Alhamdulillah, Syukur ke hadrat
Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa kita telah sampai ke penghujung bulan Ramadhan
dan akan bertemu dengan bulan Syawal. Di mana bulan Syawal merupakan hari
kemenangan bagi orang-orang Islam yang berjaya mengawal hawa nafsu dari
sebarang kemungkaran selama sebulan pada siang hari Ramadhan, malahan merupakan
satu kejayaan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Maka dalam
merayakan hari raya aidilifitri, kita janganlah lupa akan batasan-batasan
ketika menyambut aidil fitri.
Islam merupakan agama yang begitu
munasabah dan praktikal. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya
dalam beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan
itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, kita akan nampak wajah-wajah
keceriaan umat Islam dalam menyambutnya dengan memakai pakaian yang elok, berkumpul
seluruh ahli keluarga, kunjung-mengunjung sesama umat Islam dan banyak lagi. Perkara
seumpama ini merupakan perkara-perkara yang digalakkan dalam agama Islam bagi
menyambut hari raya Aidilfitri.
Dalam menyambut hari yang penuh
kegembiraan, kita janganlah lupa akan batas-batas yang peru dijaga. Antara
perkara yang perlu diberi perhatian semasa merayakan perayaan ialah:
a-
Menjaga tutur bicara
: dalam kita beramah mesra, setiap pertuturan hendaklah kita jaga supaya tidak
menyinggung perasaan saudara kita. Maka berkomunikasilah dengan cara yang baik,
jaga tutur kata dan berperilakulah dengan perlakuan yang baik supaya ia akan
dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan antara keluarga serta saudara-mara dan
bukanlah menambahkan kekeruhan.
b-
Maaf memaafkan:
perbuatan memohon serta memberi kemaafan adalah satu amalan yang mulia disisi
syarak. ini adalah salah satu adat resam kita apabila menyambut Aidilfitri
dengan saling bermaafan antara satu sama lain. Ucapan yang sering kita dengar
adalah “maaf zahir dan batin”. Dan memohon maaf bukanlah hanya pada waktu hari
raya, akan tetapi pada hari-hari yang lain. Memandangkan inilah peluangnya kita
berjumpa dan berkumpul dengan ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat lama yang
sudah tidak ditemui, maka ambillah peluang ini untuk memohon ke atas kesalahan
dan kesilapan yang pernah kita lakukan.
c-
Berjabat tangan atau
bersalam-salam: jika sebilangan individu, apabila bertemu dengan saudara
mara terdekat yang bukan mahram contohnya sepupu, isteri/suami kepada ibu/bapa
saudara dan lain-lain yang kita rasakan hampir atau dekat dengan kita,
teman-teman, sama ada lelaki atau perempuan ajnabi ialah bersalam-salaman. Di
hari perayaan ini, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama
lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah bermakna memohon
maaf ialah dengan berjabat tangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian,
perlu dihindari berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana hukum
berjabat tangan dengan wanita ajnabi (bukan muhrim) adalah haram.
Firman Allah dalam surah
an-Nisaa’ ayat 22:
وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ
آَبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً
وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا
Tafsirnya :
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu-bu tiri kamu) kecuali
apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah
satu perkara yang keji (di sisi syara’) dan dibenci (oleh Allah Subhanahu wa
Ta’ala) dan adalah seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
d-
Fesyen dan Aurat: di
dalam menyambut dan memeriahkan aidilfitri sudah setentunya akan nampak
pelbagai fesyen. Dalam konteks Islam kaedah berfesyen adaah digalakkan
(diharuskan akan tetapi, perlu diambil maklum aan batasan dalam hukum syara’.
Apa yang menyedihkan ialah mengenakan fesyen yang sangka sudah menutup aurat
tapi hakikatnya tidak. Umpama memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan
bentuk tubuh atau pakaian yang jarang yang menampakkan warna kulit walaupun
memakai tudung. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan perkara
tersebut dengan bersabda:
صِنْفَانِ مَنْ
أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ
يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عاَرِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ...
Maksudnya:”Ada
dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi
wasallam) melihatnya iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang
mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian
tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan
badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)…”
(Hadits riwayat Muslim)
Oleh yang
demikian, marilah kita kembali kepada konsep sebenar menutup aurat sepertimana
yang telah digariskan didalam Islam agar perayaan yang aidilfitri kita rayakan
mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Hari raya pada hakikatnya hari
yang sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Namun, dalam
meraikannya janganlah lupa batas-batas yang telah ditetapkan, adab-adab, nilai-nilai
murni yang perlu dijaga demi meninggikan syiar Islam dan kemuliaan.
*MB2*