk menjadi insan yang jujur dan berpekerti mulia. Setiap anggota bertanggungjawab memelihara maruah diri dan keluarga seperti tidak terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah atau pergaulan tidak sihat.

Usaha mengukuhkan institusi keluarga, anak juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Seperti seorang bapa selaku ketua keluarga bertanggungjawab mendirikan keluarga bertakwa, Islam juga menganjurkan supaya anak bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa.

Tidak dinafikan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak terlalu besar hingga tidak dapat dibayar dengan wang ringgit dan harta benda yang melimpah ruah. Jasa mereka tidak akan mampu untuk dibalas.

Sebagai anak hendaklah kita mengenang jasa mereka, menjalankan kewajipan dan tanggungjawab dengan sempurna dengan mentaati ibu bapa selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan