Monday, April 20, 2015

HUKUM ALLAH MEMBAWA KEBERKATAN DAN KEAMANAN, BUKAN SATU KEKEJAMAN

Hadits riwayat oleh Sunan Daraqutni, dari Abu Tsa’labah al-Khusyaniyyi, Rasulullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَرَّمَ حُرُمَاتٍ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعْتَدُوهَا وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ مِنْ غَيْرِ نِسْيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنْهَا
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah memfardhukan beberapa fardhu, maka janganlah kamu mensia-siakannya. Dan Dia telah mengharamkan beberapa perkara haram, maka janganlah kamu mencerobohinya. Dan Dia telah menetapkan beberapa hudud (batasnya), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Dia telah diamkan segala suatu bukan kerana lupa, maka janganlah cuba menyelidikinya.  

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada rasulNya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk disampaikan bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan manusia sejagat di dunia mahupun di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan suatu perundangan, penghukuman, perintah, larangan dan nilai cara hidup yang sesuai bagi mencapai kesejahteraan manusia yang wajib dipatuhi oleh mereka. Hadits sebelum ini menghuraikan mengenai tingginya kedudukan penilaian hukum yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala yang wajib dilaksanakan, disempurnakan dan diperundangkan hukum-hukum agama. Mereka yang melaksanakan segala perkara fardhu, menjauhi segala larangan dan menghindari memperlengahkan batasan hukum yang ditetapkan telah menyempurnakan hak-hak agama serta mendapat ganjaran dan terhindar dari keseksaan. 

Adapun segala hukum-hukum atau perintah yang datang daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala itu mempunyai kelebihan dan hikmah disebaliknya, antaranya ialah:

-         Bagi mengEsa, memulia dan juga mensifatkan kewujudan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan segala sifat kesempurnaan. Kita wajib mempercayai bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Sempurna dan tiada kekuranganNya. 
-    Mengetahui bagaimana cara beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, bermunajat, berzikir, mensyukuri ni’mat dan sebagainya. 
-           Mengetahui adab-adab hidup bermasyarakat, tolong-menolong antara satu sama yang lain, menjaga hak kejirananan, memelihara amanah dan sifat-sifat terpuji yang dihormati dan disenangi oleh masyarakat.
-      Hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala diturunkan bagi melindungi hak seseorang itu supaya terjamin dan terpelihara. Ianya akan tercapai jika hukum hudud dan qishash dilaksanakan. Dengan adanya hukum yang tegas itu, golongan yang kuat tidak akan berani menindas dan menganiaya golongan yang lemah.

Mereka yang mempersoalkan masalah hikmah, manfaat dan kesesuaian hukum atau perintah atau larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala mestilah berhati-hati dalam mempertikaikannya. Perkara tersebut boleh terjerumus ke dalam kesalahan sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh iblis yang dilaknat iaitu mempertikaikan dan menolak kebijaksanaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana firmanNya dalam Surah al-A’raaf ayat 13 – 18:
قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَنْ تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَاخْرُجْ إِنَّكَ مِنَ الصَّاغِرِينَ (13) قَالَ أَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (14) قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ (15) قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17) قَالَ اخْرُجْ مِنْهَا مَذْءُومًا مَدْحُورًا لَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنْكُمْ أَجْمَعِينَ (18)
Tafsirnya:
Allah berfirman: “Turunlah engkau dari syurga itu kerana engkau tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarkanlah sesungguhnya engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang hina”. Iblis menjawab: “berilah aku tempoh hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).” Allah berfirman: “Sesungguhnya emgkau termasuk dalam golongan yang diberi tempoh.” Iblis berkata:”Oleh kerana Engkau telah menghukum aku menjadi sesat, demi sesungguhnya aku akan menghalangi mereka (manusia dengan menyesatkan mereka) daripada jalanMu yang lurus.” “Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” Allah berfirman: “Keluarlah engkau daripadanya (syurga) sebagai makhluk yang terhina lagi terusir. Demi sesungguhnya sesiapa di Antara mereka yang mengikutmu tentu Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan kamu semuanya.”
 
Pemikiran atau ucapan orang yang mempertikaikan hukum-hakam Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti hukum jenayah hudud itu sudah lapuk ataupun tidak lagi sesuai dengan zaman adalah sama erti pemikiran atau ucapan iblis seolah-olah dia berkata kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Ya Allah, Engkau tidak bijaksana, bagaimana Engkau memerintahkan kami melaksanakan undang-undang atau hukum-hakam yang sudah lapuk atau tidak sesuai dengan zaman?” Ucapan tersebut jelas boleh membatalkan syahadat seseorang. 

Mereka yang beriman mempunyai kepercayaan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menciptakan manusia yang Maha Mengetahui bagaimana mengatur kehidupan manusia yang diciptakanNya. Tidak akan terlintas bagi mereka yang beriman itu mendapati kelemahan pada ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti kekurangan pada sebarang hukum atau undang-undang yang telah ditetapkan olehNya.
Sudah menjadi tanggujawab umat islam dalam melaksanakan hukum ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan membasmi kejahatan daripada berlaku. Semua umat berhak memerangi kejahatan dan diwajibkan untuk menghindari perkara yang boleh mengancam keamanan dan mendatangkan musibah kepada kita sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Sa’id Radhiallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ.
Maksudnya:
Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu juga, maka dengan lidahnya, dan jika juga tidak mampu, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu ialah selemah-lemahnya iman.
Dengan kewajipan tersebut, Islam telah mewujudkan kawalan sosial yang utuh dan menjadikan masyarakat Islam sebagai masyarakat yang korektif (membaiki kesalahan) dan membangun serta menghapuskan kejahatan dari dasarnya iaitu dari jiwa atau hati seseorang itu. Oleh itu hukuman yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada penguasa undang-undang untuk melaksanakannya mempunyai tujuan dan hikmahnya sendiri. Ianya adalah bagi memberi pendidikan atau pengajaran kepada jiwa manusia supaya mengambil iktibar daripada hukuman yang telah dikenakan ke atas pelaku jenayah dan menjauhi kejahatan yang mereka lakukan.

Hadits riwayat Imam Bukhari daripada ‘Ubadah bin as-Samit Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘’alaihi wasallam bersabda:
بَايِعُونِى عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا وَلاَ تَسْرِقُوا وَلاَ تَزْنُوا وَلاَ تَقْتُلُوا َأوْلاَدَكُمْ وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ وَلاَ تَعْصُوا فِى مَعْرُوفٍ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَعُوقِبَ بِهِ فِى الدُّنْيَا فَهُوَ لَهُ كَفَّارَةٌ.
Maksudnya:
Bai’ahlah saya dengan (berjanji) bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kamu, tidak akan mendatangkan pembohongan yang sengaja kamu ada-adakan dan tidak akan mengingkari sesuatu yang ma’ruf (baik). Sesiapa di Antara kamu yang memenuhi janji ini maka Allah akan memberi pahala kepadanya dan (sebaliknya) sesiapa yang melakukan salah satu darinya kemudian dihukum di dunia maka hukuman itu menjadi kifaraha (tebus dosa) baginya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam menetapkan undang-undang dan hukuman ke atas jenayah yang dilakukan. Tidak akan dikenakan hukum bagi orang yang tidak bersalah dan dikenakan hukuman bagi orang yang besalah bertujuan supaya pesalah akan insaf dan bertaubat kepadaNya. Setiap dosa itu sentiasa diampuniNya jika seseorang itu benar-benar bertaubat dan insaf dengan perbuatannya. Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani menetapkan hukum hudud kepada umat manusia bukan untuk berlaku kejam terhadap kesalahan jenayah itu. Akan tetapi supaya mereka menjauhi segala kemungkaran, maksiat dan kejahatan dari hati dan jiwa mereka bagi mencapai keberkatan, kemakmuran dan keamanan dalam menjalani kehidupan selaku hamba Allah yang dikasihi.

Hadits riwayat Imam Ibnu Majah daripada Abu ‘Ubaidah bin Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَهُ
Maksudnya:
“Orang yang bertaubat dari dosa sama dengan orang yang tidak berdosa.
Hadits riwayat Imam Bukhari daripada ‘Ubadah bin as-Samit Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘’alaihi wasallam bersabda:
وَمَنْ أَصَابَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَسَتَرَهُ اللهُ عَلَيْهِ، فَأَمْرُهُ إِلَى اللهِ. إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ.
Maksudnya:
Sesiapa yang terlanjur berbuat sesuatu di antara semua itu dan Allah menutupi atas perbuatannya itu, maka itu urusannya Allah. Jika Allah menghendaki memberi ampunan, tentu Allah akan mengampuninya. Dan jika Allah menghendaki menyeksa, tentu Allah akan menyeksanya.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan