Monday, December 18, 2017

ADAB MENGUAP YANG PERLU KITA TAHU



Menguap dengan tidak menutup mulut malah mengangkat bunyi suara dengan kuat, bukan sahaja tidak sopan dan tidak elok dari pandangan masyarakat malah perbuatan tersebut adalah tanda kerendahan peribadai dan akhlak yang tidak baik dan perbuatan tersebut boleh menyebabkan syaitan ketawa dan bersorak gembira.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

’ Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang dari kalian menguap, tahanlah ( dari menguap ) dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap berbunyi ’HAA’ maka syaitan akan mentertawakannya.’ Hadits riwayat al Bukhari.

Ini berbeza pula, jika dilihat perbuatan menguap dari segi sains. Ia boleh disifatkan sebagai membantu seseorang lebih sedar keadaan di sekelilingnya. Malah ia berlaku apabila terjadi kekurangan oksigen dalam tubuh seseorang, iaitu berkaitan dengan keadaan fizikal yang letih dan rasa ngantuk.

Islam menetapkan adab-adab ketika menguap. Antaranya:

  • Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama sekali ketika sembahyang.
  • Tutuplah mulut dan jangan biarkan ia terbuka terlalu luas.  
  • Menutup mulut dengan menggunakan bahagian belakang tangan kiri kerana telapak tangan kiri lebih digunakan untuk tujuan bertaharah.
  • Makruh mengeluarkan  suara dan mengangkat bunyi ketika menguap
  • Sunat mengucapkan selepas menguap dengan membaca:
أستغفر الله العظيم

HANYA KERANA MATA

Menjaga pandangan mata daripada melihat dari hal-hal yang diharamkan oleh Allah sebenarnya merupakan akhlak yang mulia dan  bukti lambang jiwa ketaqwaan di dalam jiwa seseorang hamba. 

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah an Nur ayat 30 tafsirnya:  ’ Katakanlah ( wahai Muhammad )kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka ; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’

Malah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam pernah menjamin syurga bagi sesiapa yang menjaga pandangan. 

Dari Umamah Radhiallahu Anhu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Berilah jaminan padaku enam perkara, maka aku jamin bagi kalian syurga: Jika salah seorang daripada kalian berkata janganlah berdusta, jika diberi amanah janganlah berkhianat, jika berjanji janganlah mungkiri, tundukkanlah pandangan kalian,cegahlah tangan-tangan kalian (daripada menyakiti orang lain) dan jagalah kemaluan kalian.’ Hadith riwayat at Thabrani.

Hakikat perintah menjaga pandangan daripada hal-hal yang dilarang memang perkara yang amat sulit dan sukar ditinggalkan. Bahkan di kalangan ahli ibadah sendiri pun masih bermujahadah untuk meninggalkannya walaupun tanpa gangguan alam siber maupun media massa dan cetak.

Bagi orang fasiq, mencuci mata adalah perkara biasa namun tidak bagi orang yang beriman. Ia ibarat cabaran di dalam melaksanakan perintah Allah Azza Wa Jalla dan dugaan dalam mempertahankan aqidah, prinsip dan jati diri. 

Bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadith Qudsi : 
’ Pandangan itu adalah panah beracun di antara panah Iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepadaKu, maka Akan Aku gantikan dengan keimanan, yang ia dapatkan manisnya di dalam hatinya.’ Hadith riwayat at Thabrani dan al Hakim.

KEPENTINGAN SUTRAH KETIKA MELAKSANAKAN SEMBAHYANG



Kekhusyu’kan sembahyang amat penting dalam menghadap Allah dan antara cara untuk khusyu’ ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan jika kita bersembahyang di dalam gelap. Akan tetapi tidak dinafikan kekhusyu’kan dalam sembahyang akan hilang dengan sebab gangguan sekeliling misalnya orang lalu lalang dihadapan  kita ketika kita mengerjakan sembahyang.

Jadi dalam hal ini, sunat bagi orang yang hendak melaksanakan sembahyang, membuat atau meletakkan sutrah ( pendinding ) yang mengarah ke qiblat dan menghadapnya ketika sembahyang. Tinggi sutrah itu hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu kira-kira 30.5cm atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 cm atau kurang dengan tujuan untuk memberi ingatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah dan orang yang sedang bersembahyang.

Jika tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau barang-barang yang dikumpulkannya dihadapannya untuk dijadikan sutrah.
Jika tidak ada, sunat baginya membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat garisan pada kawasan hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 cm atau kurang daripada kadar tersebut.

Cara ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu Anhu, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan ( meletakkan ) sesuatu di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat ( di hadapannya ). Jika tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan demikian , apa sahaja yang lalu dihadapannya tidak akan memudaratkannya.’ Hadith riwayat Abu Daud.

Jika seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat tadi maka sunat baginya atau orang lain mengetahui bahawa sutrah itu bertujuan untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan sutrah tersebut.

Haram bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu.

Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: 
’ Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu, tentunya dia akan berhenti ( menanti ) selama 40, lebih baik baginya daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu.’ Hadith Mutaffaqun ’Alaih.


Jika seseorang meletakkan sutrah di hadapannya akan tetapi orang lain tidak mengetahui akan adanya sutrah tersebut maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu hendaklah dia menghalangnya.

Cara menghalang orang lalu di hadapan  orang bersembahyang ialah dengan seringan-ringan gerakan iaitu dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.

Akan tetapi jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk lalu di hadapannya akan tetapi hukumnya adalah makruh, iaitu lebih baik untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang. Namun jika mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan manusia seperti pintu-pintu masjid dan sebagainya, maka tidak haram lalu di hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di hadapannya.

WAHAI PARA ISTERI, PENUHILAH HAK SUAMIMU




Suami adalah orang yang paling dekat dengan wanita, merupakan seorang pelindung, pemelihara dan tempat mencurah kasihsayang sepanjang usia. Manakala wanita muslimah adalah wanita yang mampu menempatkan diri dalam apa jua waktu dan keadaaN.

Beberapa hak suami atas isteri yang paling utama yang harus dilaksanakan oleh seorang isteri yang cerdas:

Pertama: MEMENUHI KEPERLUAN BIOLOGI SUAMI. 
Ini kerana salah satu tujuan utama pernikahan ialah agar pasangan suami isteri dapat menyalurkan keperluan biologinya  dengan halal dan tenang. Ini kerana pada umumnya seorang lelaki memiliki dorongan nafsu yang jauh lebih besar dari wanita walaupun hanya melalui pandangan mata. 

Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: ’Tidaklah aku tinggalkan sepeninggalanku bagi lelaki fitnah yang lebih besar selain fitnah wanita.’ ( Hadits riwayat Imam alBukhari dan Muslim.

Kedua: MENTAATI SUAMI, baik di saat suami di sampingnya maupun saat dia keluar rumah. Beberapa ketaatan yang dimaksudkan ialah:

  • Tidak berpuasa sunat kecuali dengan izin suami terutama sekali bila suami ada di rumah
  • Tidak keluar rumah kecuali dengan izinnya.
  • Tidak membelanjakan harta suami kecuali dengan izinnya.
  • Tidak mengizinkan  seseorang yang tidak disukai suami masuk dalam rumah tanpa izinnya.
  • Mentaati nasihat-nasihatnya yang bermaksud menunjukkan kebaikan. Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith riwayat Ahmad:   ’ Maka perhatikanlah pergaulanmu dengan suamimu, kerana sesungguhnya dia adalah syurga dan nerakamu.’

Ketiga: BERHIAS UNTUK SUAMI. Antara perkara-perkara yang penting ketika berdandan ialah:

  • Berniat ikhlas dalam mencapai pahala dari Allah Subhanahu Wataala dengan menyenangkan hati suami
  • Tidak berlebih-lebihan dengan menghabiskan waktu dan berbelanja di salon yang mahal
  • Tidak mengubah ciptaan Allah
  • Tidak menggunakan kosmetik yang menggunakan bahan-bahan najis atau membahayakan kesihatan.
  • Tidak melalaikan tugas dan tanggungjawablain yang lebih penting.


Keempat: MENGURUS KEPERLUAN-KEPERLUAN SUAMI

Kelima: TIDAK MENYEBARKAN RAHSIA SUAMI. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Asma bin Yazid, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam pernah duduk bersama beberapa lelaki dan wanita, baginda tiba-tiba bertanya

’ Barangkali ada di antara kamu yang lelaki membicarakan apa yang telah diperbuat bersama isterinya. Barangkali ada juga di antara yang perempuan membicarakan apa yang telah diperbuat bersama suaminya. Mereka diam tidak menjawab. Saya lalu berkata: ’ Ya, demi Allah, wahai Rasulullah! Mereka yang lelaki mahupun perempuan saling membicarakan pasangan masing-masing.’ Mendengar hal itu Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Jangan lakukan itu! Kerana perbuatan kamu seperti perbuatan syaitan lelaki bertemu dengan syaitan perempuan lalu keduanya bersetubuh sementara manusia menontonnya.’ Hadits riwayat Ahmad.

Keenam: TIDAK MEMINTA TALAQ DENGAN ALASAN TIDAK SYAR’IE. 
Jagalah pernikahan agar sentiasa indah dan mesra hingga ke akhir hayat, tanganilah masalah dengan bijaksana  dan jikalau timbul perasaan marah sekalipun, ingatlah akan janji suci pernikahan yang disaksikan Allah ’Azza wa Jalla dari Arasy-Nya yang agung. Rasulullah bersabda yang bermaksud
’ Wanita mana pun yang meminta talaq kepada suaminya tanpa alasan yang syar’ie, maka dia diharamkan mencium bau syurga.’ Hadits riwayat Abu Daud.