Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu waTa'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita semua dapat menikmati suasana kehidupan aman damai dan sejahtera di dalam sebuah negara yang kita cintai ini. Sesungguhnya kita amat bertuah menjadi rakyat negara ini yang mengamalkan cara hidup yang berlandaskan ajaran Islam dengan mempunyai seorang raja sebagai pemimpin dan ketua negara. Kita juga beruntung kerana negara kita mempunyai falsafah yang tersendiri iaitu 'Melayu Islam Beraja'.
Di Negara Brunei Darussalam, sistem pemerintahan beraja telah wujud sekian lama dimana raja adalah menjadi kepala negara yang memegang tampok kerajaan. Sebagai rakyat, kita hendaklah taat dan kasih kepada raja dan perlu bagi seseorang rakyat itu mengenali rajanya, antaranya dengan mengetahui salasilah dan tarikh keputeraannya. Di samping itu juga adalah menjadi kewajipan setiap rakyat untuk mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu tidak bertentangan dengan hukum syara'.
Allah Subhanahu waTa'ala berfirman dalam Surah An Nisaa' ayat 59:
"...يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ"
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulilamri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu...".
Kita bersyukur kerana negara kita dikurniakan seorang raja dan pemimpin yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan keselesaan rakyat agar menikmati keamanan, keharmonian dan hidup rukun damai.
Semenjak baginda menaiki takhta pada tahun 1967, seluruh rakyat dapat merasai nikmat kemajuan dan kemakmuran Negara dibawah payung pemerintahan baginda. Di antara kemudahan yang dinikmati oleh rakyat ialah seperti masjid-masjid, surau-surau, balai ibadat, institusi-institusi pendidikan tinggi, sekolah-sekolah, rumah-rumah sakit, klinik kesihatan dan lain-lain kemudahan lagi yang disediakan.
Negara kita juga telah banyak mencapai kemajuan, pembangunan dan perubahan hasil dari usaha baginda dalam menaik taraf negara untuk mampu bersaing dengan negara-negara yang membangun dan maju sehingga menjadikan Negara Brunei Darussalam setanding dengan negara-negara lain.
Dan Alhamdulillah.. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pada 15 Julai 2012 (hari ini), genaplah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 66 tahun.
Oleh itu, marilah kita sama-sama mendoakan sebagai menzahirkan rasa syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu waTa'ala dan taat setia kita kepada raja sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala. Dan jadikanlah diri kita golongan hamba-hamba yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah dan Rasulnya serta Ulilamri (raja atau pemimpin). Sama-samalah kita berdoa semoga raja kita yang dikasihi dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan saksama dibawah perlindungan Allah Subhanahu waTa'ala dan negara kita akan terus aman makmur dibawah kepimpinan baginda. Amin Ya Rabbal'alamin.
*MB3*
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan