Allah S.W.T telah mengurniakan kepada kita dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya seperti nikmat umur,nikmat rezeki,nikmat kesihatan,nikmat keamanan,nikmat panca indera seperti penglihatan,pendengaran dan sebagainya.
Sesungguhnya manusia itu dijadikan Allah Subhanahu Wataala dengan sebaik-baik kejadian. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah At Tiin ayat 4 tafsirnya :
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya".
Itulah di antara nikmat-nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wataala kepada umat manusia yang hendaknya disyukuri dan dipelihara. Akan tetapi berapa banyakkah hambanya yang bersyukur dan berterima kasih terhadap nikmat yang telah dikurniakan Allah itu?. Kerana kita dapati ada sebilangan orang yang sanggup mengingkari nikmat Allah dengan melakukan kejahatan dan kemungkaran di muka bumi ini sedangkan tujuan Allah Subhanahu Wataala mencipta manusia adalah sebagai khalifah yang memakmurkan bumi dengan kebaikan dan ketaatan.
Adapun nikmat yang dinyatakan tadi hanyalah cuma sebahagian dari nikmat-nikmat kurnia Allah. Namun begitu ini belum lagi termasuk nikmat Islam dan iman, nikmat kekayaan, nikmat kebahagiaan hidup, kelazatan, kesenangan rezeki dan sebagainya. Sebagaimana yang ditegaskan di dalam Al-Quran Surah An Nahl ayat 18 tafsirnya :
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkannya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu-persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi".
Pendengar Yang dirahmati Allah
Alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam ini, baik rakyat jelata mahupun penduduk yang berlindung di bawah naungan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari semenjak dahulu lagi hinggalah sekarang terus menikmati nikmat kehidupan yang aman dan sentosa.
Oleh itu kita seharusnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana di zaman era globalisasi ini, penuh dengan persaingan, pergolakkan dan perpecahan ini. Alhamdulilah, rakyat dan kedaulatan negara kita sentiasa terpelihara, aman dan sejahtera di bawah pemedulian dan keprihatinan raja yang sentiasa mengutamakan kebajikan, keharmonian dan kesejahteraan hidup bernegara dan bermasyarakat, raja yang sentiasa menitikberatkan ajaran Islam dan hukum-hukum Allah dalam pembentukkan dasar pentadbiran, pengurusan dan undang-undang negara mengikut ahli sunnah waljamaah bermazhabkan syafie.
Adapun di antara kemudahan yang dinikmati oleh kita ialah seperti kemudahan tempat beribadat seperti Masjid-masjid, surau-surau serta balai ibadat seluruh negara. Dari segi pendidikan pula, terbinalah institusi-institusi pendidikan tinggi, sekolah-sekolah menengah dan rendah seluruh negara dan lain-lain lagi. Oleh itu marilah kita tanamkan sikap bersyukur dengan adanya pemerintah yang bijaksana, adil dan saksama berteraskan ajaran Islam yang sebenar.
Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan dan kestabilan hidup yang kita nikmati dan kecapi di negara ini adalah berkat muafakat dan kesepaduan hidup bermasyarakat, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa yang diamalkan. Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan kebajikan dan menunaikan tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu Wataala.
Perlu diingat, adalah tidak mustahil nikmat keamanan dan keharmonian yang ada ini akan hilang jika tidak dijaga dan dipelihara. Bukankah Allah Subhanahu Wataala telah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan yang berkekalan lagi berterusan itu adalah melalui rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala seperti mana janji Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya :
"Dan ingatlah tatakala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras".
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah
Sesungguhnya mensyukuri nikmat Allah itu adalah bukan merupakan perkara yang susah, sebenarnya ianya mudah untuk dilakukan. Dan Islam sendiri mengajarkan umatnya untuk bersyukur dengan berzikir dan bertahmid kepadanya, ataupun dengan mengerjakan sujud syukur pada bila-bila masa. Di samping itu, syukur boleh diterjemahkan dengan cara melakukan melalui kepatuhan dan ketaatan kita dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-larangannya.
Saban masa dan ketika kita menikmati kurniaan ALLAH. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku setiap masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan ALLAH kepada kita.
Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita. Selagi kita hidup di muka bumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan ini. Begitulah penyayangnya ALLAH yang bersifat dengan Ar-RAHMAN. ALLAH menganugerahkan kurniaanNya kepada semua makhluk, sama ada yang taat kepadaNya atau sebaliknya. Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? ALLAH masih sayang kepada hamba-hambaNya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat itu.
Seperti Firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Rahman Ayat 42
Maka Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
. Allah mengulangi ayat ini sebagai amaran dan ingatan kepada kita supaya menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmatNya.
Pendengar Yang Dirahmati Allah
Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah setakat mengucapkan ‘alhamdulillah’. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan berdasarkan prinsip ‘amal makruf, nahi munkar’ atau buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konstan dan terus-menerus.
Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa akan segala kurniaan ALLAH. Ramai yang tidak mendirikan solat dan segala amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhanNya dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa ramai di antara hambanya yang tidak bersyukur, seperti dalam firmanNya dalam surah Saba ayat 13 yang tafsirnya:
(Dan sedikit sekali dari hamba-hamba KU yang bersyukur)
sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada ALLAH dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat.
Allah s.w.t. juga menjelaskan secara tepat sikap manusia yang gopoh dan lemah. Hanya hidup dalam detik-detik masa kini sahaja dan apabila dilanda sesuatu kesusahan ia lantas tidak teringat kepada detik-detik masa silam dan tidak dapat memikirkan masa hadapan.
Sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah Hud ayat 9 yang tafsirnya:
Dan jika kami rasakan kepada manusia suatu rahmat(nikmat) dari Kami,kemudian rahmat itu Kami cabut daripadanya,pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak bersyukur. (Hud: 9)
Mereka berputus asa daripada kebaikan dan tidak mengenang nikmat pada masa silam sebaik sahaja nikmat itu hilang daripadanya walaupun merupakan anugerah daripada Allah kepadanya. Ia menjadi begitu bergembira apabila mendapat nikmat daripada Allah dan merasa angkuh sebaik sahaja ia boleh mengatasi rintangan, mencapai kejayaan dan kesenangan.
Sebaliknya, mereka tidak tahan menanggung kesusahan, tidak sanggup bersabar ketika menghadapi detik-detik kepayahan dan tidak sanggup menunggu detik-detik keselamatan. Ia tidak tahu menjimatkan kegembiraan dan kemegahan apabila mendapat nikmat dan tidak tahu pula membuat perhitungan terhadap kemungkinan hilangnya nikmat-nikmat tersebut.
Akhirnya apabila Allah s.w.t. menarik balik nikmat daripadanya, ia mula dilanda perasaan susah hati dan amat berputus asa kerana nikmat yang dirasai selama ini tidak disyukuri.
Muslimin Muslimat Yang dirahmati Allah
Memang menjadi sikap manusia yang mudah lupa daratan apabila diberi nikmat . Sebaliknya mereka menjadi berputus asa dan kecewa apabila nikmat itu ditarik oleh Allah s.w.t. Mereka tidak berfikir semua pemberian dan kehilangan nikmat itu adalah ujian daripada Allah.
kita hendaklah sentiasa bersyukur dan menggunakan sebaik mungkin nikmat yang diberi. Apabila ditimpa kesusahan dengan kehilangan harta dan segala yang disayangi hendaklah kita menyedari bahawa semua nikmat itu adalah ujian Allah s.w.t. untuk menguji sejauhmana keimanan dan kesyukuran kita kepada-Nya.
Oleh yang demikian, marilah kita terus-menerus mensyukuri nikmat Allah itu dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Dan marilah kita sama-sama berdoa dan bermohon kepada Allah Subhanahu Wataala supaya raja dan rakyat jelata akan terus-menerus hidup aman sentosa di bawah naungan Allah Subhanahu Wataala jua.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An Nahl ayat 114 tafsirnya :
"Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata".
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan