Pada
dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar
pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima
daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan
menjejaskan fitrah kemanusiaan.
Amat
beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan
Al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya amat rugilah
jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran &
Sunnah).
Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan
berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah,
mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh
mana kemaksiatan telah ditinggalkan.
Amalan
puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar
atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran,
penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan
syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan
berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai
lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan
dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala
mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika
dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap
kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya
pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
Setelah
mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita
digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti
membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan
sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang
banyak.
Walaupun
tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang
tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu
malamnya. Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang sederhana. Janganlah
melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka.
Kita
perlu mengingatkan diri kita iaitu tujuan berpuasa ialah untuk melawan godaan
syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah,
maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna
tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif.
Syaitan
sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan
syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk
berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan;
selebihnya dibuang saja.
Bulan
puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng
jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh
syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang
kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini.
Kesimpulannya, semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan
di akhirat. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan di tahun yang akan
datang. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala
ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan
diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan