Saturday, December 17, 2016

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa; bukan adat tapi tuntutan syara!


Dalam membina hubungan sesama manusia, memelihara hubungan dengan kedua ibu bapa adalah antara perkara keutamaan  yang perlu diambil berat  melebihi dari orang lain. Ini kerana tuntutan memelihara hubungan dengan kedua ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi secara turun temurun akan tetapi ia lebih merupakan tuntutan syara. Malah mentaati perintah mereka selagi mana tidak bercanggah dengan perintah Allah Subhanahu Wataala dan laranganNya.

Allah Subhanahu Wataala berfirman di dalam alQuran menerusi surah Al Ahqaf ayat15 terjemahannya:
' Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.'

Malah di dalam hadits Rasullullah ada menyebutkan bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad kepada Allah Subhanahu Wataala,
berjihad kepada Allah Subhanahu Wataala merupakan fardhu Kiffayah sedangkan berbuat kepada kedua ibu bapa  merupakan tuntutan fardhu 'ain.
 
Antara cara berbuat baik kepada kedua ibu bapa ada dinukilkan dalam firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah al Isra ayat 23-24 terjemahannya: 
' Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau ntidak menyembah melainkan kepadaNya, semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali,  sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar)sekalipun perkataan 'ah!' dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia( bersopan santun).  Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri  kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,  dan doakanlah  (untuk mereka, dengan berkata): ' Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.'

Jika kedua ibu bapa tersebut telah meninggal dunia sekalipun, masih ada cara untuk berbuat baik kepada mereka. Antaranya ialah:
  • Menyempurnakan  urusan jenazah mereka dengan sebaiknya menurut tuntutan syara bermula daripada memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan sehinggalah sempurna mereka disemadikan.
  •  Berdoa untuk arwah ibu bapa dengan memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala kerana mendoakan ibu bapa itu merupakan di antara ciri-ciri anak yang soleh  dan mendoakan mereka akan memberi manfaat kepada mereka semasa di alam barzakh. Hal ini ada diterangkan  melalui apa yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Rasullullah bersabda yang bermaksud: ' Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: 'Dari manakah semua ini?' Maka dikatakan kepadanya: 'dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.' Hadits riwayat Ibnu Majah.
  • Melaksanakan atau menyempurnakan janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah ibu bapa semasa mereka masih hidup.
  • Memuliakan orang-orang yang dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah ibu bapa. 
  • menziarahi kubur mereka malah ia merupakan perkara sunat mengikut hukum syara' khususnya bagi kaum lelaki.

Cara membuat baik kepada kedua ibu bapa seperti yang disebutkan tadi adalah berdasarkan petunjuk yang telah diberikan oleh Rasulullah   menerusi sebuah hadits yang driwayatkan oleh  Abu Usaid Radhiallahu Anhu.

     

Wednesday, December 14, 2016

Menghadiri Upacara Kematian Orang yang bukan beragama Islam.

Agama Islam adalah agama yang mewajibkan umatnya untuk sentiasa berbuat baik dan berlaku adil dengan semua orang termasuklah orang-orang yang bukan beragama Islam, tidak kira dari kalangan keluarga, saudara mara, sahabat handai atau sesiapa sahaja yang ada disekeliling kita, selama mana mereka tidak memusuhi Islam. Perkara ini ada dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 terjemahannya:

' Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi  kamu kerana agama(kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.'

Perlu difahami,  sebaik sahaja seseorang itu telah memeluk agama Islam, bukan bermaksud dia boleh memutuskan hubungannya dengan keluarga, sanak saudara serta rakan-rakannya yang berlainan agama, malah Islam tidak melarang dari terus berhubungan asalkan mengikut batas-batas syariat Islam dan tidak ada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.

Terdapat persoalan, apakah hukumnya jika orang yang beragama Islam menghadiri majlis pengebumian orang yang bukan beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau sahabat handai. Dalam hal ini, para ulama secara ringkas telah menjawab persoalan ini iaitu:

  • Jika orang yang bukan beragama Islam yang meninggal dunia itu,  terdiri daripada kaum keluarga kepada orang Islam seperti ibu atau bapa, maka diharuskan baginya hadir pada hari kematian keluarganya yang bukan beragama Islam itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan. Juga diharuskan jika orang yang bukan beragama Islam yang meninggal dunia itu di kalangan jiran atau teman. Namun begitu, ketika menghadirinya, hendaklah berada jauh dari mayat, termasuklah juga tidak mengikut mana-mana perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumiannya, apatah lagi untuk menyertai apa jua acara khusus keagamaan mereka.

  • Jika orang yang bukan beragama Islam yang meninggal dunia itu , bukan daripada ahli keluarga, maka adalah haram bagi orang Islam yang hidup untuk hadir pada hari kematian orang yang bukan beragama Islam itu dan mengiringinya ke tanah perkuburan.

Mengenai ucapan ta'ziah jika orang yang meninggal dunia itu seorang Muslim atau seorang yang bukan beragama Islam daripada keluarga yang dihormati, maka ucapan ta'ziah kepada ahli keluarga yang bukan beragama Islam itu adalah harus malah sunat hukumnya jika mengharapkan keislaman mereka.

Terdapat perbezaan dari segi bentuk ucapan ta'ziah untuk orang yang bukan beragama Islam daripada orang Islam.

Pertama: Jika orang yang meninggal itu daripada kalangan ahli keluarga  mereka yang beragama Islam:

' Semoga Allah mengampuni mayat keluargamu dan mengelokkan kesabaranmu.'

Kedua:  Jika orang yang meninggal itu seorang yang bukan beragama Islam:

' Semoga Allah memberikanmu penggantinya.'

Saturday, December 10, 2016

Contohi Akhlak Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam



Dalam kehidupan seharian kita tidak lepas dari pergaulan berinteraksi dan bekerjasama dengan lapisan masyarakat sama ada ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan dan orang-orang lain yang kita temui. Dalam pergaulan tersebut ada kewajipan dan hak-hak setiap individu yang perlu kita jaga dan hormati, yang semuanya terkandung dalam akhlak ketika bergaul.

Akhlak mulia dalam pergaulan telah diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat manusia khususnya umat Islam, bersesuaian dengan ketentuan yang terdapat dalam al-Quran dan al-hadits. Akhlak mencerminkan dan menggambarkan kemuliaan atau keburukan personality individu. Oleh itu akhlak yang baik sangat penting dalam mewujudkan masyarakat harmoni sejahtera serta kehidupan yang bermakna dan bermartabat sesuai dengan apa yang disyariatkan Allah subhanahu wata’ala. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta’ala dalam surah a-li ‘Imran ayat 104 tafsirnya: “dan hendaklah ada di antara kamu segologan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang mendapat kemenangan”.

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah Subhanahu wata’ala menyuruh kita berbuat kebaikan dan ianya terkandung dalam akhlak terpuji (mahmudah) serta melarang kita dari berakhlak buruk atau tercela (mazmumah).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai penyempurna akhlak. Sifat-sifat dan keperibadian baginda merupakan contoh akhlak yang paling baik dan tiada bandingannya. Keagungan akhlak baginda melebihi semua akhlak manusia yag ada  di dunia ini. Kesempurnaan keperibadian baginda dapat dilihat melalui amalan-amalan baginda. Baginda mempunyai misi yang sangat mulia iaitu membentuk akhlak yang mulia dan sempurna bagi umat manusia sebagaimana yang Allah subhanahu wata’ala kehendaki. 

Sesuailah dengan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang salih”

Baginda telah meletakkan matlamat ini dalam diri baginda dan peningkatan akhlak yang dilakukan telah dijadikan prinsip hidup baginda, sehingga apabila mendapati seseorang melakukan suatu perbuatan yang tidak bermoral, maka baginda memberi peringatan pada ketika itu juga.
Di antara akhlak-akhlak terpuji Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dapat dilihat dari pelbagai sudut, antaranya:-

i  Akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala
·         Mengabdikan diri setiap detik dan masa kepada Allah dengan penuh kepatuhan, ketaatan kecintaan dan kesyukuran yang tidak berbelah bagi terhadap Allah di samping redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepadanya.
·         Melaksanakan kewajipan yang wajib atau yang difardhukan serta amalan-amalan sunat seperti bangun malam mengerjakan Qiamullail, berpuasa, zikir, istighfar, memperbanyak doa, tasbih, tahmid dan sebagainya.

ü  Akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  dengan sesama manusia:
·         Akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meliputi aspek kekeluargaan, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Dari aspek kekeluargaan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjaya mewujudkan suasana yang harmoni.
·         Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan seorang yang bertanggungjawab, sentiasa memberi kasih sayang, berlemah lembut dan bertolak ansur, bukan saja terhadap semua ahli keluarganya, bahkan juga kepada yang lain.
·         Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga selalu berbincang dengan para sahabat dan menghargai pandangan yang diberikan oleh mereka.
·         Begitu juga akhlak dan sikap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap orang bukan Islam iaitu menghormati mereka, bersopan santun dan memberi haknya kepada mereka terutama dari segi kejiranan. Contohnya kisah baginda dengan seorang wanita Yahudi (jirannya) yang akhirnya wanita Yahudi tersebut telah memeluk Islam atas keperihatinan, kesabaran dan kemuliaan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

iii  Akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan makhluk lain:
·         Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam begitu peka dan prihatin terhadap makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
·         Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menasihati umatnya supaya berlaku ihsan kepada haiwan dan  binatang ternakan serta tidak menzalimi atau menyeksa mereka. Demikian juga tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Demikianlah di antara akhlak baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang di sebaliknya mempunyai pengertian, keistimewaan yang besar serta membawa sejuta hikmat. Memang wajar bagi diri kita, bermuhasabah diri dan mengamalkan sebagaimana akhlak-akhlak mahmudah baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, akhlak yang sangat agung dan sempurna khususnya di dalam menghadapi kehidupan sebagai hamba Allah untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat nanti.