Saturday, November 26, 2011

HIJRAH DALAM SEJARAH


HIJRAH( هجرة )Dari sudut bahasa, Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
المُهاَجِرُ مَنْ هَجَرَ السُّوْءَ فَاجْتَنَبَهُ
Yang bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya.” (Hadits riwayat Ahmad)

Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Bagaimanapun dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor antaranya ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam. Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah baginda. Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah mengarahkan pengikut baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali Yathrib).

Suatu hari pada 622 Sebelum Masihi, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Lalu Allah Subhanau wa Ta’ala menurunkan wahyu memerintahkan baginda meninggalkan Madinah waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan berkenaan. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur baginda.

Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah dengan niat mahu membunuh baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah. Lalu, mereka begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh baginda.

Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan. Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu. Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian baginda kecuali Aishah dan Asma’ serta orang gaji mereka, Abdullah.

Pada hakikatnya, baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. 
Setiba di Gua Thur, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraisy masih mahu membunuh baginda. Mereka menghampiri gua berkenaan tetapi gagal menemui Rasulullah di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan. Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.

Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap baginda. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Rasulullah dan sahabatnya Abuk Bakar tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah dan sahabatnya akhir merasakan bakal menemui kejayaan. Ketika Rasulullah dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan baginda. Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

Maka, pada hari Jumaat, Rasulullah akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah.. Ketika itu, kaum Muslim keluar menyambut kedatangan baginda. Rasulullah menunaikan solat di masjid di Lembah Ranuqna, tempat umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.

Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar berdasarkan firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Yang bermaksud: “Hanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Juga berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
المُسْلَمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَثْلِمُهُ، مَنْ كاَنَ فيِ حاَجَةِ أَخِيْهِ كاَنَ اللهُ فيِ حاَجَتِهِ
Yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim lain; dia tidak menzaliminya dan tidak boleh mengaibkannya. Dan sesiapa menunaikan hajat saudaranya, Allah tetap akan menunaikan hajatnya pula.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga membina Masjid Nabawi. Tempat itu asalnya adalah sebuah dusun kurma kepunyaan Bani Najjar yang diwakafkan untuk tujuan berkenaan. Rasulullah menyegerakan pembinaan masjid di Madinah adalah untuk dijadikan pangkalan bagi sebuah negara baru yang ditegakkan baginda. Di sinilah segala kegiatan masyarakat dijalankan. Sesungguhnya, hijrah Rasulullah bersama sahabat baginda bukan bertujuan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa, tetapi kerana suatu tujuan yang lebih besar yakni meneruskan perjuangan ke arah mendaulatkan agama Islam.

Tuesday, November 22, 2011

MAJLIS PENGISLAMAN BERAMAI-RAMAI

Majlis Pengislaman Beramai-ramai yg d adakan d Surau Pusat Da'wah Islamiah pd 23 Zulhijjah 1432H bersamaan 19 Nov 2011 (Sabtu). Seramai 10 orang Saudara Baru telah melafazkan ikrar Dua Kalimah Syahadah mereka di hamereka di hadapan tetamu Kehormat Majlis; Pengiran Hj Anuar bin Pengiran Seri Indera Pengiran Hj Ismail; Pegawai Pentadbir Kanan, Jbt Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Senarai nama saudara2 baru yang diraikan
Tetamu Kehormat : Pengiran Hj Anuar bin Pengiran Seri Indera Pengiran Hj Ismail; Pegawai Pentadbir Kanan, Jbt Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama



Taburan Bunga Rampai dr Tetamu Kehormat Majlis diiringi dengan Dikir Marhaban

Alhamdulillah... sambutan mesra silaturrahim dr jemputan khas majlis; Hajah Hasnah binti Haji Omar



Wajah-wajah kegembiraan dan ketenangan dari saudara2 baru yg diraikan

Friday, November 04, 2011

HARI RAYA AIDILADHA


Sejarah

Pada suatu hari Nabi Ibrahim ‘alaihissalam bermimpi, dalam mimpinya itu Allah Subhanahu wa Ta’ala menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas mendapati mimpi tersebut, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar, dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah mendapat kata sepakat dan mempersetujui, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa anaknya Ismail untuk disembelih. Setelah sampai tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana yang telah diperintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala, kedua-duanya pun berpeluk-pelukan sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan hingga dapat melaksanakan amanat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Firman Allah Subhanahu  wa Ta’ala dalam surah as-Saffat ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَبُنَيَّ إِنِّي أَرَى فيِ ٱلْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فانظُرْ مَاذَا تَرَى ج قَالَ يَأَبَتِ ٱفْعَلْ مَاتُؤْمَرُ سَتَجِدُنِى  إِن شَآءَ اللَّهُ مِنَ  ٱلصَّبِرِينَ (102)

“Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".

Pengenalan

Hari Raya Aidiladha ( الأضحى ) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke 10,11,12 dan 13 pada bulan Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 9 Zulhijjah,diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, kemudian diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Adapun bermula masuk waktu menyembelihnya ialah pada waktu pagi 10 Zulhijjah sesudah berlalu masa mengerjakan solat Hari Raya Aidiladha dan membaca doa khutbah dari terbit matahari. 

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا يَذْبَحَنَّ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُصَلِّي.

Maksudnya: Jangan menyembelih seseorang kamu (akan korban) sehingga selesai sembahyang. (Hadits Riwayat Tarmizi)

Sabda Baginda lagi:
مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاةِ فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلاةِ وَالْـخُطْبَتَيْنِ فَقَدْ تَـمَّ نُسُكَهُ وَاصابَ سُنَّةَ الـمُسْلِمِينَ.

Maksudnya: Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, maka sesungguhnya dia telah menyembelih untuk dirinya. Sesiapa yang menyembelih sesudah Hari Raya Haji dan dua khutbah, sesungguhnya sempurnalah ibadahnnya dan tepatlah menurut sunnah Islam
(Hadits Riwayat Bukhari)

Aidiladha merupakan perayaan yang istimewa kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Selain daripada itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari sahaja iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.
Adapun korban dari segi bahasa ialah dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.
Hari raya korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. Dan 10 Zulhijjah juga merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat yang akan diadakan pada sebelah pagi biasanya awal sedikit dari Hari Raya Aidil Fitri.
Selepas bersembahyang, maka bermulalah upacara korban, di antara binatang yang akan dikorbankan itu ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri dimana ia dilakukan ditempat kawasan masjid, sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hadits mengenai Hari Raya Aidiladha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا.

Maksudnya: “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan”.
(Hadits riwayat at-Tirmizi)

Thursday, November 03, 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH  RANCANGAN TELEVISYEN 
IHYA RAMADHAN 1432H
Pada 27hb Oktober 2011M, bersamaan dengan 29 Zulkaedah 1432H yang lalu, telah berlangsung satu majlis penyampaian hadiah bagi pemenang rancangan televisyen Ihya Ramadhan. Majlis tersebut telah diadakan di dewan persidangan Pusat Da'wah Islamiah. Rancangan ini dikelolakan oleh Pusat Da'wah Islamiah dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei.

Tetamu kehormat yang hadir di majlis itu ialah Yang Mulia Awg Hj Harun bin Hj Junid, Timbalan Seiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Rancangan Ihya Ramadhan ini telah disiarkan pada bulan Ramadhan yang lalu, yang telah disertai oleh 30 buah sekolah menengah dari ke empat-empat daerah. Rancangan tersebut berbentuk sketsa lakonan dan telah diadili oleh beberaa orang hakim. Hakim-hakim yang mengadili rancangan tersebut ialah Awg Muhammad Zefri Ariff bin Muhammed Zain Ariff dari Universiti Brunei Darussalam, Awg Mohammad bin Rajap dari Jabatan Sekolah-Sekolah dan Awg Isham bin Ismail dari Pusat Da'wah Islamiah.

Johan bagi rancangan Ihya Ramadhan ialah murid-murid Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, manakala Naib Johan pula disandang oleh Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Lambak Kanan dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit. Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan disampaikan oleh Tetamu kehormat majlis.
Di kesempatan ini juga, pihak Pusat Da'wah Islamiah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan rancangan Ihya Ramadhan. Hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala yang dapat membalas segala jasa abiskita. Segala kekurangan harap dimaafkan  sepanjang rakaman rancangan tersebut. Insya Allah kita akan berjumpa lagi pada tahun hadapan.
















 

Tuesday, September 13, 2011

MAJLIS TA'ARUF BERSAMA PESERTA MABIMS

Semalam iaitu pada 12hb September 2011,berlangsung Majlis Ta'aruf bersama peserta MABIMS bertempat di Dewan Pusat Da'wah Islamiah.. Adapun peserta MABIMS semua nya 41 orang... Majlis tadi di pengerusikan oleh Ustazah Dk Norhayati binti Pg Kasharan dan Ustazah Hajah Rogayah binti BPKDP Hj Abd Wahid. Kemudian majlis diteruskan dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Abdul Aziz.

peserta wanita MABIMS


Makan Malam sebelum Majlis dmulakan

Ustaz Aziz menyampaikan Tazkirah
Peserta2 MABIMS




Saturday, September 03, 2011

ATURCARA PROGRAM MUHIBBAH DA'IE MABIMS KALI PERTAMA (RINGKASAN)


Program ini tidak dibukakan kepada orang ramai, hanya peserta yang di jemput sahaja
 
ISNIN 12.09.2011

Ketibaan Peserta:-
·          Republik Singapura
·          Republik Indonesia
·          Republik Malaysia


SELASA 13.09.2011

·          Taklimat Metodologi Dakwah di Negara Brunei Darussalam oleh Awang Abd. Aziz bin Haji Abd Kahar 

·          Majlis Pembukaan Rasmi
Tetamu Kehormat :
Yang Berhormat, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman; 
Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

·          Ceramah Khas oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Mohd Zain bin Haji Serudin  

·          Bengkel Perbandingan Agama.
Fasilitator: Awang Haji Mail bin Besar


RABU 14.09.2011

·          Bengkel Kepelbagaian Aliran Agama Islam : Wakil dari Republik Indonesia.

·          Bengkel Kefahaman Dakwah kepada non-Muslim : Wakil dari Negara Malaysia.

·          "Tazkirah" oleh wakil dari Negara Brunei Darussalam : Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustapa


KHAMIS 15.09.2011

·          Bengkel metodologi dakwah : Pengislaman Republik Singapura : Wakil dari Republik Singapura.

·          Aktiviti Dakwah bermula 2.00 petang : Berdakwah kepada belia-belia di premis-premis Perniagaan Gadong.

JUMAAT 16.09.2011

·          Kuliah Subuh disampaikan oleh wakil peserta dari Negara Brunei Darussalam : Awg Ali Hassan bin Mohd Said.

·          Senaman pagi dan tracking di Taman Rekreasi Tasik Lama bersama Yang Mulia, Awang Haji Harun bin Haji Junid, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

·          Majlis Ta'aruf  bersama Persatuan Nur Islam (PNI) Brunei Muara.

·          "Tazkirah" oleh wakil peserta dari Republik Singapura

·          Ziarah dakwah ke rumah-rumah di Kg Bebuloh


SABTU 17.09.2011 (Daerah Temburong)

·          Ramah mesra bersama Persatuan Saudara-Saudara Baru Temburong (PESAT)

·          Lawatan ke Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD)

·          Berdakwah ke Rumah Panjang (Temburong)


AHAD 18.09.2011 (Daerah Tutong)

·          Kuliah Subuh disampaikan oleh wakil peserta dari Republik Indonesia

·          Ramah mesra bersama Persatuan Saudara-Saudara Baru Tutong (PESATU)

·          Berdakwah ke Kg, Ukong


ISNIN 19.09.2011 (Daerah Belait)
·          Kuliah Subuh  disampaikan oleh wakil peserta dari Negara Malaysia.

·          Kerja amal/Kemasyarakatan

·          Ramah mesra bersama Persatuan Sinar Islam (PSI) dan Sukan ria di Padang Sekolah Sultan Ahmad Tajudin, Kuala Belait.

·          "Tazkirah" oleh wakil peserta dari Republik Indonesia.


SELASA 20.09.2011 

·          Kuliah Subuh disampaikan oleh wakil peserta dari Republik Singapura.

·          Lawatan ke rumah bantuan Pusat Da'wah Islamiah di Kg Sungai Bakong.

·          Majlis Pertandingan Pidato Da'ie MABIMS bertempat di Pusat Da'wah Islamiah
Tetamu Kehormat :
Yang Mulia, Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

·          Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama:
Yang Mulia, Dato Paduka Awang Haji Md. Mahdi bin Pehin Orang Kaya DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abd. Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.


RABU 21.09.2011

·          Muzakarah Dakwah MABIMS di Pusat Da'wah Islamiah.

·          Majlis Penutupan Rasmi
·          Tetamu Kehormat :
Yang Mulia, Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

·          Forum oleh wakil dari setiap anggota negara MABIMS

·          Persembahan lagu dakwah dari peserta MABIMS.

Saturday, August 27, 2011

ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI


Sekarang kita berada di penghujung bulan ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kebajikan. Ini beerti hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan manyambut kedatangan Aidilfitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya melawan hawa nafsu menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan ramadhan ini diterima Allah Subhanahu waTa’ala dan mendapat rahmat, keampunan dan kita semua terhindar daripada api neraka.

Pada kelaziman nya kedatangan Hari Raya akan disambut dan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia, tidak terkecuali oleh umat Islam di negara ini. Apa yang menjadi tradisi umat Islam di Negara kita apabila menyambut Hari Raya ialah membuat bermacam-macam persiapan yang berbentuk material seperti membuat pakaian baru, juadah dan barangan rumah. Itulah yang dititikberatkan sehingga menyebabkan kesibukan apabila menjelang malam Hari Raya sehingga kita lupa perkara yang lebih afdal dilakukan ketika meraikan malam Hari Raya itu.

Sesungguhnya Islam telah menetapkan adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya antaranya:

1- Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wata’ala kepada hamba-hambanya. Masa memulakan takbir ialah apabila sahaja diisytiharkan nampak anak bulan hinggalah kaum muslimin pergi ke masjid-masjid dan imam naik keatas mimbar, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن

Tafsirnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur.”   

2- Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

3- Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

4- Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

5- Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum kemasjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja’ bin Raja telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata: Telah menceritakan Anas dari Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam: Dan baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil”.

6- Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadits yang maksudnya:

“Dari Al-Baraa’ ia berkata: Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang”.

7- Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah diantara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan ramadhan.

Begitulah indah dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari kegembiraan pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah subhanahu wata’ala. Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.

Dengan berakhirnya ramadhan jangan pula kita menjadikan sebagai titik penghujung amal ibadah kita kerana amal ibadah tersebut bukan sahaja dapat dilakukan bulan ramadhan bahkan kita hendaklah mempraktikkan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya AidilFitri dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam, dengan tidak mencemari sambutan AidilFitri dengan dosa dan maksiat atau perkara-perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan ibadat puasa dan segala amal ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu wata’ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu wata’ala dan seterusnya kita semua dibebaskan dari api neraka. Kita juga berdoa semoga kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan. Amin Ya Rabbal ‘alamin…

Thursday, August 25, 2011

Lailatul Qadar : Lebih Baik Dari Seribu Malam


Lailatul Qadar merupakan bulan yang sangat-sangat istimewa yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Ia dikurniakan sebagai rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita. Ia merupakan malam yang terbaik hinggakan kebaikkannya jauh lebih baik dibandingkan jangkamasa seribu bulan; iaitu 83 tahun 4 bulan, hal ini telah tsabit sebagaimana  firman Allah Subhanahu wa Ta’ala  dalam Surah al-Qadr ayat 1-5 :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)  
Tafsirnya:
1-      Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.
2-      Dan apakah engkau dapat mengetahui  apa dia kebesaran malam al-Qadr itu?
3-      Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
4-      Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan.
5-      Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman bahawa Dia menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang dipenuhi dengan keberkatan, kemuliaan dan kesejahteraan. Allah Subhanau wa Ta’ala berfirman dalam surah ad-Dukhan ayat 3, tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati.”, iaitu malam yang penuh dengan keberkatan. Dan malam itu berada di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran.” ( Al-Baqarah: 185).
Ia juga merupakan satu malam yang istimewa yang dianugerahkan oleh Allah Subhanu wa Ta’ala khas untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi memuliakan mereka, yang mana pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelumnya.

Sebab turun surah.
Sebab diturunkan ayat:
  1. Diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hasan Ibn ‘Ali bahawa malam al-Qadr adalah lebih baika dari seribu bulan. Turunnya surah ini adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan selama seribu bulan. Namun begitu kedudukan hadits ini adalah gharib dan ditolak.
  2. Abu Hatim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam telah menceritakan kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah memakai alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah selama seribu bulan, maka orang Islam pun terpegun serta kagum dengan cerita tersebut lalu  Allah menurunkan surah al-Qadr.
  3. Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasullullah bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat amat gembira.
Daripada riwayat yang tersebut di atas itu, dapatlah kita ketahui bagaimana besar dan istimewanya orang yang melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang jauh lebih baik daripada beramal 1000 bulan.

Tanda-tanda Lailatul Qadar
عن ابن عباس ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في ليلة القدر: « ليلة سمحة طلقة لا حارة ولا باردة يصبح شمسها صبيحتها ضعيفة حمراء »

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam yang penuh nyaman dan ketanangan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar.” (Riwayat al-Baihaqi: 3536 dan Abu Daud al-Thayalisi: 2793) – dinyatakan Shahih oleh al-Albani

عن جابر ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « إني كنت أريت ليلة القدر ، ثم نسيتها ، وهي في العشر الأواخر ، وهي طلقة بلجة لا حارة ولا باردة ، كأن فيها قمرا يفضح كواكبها لا يخرج شيطانها حتى يخرج فجرها »

Maksudnya: Dari Jabir berkata: Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku Lailatul Qadar, kemudian aku terlupakan darinya. Ia terjadi pada sepuluh malam yang terakhir. Ia adalah malam yang tenang, nyaman, tidak panas dan tidak dingin, seakan-akan ada bulan yang menyinari bintang-bintang, setan pada malam itu tidak akan keluar sampai waktu fajar tiba.” (Riwayat Ibn Hibban: 3758)

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatul qadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya.

Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ibadat yang berterusan ini amamt memberi kesan yang nyata pada jiwa dan raga umat Islam jika diamalkan kuhususnya pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadhan sama ada siang atau malamnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha yang gigih untuk mencapai matlamat memperolehi kelebihan lailatul qadar itu akan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Bagi sesiapa yang tidak berdaya untuk mengerjakan amal ibadat yang banyak maka hendaklah ia beramal dan beribadat sekadar yang mampu dalam usaha mencari malam lailatul qadar. Janganlah dibiarkan malam itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صلَّى العشاءَ في جماعةٍ فكأَنَّمـَا قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ ، ومَنْ صلَّى الصُّبْحَ في جماعةٍ فكأنَّمـَا صلَّى اللَّيْلَ كُلُّهُ.
                                                                                      (رواه الإمام مسلم)
Maksudny: ”Sesiapa yang bersembahyang Isyak dengan berjemaah, maka seolah-olah ia telah berdiri (bersembahyang) sebahagian malam. Dan sesiapa yang bersembahyang subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia berdiri (bersembahyang) sepanjang malam.”
                                                                                                                                                (Riwayat al-Imam Muslim)