Alhamdulillah,
bersyukur kepada Allah Subhanahu waTa’ala di atas limpah rahmat dan kasih
sayangnya jua, kita masih lagi dapat merasai kemanisan berpuasa di bulan yang penuh
hikmah ini.
Allah Subhanahu waTa’ala
menganugerahkan kita bulan yang penuh rahmat, barakah, dan keampunan ini
sebagai suatu hadiah khusus untuk umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi
wasallam. Bulan Ramadhan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan yang tidak
terdapat di bulan yang lain.
Antara keistimewaan
bulan Ramadhan adalah seperti turunnya Al-Quran sebagai petunjuk untuk
orang-orang yang beriman, dan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan
iaitu malam “Lailatul Qadar” yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beramal
soleh dan syaitan-syaitan juga dibelenggu pada bulan suci ini.
Sesiapa sahaja yang berpuasa pada bulan Ramadhan
kerana keimanannya, iaitu hanya mengharapkan redha Allah Subhanahu waTa’ala,
akan diampunkan atasnya dosa-dosa yang lalu seumpama dia baru dilahirkan dari
rahim ibunya. Allah Subhanahu waTa’ala melipatgandakan pahala amalan sunat
bersamaan dengan amalan wajib, dan pahala amalan wajib sehingga tujuh ratus
kali ganda.
Bulan Ramadhan
merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat Islam.
Bulan Ramadhan menyaksikan Allah Subhanahu waTa’ala memberikan pertolongannya
kepada kaum muslimin ke atas kemenangan dalam pembebasan kota Mekah (fathul
Makkah), perang Badar, penaklukan Andalusia (Sepanyol dan Portugal) dan
banyak lagi.
Allah Subhanahu waTa’ala
mengaitkan puasa bulan Ramadhan dengan suatu jalan menuju ketaqwaan seperti
firmanNya dalam surah Al Baqarah, ayat 183 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Tafsirnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Walau bagaimanapun,Taqwa
bukanlah sekadar pengakuan semata-mata. Sebaliknya, taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan.
Allah Subhanahu waTa’ala memerintahkan kita agar mengikuti seluruh ajaran yang
dibawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan mencegah diri dari segala
larangan yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Taqwa merupakan ketaatan total terhadap
semua hukum Islam tanpa pengecualian seperti yang telah yang diwahyukan kepada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Berkaitan dengan persoalan ini Allah
Subhanahu waTa’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208-209 :
[208] يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
[209] فَإِن زَلَلْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْكُمُ ٱلْبَيِّنَٰتُ فَٱعْلَمُوٓا۟
أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang
beriman, masuk-lah kalian semua ke dalam Islam secara keseluruhan, dan
janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh
yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah
datang kebenaran kepadamu, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana”.
Allah Subhanahu waTa’ala turut menegaskan
dalam surah an-Nuur ayat 52:
وَمَنْ يُطِعِ اللهَ
وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Tafsirnya: “Dan barangsiapa yang taat
kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, dan bertaqwa kepada-Nya, maka
mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”.
Berlandaskan hal ini,
Imam Al- Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa
dengan adanya taqwa dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut
kepada Allah Subhanahu waTa’ala, hanya berbakti dan tunduk kepada-Nya, serta
membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.
Kita yakin syariat
Islam telah lengkap dan disempurnakan oleh Allah Subhanahu waTa’ala (Al-Maidah,
ayat 3). Kita juga patut meyakini syariat yang diturunkan kepada Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam ini syariat yang kekal dan sesuai hingga hari
akhirat. Kita juga sepatutnya meyakini Islam ada penyelesaian terhadap semua
masalah umat.
Sebagai penutupnya,
marilah kita sama-sama berusaha menjadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai satu
wadah dan momentum bagi kita sebagai umat islam untuk meningkatkan ketaqwaan
kita kepada Allah. Marilah kita jadikan amalan kita di bulan penuh barakah ini
sebagai satu platform atau penanda aras bagi kita untuk lebih memperbaiki diri
dari masa ke semasa. Amin Ya Rabbal’alamin.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan