بسم الله الرحمن الرحيم
Silaturrahim
merupakan di antara sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Bersilaturrahim juga merupakan di antara akhlak seorang muslim. Ia
adalah jalinan atau ikatan perhubungan yang dibina secara bersama-sama antara sesama
keluarga, kaum kerabat, rakan dan tetangga.
Hikmah
mengeratkan silaturrahim
Islam tidak memerintahkan
sesuatu kecuali ada kebaikan yang akan diperolehi pelakunya sebagaimana
silaturrahim ini, di antaranya:
1. Mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana
hadits riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ
اللَّهَ خَلَقَ الْخَلْقَ حَتَّى إِذَا فَرَغَ مِنْ
خَلْقِهِ قَالَتْ الرَّحِمُ هَذَا مَقَامُ الْعَائِذِ بِكَ مِنَ الْقَطِيعَةِ
قَالَ نَعَمْ أَمَا
تَرْضَيْنَ أَنْ أَصِلَ مَنْ وَصَلَكِ وَأَقْطَعَ مَنْ
قَطَعَكِ قَالَتْ بَلَى يَا رَبِّ قَالَ فَهُوَ لَكِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk sehingga
apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan berkata: “ini
adalah tempat orang yang berlindung daripada terputusnya hubungan
kekeluargaan,” Allah berfirman: “Ya, jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung
orang yang menyambungkanmu (mendapat belas kasih daripada Allah) dan memutuskan
orang yang memutuskan mu (tidak mendapat belas kasih daripada Allah)?” Ia
berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka itulah hakmu.
2. Mendapat keberkatan umur dan rezeki sebagaimana dijelaskan dalam
hadits riwayat Imam Muslim, telah mengkhabarkan Anas bin Malik sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ
لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Barang siapa yang suka dimurahkan rezekinya dan
dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan
(silaturrahim).
3. Menolong kaum kerabat akan mendapat dua pahala iaitu pahala
sedekah dan pahala silaturrahim sebagaimana hadis riwayat Imam an-Nasai’e
daripada Salman bin Amir dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ
وَصِلَةٌ
Maksudnya: Memberi sedekah kepada orang miskin dikira satu sedekah,
dan memberi satu sedekah kepada mahram dikira dua iaitu sedekah dan mengeratkan
hubungan.
4. Kunci masuk syurga sebagaimana hadits riwayat Imam al-Bukhari, daripada
Abu Ayub Radhiallahu ‘anhu bahawa seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai amalan yang boleh memasukkan ke
dalam syurga, baginda bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ وَتَصِلُ
الرَّحِمَ
Maksudnya: Engkau (hendaklah) menyembah Allah dan tidak
menyekutukanNya dengan apa pun, mendirikan sembahyang, membayar zakat dan
menyambung tali silaturrahim.
Larangan
memutuskan silaturrahim.
Memutuskan
hubungan silaturrahim adalah haram dan termasuk orang yang melakukan maksiat
dan berdosa besar. Banyak dalil al-Quran dan hadits yang menyebutkan tentang hukum
dan ancaman orang yang memutuskan silaturrahim, di antaranya:
1 Mendapat laknat Allah
Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firmanNya dalam surah Muhammad ayat
22-23
فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ
تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ
وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ (22) أُولَئِكَ
الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ
فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ (23)
Tafsirnya:
Maka jika kamu berpaling (daripada perintah Allah) tidakkah nanti kamu akan
melakukan kerosakan di bumi dan memutuskan silaturrahim dengan kaum kerabat
kamu? Mereka itulah orang yang dilaknat oleh Allah, dan ditulikan pendengaran
mereka serta dibutakan penglihatan mereka.
2
Fasiq, rugi dan sesat
sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat
26-27
وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ (26) الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ
وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ
وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ
أُولَــئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (27)
Tafsirnya:
Dan Allah tidak akan membiarkan (sesiapa) sesat dengan sebab perumpamaan itu
melainkan orang-orang fasiq; (iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah
(untuk beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan
mengamalkan segala apa yang disampaikannya) selepas perjanjian itu
diperteguhkan (diikrarkan). Dan mereka memutuskan apa yang diperintahkan oleh
Allah supaya dihubungkan (silaturrahim) dan mereka juga berbuat kerosakan di
bumi. Mereka itulah orang yang rugi.
3 Tidak akan masuk syurga
sebagaimana hadits riwayat Imam Muslim, daripada Muhammad bin Jubair bin
Muth’im yang mengkhabarkan
dari bapanya bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعُ
رَحِمٍ
Maksudnya:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”.
4 Berdosa Besar sebagaimana
hadits riwayat Imam Muslim, daripada Abu Hurairah bahawa seorang laki-laki
pernah berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي
قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ
إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ
فَقَالَ
لَئِنْ كُنْتَ كَمَا
قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمُ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ
ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ
Maksudnya:
“Wahai Rasulullah, aku mempunyai kerabat. Aku selalu berupaya menyambung
silaturrahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku selalu berusaha
untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakitiku. Aku berusaha utuk
bersikap lemah lembut terhadap mereka tetapi mereka bersikap kasar kepadaku”. Lalu
baginda bersabda: “jika benar apa yang engkau katakan, engkau seperti memberi
makan mereka debu yang panas (kerana dosa yang mereka lakukan). Selama engkau
berbuat demikian, pertolongan Allah akan selalu bersama mu.”
5 Mendapat seksaan di dunia
dan di akhirat sebagaimana hadits riwayat Imam at-Tirmidzi daripada Abu Bakrah
berkata, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَا
مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ
لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ
مِنْ الْبَغْيِ
وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ
Maksudnya: Tidak ada dosa
yang Allah lebih mempercepatkan seksaan kepada pelakunya di dunia serta yang
tersimpan untuknya di akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan tali
silaturrahim.
6
Amalan tidak akan diterima
sebagaimana hadits riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah berkata, aku mendengar
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ أَعْمَالَ بَنِي آدَمَ
تُعْرَضُ كُلَّ خَمِيسٍ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَلَا
يُقْبَلُ عَمَلُ قَاطِعِ رَحِمٍ
Maksudnya:
Sesungguhnya amal ibadah anak adam diperlihatkan setiap hari Khamis malam
Jumaat, maka tidak diterima amal ibadah orang yang memutuskan silaturrahim
والله أعلم بالصواب