Seperti yang diyakini di dalam
diri setiap umat Islam, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah
seorang utusan Allah Subhanahu waTa’ala yang terakhir di muka bumi ini. Tiada lagi
nabi yang akan datang selepas baginda sehinggalah ke akhir zaman. Perkara ini
jelas disebutkan dalam Surah al-Ahzab ayat 40, Firman Allah Subhanahu waTa’ala:
مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ
اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
Tafsirnya:
“Nabi Muhammad bukanlah bapa
sebenar bagi seseorang laki-laki antara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan
penutup nabi-nabi. Dan Allah adalah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.”
Sesungguhnya Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diutus untuk memimpin umatnya di dunia ini
ke jalan yang di redhai Allah Subhanahu waTa’ala. Baginda merupakan teladan
yang wajib dicontohi dan diikuti oleh setiap umat Islam sebagai cerminan diri
mereka di dalam mengharungi kehidupan seharian.
Allah Subhanahu waTa’ala telah
menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai uswah hasanah iaitu
contoh ikutan yang baik dalam melaksanakan syariatNya. Sebagaimana disebutkan
dalam Firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam Surah al-Ahzab ayat 21:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ
يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Tafsirnya:
“Demi sesungguhnya pada diri
Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang
mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak
berzikir mengingati Allah”
Seorang muslim itu tidak mungkin
dapat menunaikan ibadahnya dengan betul dan sempurna melainkan dia meneladani
dan mengikuti etika Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beribadah. Perkara
ini merupakan satu kewajiban ke atas umat Islam yang mengaku beriman kepada
Allah Subhanahu waTa’ala.
Firman Allah Subhanahu waTa’ala
dalam Surah an-Nisaa ayat 136:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ
وَٱلْكِتَٰبِ ٱلَّذِى نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَٰبِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِن
قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِٱللَّهِ وَمَلَٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلْيَوْمِ
ٱلْءَاخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Tetaplah beriman kepada Allah dan RasulNya dan kitab (al-Qur’an) yang Allah
turunkan kepada RasulNya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) dan
kepada kitab-kitab yang Allah turunkan (kepada rasul-rasul) sebelumnya. Sesiapa
yang ingkar (kufur) kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya,
Rasul-rasulNya, dan hari akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
Oleh yang demikian, jelaslah
bahawa mentaati Allah Subhanahu waTa’ala dan RasulNya merupakan kunci ibadah
yang paling utama dalam ajaran Islam. Setiap umat Islam wajiblah memahami dan
mempelajari tuntutan pelaksanaan ibadah dengan sebaik-baiknya mengikut segala
ajaran yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sesungguhnya dalam setiap ibadah yang tunaikan dengan bersungguh-sungguh dan
ikhlas itu mempunyai hikmah dan ganjaran yang besar sebagaimana yang Allah
telah janjikan.
Memandangkan aspek ibadah dalam
Islam begitu luas sekali, maka antara yang hanya akan disentuh adalah ibadah
membaca al-Qur’an, sembahyang, puasa dan doa yang berkaitan dengan etika ibadah
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam menunaikannya. Tujuannya adalah
agar setiap umat Islam dapat meneladani etika ibadah yang tepat dan
mempraktikkannya di dalam kehidupan mereka seharian.
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan