Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal cinta
mencintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah seperti satu jasad
(tubuh badan), apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh
akan turut merasa sakit, tidak dapat tidur dan merasa demam..”
Mencintai saudara Islam adalah
di antara ciri-ciri kesempurnaan iman, kerana itulah ditekankan bahawa tiada
sempurna keislaman seseorang Islam itu sehingga dia mencintai saudaranya
sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Di antara cara untuk ke arah
kesempurnaan iman dalam mengeratkan persaudaraan dan hak seorang Islam yang perlu dilaksanakan oleh saudara Islamnya
ialah menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit hukumya adalah sunat
muakkadah. Banyak hadits yang menyebutkan perkara tersebut. Di antara hadits
yang menegaskan mengenai hukum tersebut ialah sebagaimana hadits riwayat Imam
al-Bukhari, daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Hak seorang muslim ke atas seorang muslim (yang lain) ada lima
perkara iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah,
menjawab (menghadiri) undangan dan mendoakan orang bersin..”
Menziarahi orang yang sakit
mempunyai banyak fadhilat di antaranya ialah:
- Seseorang yang menziarahi itu diumpamakan berjalan-jalan di dalam kebun syurga memetik dan menghimpun buah-buahan di dalamnya dan ia berlanjutan sehinggalah dia pulang dari berziarah. Hal ini disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Tsauban radhiallahu ‘anhu daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seorang muslim
apabila dia menziarahi seorang muslimnya yang sakit sentiasalah dia berada di
dalam kebun syurga memetik buah-buahannya sehinggalah dia pulang,”
- Telah memohon tujuh puluh ribu malaikat untuk meminta keampunan bagi orang yang menziarahi saudaranya yang sakit sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadits riwayat at-Tirmizi, sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan diminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan (tiada) dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat sehingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga”.
- Doa orang yang sakit adalah mustajab sehingga kita disunatkan untuk meminta daripada orang yang sakit tersebut supaya mendoakan bagi kita sesuatu hajat. Hal ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam Ibnu Majah daripada ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat..”
Namun demikian ada beberapa
perkara yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarahi orang yang sakit.
Di antaranya ialah:
- Disunatkan menanyakan keadaan orang yang sakit kepada ahli keluarga terutama sekali jika orang yang sakit itu dalam keadaan tenat.
- Disunatkan memberi ketenangan dan mententeramkan hati orang yang sakit apabila berada disisi orang yang sakit iaitu dengan mengatakan bahawa sakit yang dideritai itu merupakan sebahagian daripada ujian Allah Subhanahu wa Ta’ala dan InsyaAllah sakit tersebut akan membersihkannya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang melawat seorang Arab Badwi yang sakit. Dia (Ibnu Abbas) berkata: adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam apabila melawat orang yang sakit, baginda mengucapkan: “Penyakit ini tidak apa-apa malah membersihkan (daripada dosa) InsyaAllah”.
- Disunatkan mendoakan orang yang sakit supaya sembuh dari penyakit yang dihadapinya sama ada ketika menziarahinya atau tidak.
- Disunatkan menjampi atau menawari orang yang sakit tersebut dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan segala zikir-zikir yang diketahui akan keshahihannya selagi digunakan dengan maksud yang baik iaitu untuk mengubati sesuatu penyakit. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu menggunakan mu’awwidzat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas) sebagai jampi dan doa perlindungan daripada setiap yang tidak disukai seperti berlindung daripada kejahatan sihir, was-was syaitan, kejahatan bisikan dan hasutan dari kalangan jin dan manusia, hasad dengki dan sebagainya. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Sa’id al-Khudri beliau berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ta’awudz (doa perlindungan) daripada jin dan mata manusia sehinggalah turun mu’awwidzatan, maka tatkala turun keduanya (mu’awwidzatan) Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pun sentiasa mengamalkannya dan meninggalkan selain daripada keduanya.”
والله
أعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan