Monday, December 22, 2014

Jangan Meriahkan Perayaan Agama Lain Walau Sekadar Suka-Suka

Kemeriahan hari-hari perayaan yang disambut oleh penganut agama lain kadang-kadang menggamit sesetengah orang-orang Islam untuk turut sama meraikannya. Perlu kita sedar bahawa setiap perayaan agama lain yang diadakan itu bukan hanya sekadar sambutan semata-mata, tetapi juga sebagai memperingati sejarah perayaan tersebut yang tentunya mempunyai hubungkait dengan agamanya. Dalam kemeriahan menyambut perayaan seumpama itu wujud kepercayaan atau amalan yang tidak sesuai dan jelas ditolak oleh Islam. Kadang-kadang kepercayaan itu juga diselitkan dalam bentuk hiburan, dengan membawa maksud sama ada untuk memeriahkan suasana perayaan atau tujuan keagamaan yang tidak disedari.

Oleh kerana itu, orang-orang Islam perlu berhati-hati agar tidak mudah terikut-ikut dengan perayaan sedemikian yang langsung tidak ada kaitannya dengan Islam. Kerana yang ditakuti daripada perbuatan terikut-ikut ini adalah tasyabbuh (penyerupaan) yang tanpa disedari boleh menyentuh kesucian aqidah umat Islam sebagai contoh sempena perayaan hari Krismas, terdapat orang-orang Islam yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak, para remaja dan orang-orang dewasa yang kelihatan memakai topi atau pakaian ‘Santa Claus’ atau pakaian ikon keagamaan mereka yang lain yang diedarkan oleh beberapa premis perniagaan bagi tujuan memeriahkan suasana perayaan tersebut.

Contoh dari segi penyerupaan yang lain pula ialah terdapat segelintir orang yang turut serta dalam party Halloween yang diadakan oleh kawan-kawan, sedangkan kita mengetahui bahawa perayaan tersebut langsung tiada kaitannya dengan Islam. Halloween yang juga dikenali sebagai All Hallows’ Eve atau Evening merupakan antara hari-hari perayaan orang bukan Islam. Ia disambut atau dirayakan pada 31 Oktober setiap tahun. Antara tujuan perayaan ini dirayakan adalah untuk menandakan kedatangan roh-roh orang mati melawat semula kediaman mereka dan wujudnya kepercayaan mengenai dengan hantu, tukang sihir, syaitan dan seumpamanya berkeliaran pada hari tersebut.

Persoalannya, apakah pandangan Islam mengenai perkara seumpama ini?

Orang Islam dilarang menyerupai amalan agama lain dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah mereka.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar  Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah  Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Barangsiapa menyerupai (sesuatu) kaum, maka dia adalah daripada (golongan) mereka (kaum yang diserupainya itu).” (Hadits riwayat Abu Daud).

Di dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, disebutkan pendapat Imam al-Munawi dan al-‘Aqlami Rahimahumallah menyebutkan bahawa maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan seusatu kaum itu ialah sebagai berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.

Berdasarkan keterangan di atas, maka dapatlah difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu tidak hanya terhad pada perayaan keagamaan dan budaya mereka, bahkan orang-orang Islam perlu berhati-hati terhadap maksud penyerupaan tersebut. Umpamanya penyerupaan dari segi pakaian khusus pada sesuatu agama atau pakaian khusus yang menjadi kepercayaan sesuatu agama atau menjadi simbol perayaan sesuatu agama apa lagi jika dia suka atau berniat untuk menyerupai sesuatu agama itu.

Menyentuh mengenai penyerupaan dengan orang bukan Islam dari segi berpakaian yang menjadi lambang atau tanda khusus yang membezakan mereka dengan orang-orang Islam; tersebut di dalam kitab Raudhah ath-Thalibin susunan Imam an-Nawawi Rahimahullah, menurut pendapat yang shahih bahawa orang yang memakai qalansuwah al-Majus (topi kecil yang dipakai orang Majusi) di atas kepalanya, maka dihukumkan dia kufur.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah pula, memakai topi orang Majusi atau yang seumpamanya daripada pakaian-pakaian yang menunjukkan tanda atau symbol orang bukan Islam tidak menyebabkan kufur jika tidak disertai dengan niat.

Kesimpulan daripada perbahasan para ulama, pengarang Kitab Bughyah al-Mustarsyidin, as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdurrahman bin Muhammad bin al-Husain bin ‘Umar Ba’lawi Rahimahullah mengatakan:

“Hasil dari apa yang disebut oleh para ulama mengenai dengan berpakaian dengan pakaian orang-orang kafir (ialah); sama ada seseorang itu berpakaian dengan pakaian mereka (orang kafir) kerana suka atau cenderung kepada agama mereka (orang kafir) dan berniat untuk menyerupai dengan mereka dalam simbol-simbol kekufuran, atau pergi bersama mereka (orang kafir) ke rumah-rumah ibadat mereka (orang kafir), maka menjadi kufurlah dia yang demikian itu dengan kedua perkara tersebut.

Dan sama ada dia tidak berniat sedemikian (tidak ada maksud hatinya untuk suka atau cenderung kepada agama kafir) bahkan maksud atau tujuannya hanya untuk tasyabbuh (penyerupaan) semata-mata dengan mereka pada simbol-simbol perayaan mereka atau sebagai penghubung kepada muamalah yang membolehkan (untuk) bersama mereka, maka orang tersebut berdosa.
Dan sama ada dia hanya sama dengan mereka (secara kebetulan sahaja) tanpa apa-apa maksud atau niat, maka hukumnya (adalah) makruh.”

Dari apa yang dikatakan oleh as-Sayyid asy-Syarif ‘Abdurrahman di atas dapat disimpulkan beberapa perkara, iaitu:
  1. Seseorang itu dihukumkan kufur (keluar dari agama Islam) jika dia berpakaian dengan pakaian agama (yang khusus bagi) orang kafir disebabkan dia suka atau cenderung kepada agama mereka dengan niat untuk menyerupai mereka pada simbol-simbol kekufuran mereka.
  2. Jika seseorang itu memakai pakaian orang kafir dengan tujuan menyerupai mereka pada simbol perayaan keagamaan mereka semata-mata tanpa ada perasaan suka atau cenderung pada agama mereka atau memakainya untuk membolehkannya bermuamalah bersama mereka, maka dia berdosa.
  3. Makruh hukumnya dia memakai pakaian orang kafir secara kebetulan sahaja, iaitu tanpa maksud atau niat tertentu.
Dari keterangan diatas, jelas bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) dengan orang kafir itu ialah dari segi perkara yang menunjukkan simbol-simbol kekufuran sama ada tingkah laku, pakaian, perayaan dan yang seumpamanya yang boleh menjejaskan aqidah Islam.

Walau bagaimanapun, tasyabbuh (penyerupaan) pada perkara kebaikan tidaklah dilarang, begitu juga tasyabbuh (penyerupaan) pada tingkah laku positif selama mana ia tidak menjejaskan aqidah Islam dan tidak bercanggah dengan apa yang disyariatkan Islam.

Perkara ini ada disebut oleh asy-Syaikh Abu Muhammad bin Abi Jamrah Nafa’ullahu bih  ketika menjelaskan hadits yang melarang kaum lelaki daripada menyerupai kaum perempuan, begitu juga sebaliknya, Beliau berkata:

“Zahir lafaz (hadits yang melarang kaum lelaki menyerupai kaum perempuan dan sebaliknya) adalah celaan daripada perbuatan tasyabbuh (penyerupaan) pada semua perkara, akan tetapi yang diketahui daripada dalil-dalil lain bahawa yang dimaksudkan (celaan tersebut ialah) tasyabbuh pada pakaian, sebahagian sifat-sifat, tingkah laku (perbuatan) atau pergerakan dan yang seumpamanya, bukan (celaan tersebut pada) tasyabbuh dalam perkara-perkara yang baik.”

Sebagai kesimpulan, berhubung dengan perayaan orang-orang kafir ini, umat Islam dilarang untuk merayakan walaupun hanya dengan turut serta memeriahkan perayaan-perayaan keagamaan tersebut. Begitu juga dilarang menyerupai perbuatan-perbuatan khusus yang dilakukan ketika menyambut perayaan-perayaan keagamaan mereka serta dilarang memakai pakaian yang khusus pada sesuatu agama atau sesuatu agama yang menjadi kepercayaan sesuatu agama atau menjadi simbol perayaan sesuatu agama kerana ditakuti boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Wallahu’alam

(
Sumber: Irsyad Hukum 2011, Jabatan Mufti Kerajaan. Jabatan Perdana Menteri)

Tuesday, November 18, 2014

TAQWA MEMBENTUK PERIBADI MULIA.

Ketinggian martabat insan di sisi Allah dinilai bukan dari segi pangkat atau kedudukan, darjat keturunan, kemewahan atau harta benda malah bukan juga warna kulit atau paras rupa. Sebaliknya Islam menilai kemuliaan seseorang dari segi batinnya, iaitu imannya, kebersihan hatinya dan ketaqwaannya. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujuraat : 13)

Taqwa sangat penting kepada seseorang mukmin kerana ia umpama nyawa yang sentiasa menghidupkan hati. Pergerakan hati seorang insan yang bertaqwa sentiasa dipandu cahaya Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

قُلْ إِنْ تُخْفُوا مَا فِي صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ يَعْلَمْهُ اللَّهُ وَيَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya: dan ia mengetahui segala apa yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Ali-‘Imraan : 29)

Firman Allah lagi:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“…Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”.
(Surah at-Talaq : 2-3)

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa mereka yang bertaqwa akan mendapat pemeliharaan dan perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala serta diberi jalan keluar sewaktu menghadapi sebarang masalah. Mereka juga akan diberi rezeki oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh yang demikian, sudah sewajarnya bagi seorang muslim merebut peluang ini bersungguh-sungguh bagi membentuk jiwa dan diri masing-masing untuk mencapai tahap dan kedudukan yang tinggi dan mulia.

Dari Abu Dzar katanya; Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya:
“Takutlah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, susulilah perbuatan buruk dengan kebaikkan, maka kebaikkan itu akan menghapuskannya. Dan pergaualilah manusia dengan budi pekerti yang baik.”
(Riwayat Imam at-Tirmizi)

Allah berjanji akan mengurniakan pertunjuk kepada orang bertaqwa dan menjadikan mereka orang yang berjaya, sebagaimana firman-Nya:

وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“…Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak…”
(Surah al-Baqarah : 212)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi:

إِنَّهُمْ لَنْ يُغْنُوا عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَإِنَّ الظَّالِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka; dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).”
(Surah al-Jaathiyah : 19)

Dalam sebuah hadis dari Abu Umamah bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah dalam haji wida’ (haji terakhir), baginda bersabda:

اتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ وَصَلُّوا خَمْسَكُمْ وَصُومُوا شَهْرَكُمْ وَأَدُّوا زَكَاةَ أَمْوَالِكُمْ وَأَطِيعُوا ذَا أَمْرِكُمْ تَدْخُلُوا جَنَّةَ رَبِّكُمْ

Maksudnya:
“Bertaqwalah kepada Allah, kerjakanlah sembahyang lima waktumu, lakukanlah puasa dalam bulanmu (Ramadhan), keluarkanlah zakat harta-hartamu, taatilah pemimpinmu, nescaya kamu akan masuk syurga Tuhanmu.”
(Riwayat Imam at-Tirmizi)

Thursday, July 17, 2014

Memperbanyakkan Amal Soleh di Bulan Ramadhan



Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. 
 
Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah). 

Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan.

Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka. 
 
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak. 
Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka.

Kita perlu mengingatkan diri kita iaitu tujuan berpuasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif.
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja. 

Bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. 

Kesimpulannya, semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan di tahun yang akan datang. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.


Thursday, July 10, 2014

Ramadhan: Madrasah Menuju Taqwa



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah Subhanahu waTa’ala di atas limpah rahmat dan kasih sayangnya jua, kita masih lagi dapat merasai kemanisan berpuasa di bulan yang penuh hikmah ini.

Allah Subhanahu waTa’ala menganugerahkan kita bulan yang penuh rahmat, barakah, dan keampunan ini sebagai suatu hadiah khusus untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bulan Ramadhan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat di bulan yang lain.

Antara keistimewaan bulan Ramadhan adalah seperti turunnya Al-Quran sebagai petunjuk untuk orang-orang yang beriman, dan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam “Lailatul Qadar” yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal soleh dan syaitan-syaitan juga dibelenggu pada bulan suci ini.

         Sesiapa sahaja yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanannya, iaitu hanya mengharapkan redha Allah Subhanahu waTa’ala, akan diampunkan atasnya dosa-dosa yang lalu seumpama dia baru dilahirkan dari rahim ibunya. Allah Subhanahu waTa’ala melipatgandakan pahala amalan sunat bersamaan dengan amalan wajib, dan pahala amalan wajib sehingga tujuh ratus kali ganda. 

Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat Islam. Bulan Ramadhan menyaksikan Allah Subhanahu waTa’ala memberikan pertolongannya kepada kaum muslimin ke atas kemenangan dalam pembebasan kota Mekah (fathul Makkah), perang Badar, penaklukan Andalusia (Sepanyol dan Portugal) dan banyak lagi. 

Allah Subhanahu waTa’ala mengaitkan puasa bulan Ramadhan dengan suatu jalan menuju ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al Baqarah, ayat 183 : 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
 
Walau bagaimanapun,Taqwa bukanlah sekadar pengakuan semata-mata. Sebaliknya, taqwa  adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan. Allah Subhanahu waTa’ala memerintahkan kita agar mengikuti seluruh ajaran yang dibawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan mencegah diri dari segala larangan yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

             Taqwa merupakan ketaatan total terhadap semua hukum Islam tanpa pengecualian seperti yang telah yang diwahyukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Berkaitan dengan persoalan ini Allah Subhanahu waTa’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208-209 :

[208] يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
[209] فَإِن زَلَلْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْكُمُ ٱلْبَيِّنَٰتُ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, masuk-lah kalian semua ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kebenaran kepadamu, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
Allah Subhanahu waTa’ala turut menegaskan dalam surah an-Nuur ayat 52: 

وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Tafsirnya: “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”.

Berlandaskan hal ini, Imam Al- Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya taqwa dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah Subhanahu waTa’ala, hanya ber­bakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa. 

Kita yakin syariat Islam telah lengkap dan disempurnakan oleh Allah Subhanahu waTa’ala (Al-Maidah, ayat 3). Kita juga patut meyakini syariat yang diturunkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini syariat yang kekal dan sesuai hingga hari akhirat. Kita juga sepatutnya meyakini Islam ada penyelesaian terhadap semua masalah umat.

Sebagai penutupnya, marilah kita sama-sama berusaha menjadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai satu wadah dan momentum bagi kita sebagai umat islam untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Marilah kita jadikan amalan kita di bulan penuh barakah ini sebagai satu platform atau penanda aras bagi kita untuk lebih memperbaiki diri dari masa ke semasa. Amin Ya Rabbal’alamin.