Alhamdulillah bersyukur kita
kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnianya, kita diberi
kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan. Inilah yang selalu kita doakan
agar dipertemukan dibulan yang penuh berkat.
اللهُمَّ بَارِك لَنَا في رَجَبٍ وَشَعْبَانَ
وَبَلِّغْنَا فِي رَمَضَانَ
Ertinya: “Ya Allah berkatilah
kami dibulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Ramadhan ialah bulan yang ke 9
dalam bulan Islam. Ia merupakan bulan yang penuh dengan limpah rahmat dan penuh
keberkatannya. Dan juga merupakan satu bulan yang sentiasa ditunggu dengan
penuh kegembiraan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
dalam surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ
فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
.... (185)
Tafsirnya: “Masa yang diwajibkan
kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran
sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
“Ramadhan Kaim” seringkali dikatakan
oleh masyarakat Arab sebagai penghormatan atas datangnya bulan Ramadhan, bulan
yang penuh rahmat dan keampunan. Bulan Ramadhan digelar Karim kerana bulan ini
adalah bulan yang istimewa dan menyimpan banyak anugerah Allah yang dikhususkan
bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya terbuka luasnya
pintu taubat dan ampunan serta dilipatgandakan pahala-pahala kebaikan,
disamping rahsia agung yang terdapat pada malam lailatul qadar.
Perlu diketahui,apabila seseorang
itu mengucapkan atau mengatakan “ Ramadhan Karim” maka hendaklah kita
membalasnya dengan ucapan “Allahu Akram” (Allah Maha Pemurah). Jawaban ini
patut diucapkan agar kita sedar bahawa Allah adalah zat yang maha pemurah lagi
maha dermawan atas segala anugerah yang tak terhitung selama kita hidup di
dunia ini.
Semoga Allah menerima ibadah
puasa kita dan semua amalan-amalan yang bakal kita lakukan disepanjang bulan
Ramadhan. Dan semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala membantu kita untuk meneruskan
amalan-amalan kita, bukan setakat dibulan Ramadhan sahaja akan tetapi secara
berterusan sepanjang tahun, biarpun sedikit sebagaimana dalam hadits Aisyah
Radhiallahu anha yang berkata :
عن عائشة رضى الله عنها قالت: قال النبي صلى الله
عليه وسلم :وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Baginda bersabda: Amalan
yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah amalan yang berterusan
walaupun sedikit.”
*MB2*