Kekhusyu’kan
sembahyang amat penting dalam menghadap Allah dan antara cara untuk khusyu’
ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan jika
kita bersembahyang di dalam gelap. Akan tetapi tidak dinafikan kekhusyu’kan
dalam sembahyang akan hilang dengan sebab gangguan sekeliling misalnya orang
lalu lalang dihadapan kita ketika kita
mengerjakan sembahyang.
Jadi
dalam hal ini, sunat bagi orang yang hendak melaksanakan sembahyang, membuat
atau meletakkan sutrah ( pendinding ) yang mengarah ke qiblat dan menghadapnya
ketika sembahyang. Tinggi sutrah itu hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu
kira-kira 30.5cm atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut
adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 cm atau kurang dengan tujuan
untuk memberi ingatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah
dan orang yang sedang bersembahyang.
Jika
tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau
barang-barang yang dikumpulkannya dihadapannya untuk dijadikan sutrah.
Jika
tidak ada, sunat baginya membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat
garisan pada kawasan hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu
kira-kira 137.2 cm atau kurang daripada kadar tersebut.
Cara
ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu Anhu,
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ’ Apabila salah seorang
daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan ( meletakkan ) sesuatu
di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat ( di hadapannya ). Jika
tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan
demikian , apa sahaja yang lalu dihadapannya tidak akan memudaratkannya.’
Hadith riwayat Abu Daud.
Jika
seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat
tadi maka sunat baginya atau orang lain mengetahui bahawa sutrah itu bertujuan
untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan
sutrah tersebut.
Haram
bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas
di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu.
Dalam
hal ini Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
’
Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu
tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu,
tentunya dia akan berhenti ( menanti ) selama 40, lebih baik baginya daripada
dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu.’ Hadith Mutaffaqun
’Alaih.
Jika
seseorang meletakkan sutrah di hadapannya akan tetapi orang lain tidak mengetahui
akan adanya sutrah tersebut maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di
hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu hendaklah dia
menghalangnya.
Cara
menghalang orang lalu di hadapan orang
bersembahyang ialah dengan seringan-ringan gerakan iaitu dengan tangan dan
dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.
Akan
tetapi jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang
lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk
lalu di hadapannya akan tetapi hukumnya adalah makruh, iaitu lebih baik
untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang. Namun jika
mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan
manusia seperti pintu-pintu masjid dan sebagainya, maka tidak haram lalu di
hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di
hadapannya.