Thursday, May 24, 2018

RAMADHAN MEMBUKA PINTU UKHUWAH

Bagaimanakah kita dapat membuka pintu ukhuwah di bulan Ramadhan? Apakah ada hikmah dalam persaudaraan dan silaturrahim dalam bulan Ramadhan yang boleh kita ambil?

Jika sebelum ini kita bermasam muka dengan orang lain, bagaimanakah kita dapat membina semula hubungan silaturrahim dan ukhuwah sesama kita melalui bulan Ramadhan yang penuh barakah ini? Apakah kita masih ingin terus bermusuh-musuhan di dalam bulan Ramadhan?

Maka ambillah peluang di dalam bulan suci penuh rahmat ini untuk membina kembali hubungan persaudaraan yang kian lama terputus atau renggang kerana kesibukan kerja dan juga sengketa lama.
Di sini serba sedikit cara bagaimana kita dapat membina dan membuka kembali pintu ukhuwah seperti yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya melalui bulan Ramadhan.
Api permusuhan itu akan dapat dilenyapkan apabila kita mula makan bersama. Duduk bersama, bersembang dan meluahkan apa-apa permasalahan secara syura iaitu perbincangan secara sihat. Maka manfaatkanlah saat-saat berbuka puasa dengan menjamu sajian bersama-sama. Nabi dan para sahabat sentiasa makan bersama-sama dalam setiap majlis bagi tujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Kita juga tahu bahawa salah satu mustajabnya doa adalah ketika berbuka puasa. Maka berdoalah ketika itu “ Ya Allah, Engkau hapuskanlah permusuhan di antara kami dan juga umat Islam. Engkau tanamkanlah kasih-sayang di antara kami. Engkau redhailah hubungan kami sesama muslim. Dan janganlah Engkau murkai terhadap kami, kerana kami tidak sanggup menanggung azab seksaaan api nerakaMu”

Buangkan lah jauh-jauh akan perasaan malu kerana kita tahu mereka yang bermusuh ini kadang-kadang malu untuk bermaafan sesama mereka dek kerana ego dan rasa segan mereka. Oleh itu, jadikanlah peluang ini untuk membentuk silaturrahim kembali.
Di bulan Ramadhan ini juga peluang kita untuk membina ukhuwah dengan cara bertadarus Al-quran. Dengan membaca bersama-sama, hati kita akan diikat dengan ayat suci Al-Quran. Sejahat mana pun manusia, jika hatinya mula tersentuh dengan ayat-ayat al-quran, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari berubah dan bertaubat.

Itulah mukjizat Al-quran. Jika ia dibaca dengan penuh keyakinan, maka dia mampu memagari hatinya dari sebarang permusuhan dan perkara-perkara negatif. Oleh itu, binalah ukhuwah dengan bertadarus bersama-sama. Jadikan al-quran sebagai pengikat hati yang bermusuh. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat berguna buat orang-orang beriman.

Ada banyak lagi penyelesaian yang boleh kita ambil dari bulan Ramadhan. Mudah-mudahan ia dapat membuka kembali pintu ukhuwah di kalangan kita, dan melindungi kita dari terjebak kembali dari api permusuhan dan kebencian. Bermaafanlah kerana Allah kerana Allah tidak suka kepada orang yang memutuskan silaturrahim sesama makhluk. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang diredhai Allah jua

Wednesday, May 16, 2018

PUASA MENDIDIK KEIKHLASAN JIWA


Didalam dunia yang penuh pancaroba ini, penyakit yang terbesar dalam jiwa insan sebenarnya adalah penyakit hati nurani yang tidak ikhlas dalam amal ibadah dan perbuatannya. Tujuan asal perbuatan seseorang seringkali tidak seiring dengan apa yang zahir dari tindakannya. 

Jika dia bersedekah, kadang nampak zahirnya dia ingin membantu mereka yang susah dan memerlukan, tetapi di sudut hatinya kadang-kala dia sebenarnya inginkan pujian ataupun balasan tertentu. Hasilnya, hubungan jiwanya dengan Allah yang mensyariatkan amalan yang baik itu terputus. Disamping dia tergolong dalam kalangan orang yang kerugian kerana tidak memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.
Firman Allah Ta’ala (tafsirnya):

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar” (Surah al-Baiyyinah: 5).

Tanpa kita sedari Bulan Ramadhan ini menawarkan penawar bagi segala penyakit hati termasuk mendidik keikhlasan dalam amal ibadah. Ini kerana amalan puasa sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ramai orang kita lihat tidak makan di hadapan kita, tetapi itu bukan semestinya menunjukkan dia berpuasa. Kita tidak tahu seseorang itu berpuasa ataupun tidak, melainkan jika dia sendiri yang memberitahu.

Kita juga tidak tahu apakah dia bercakap benar ataupun bohong bahawa dia berpuasa. Seseorang mungkin boleh menyatakan dia berpuasa tetapi sebenarnya dia tidak berpuasa. Dia mungkin makan, minum secara sembunyi. Semua itu hanya Allah Yang Maha Tahu.

Begitu juga, kita perlu selalu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. 

Ikhlas dalam menjalani amal ibadah itu amat penting bagi diri seorang muslim. Hal ini kerana Ikhlas akan menjauhkan kita dari perasaan riya’ dan menunjuk-nunjuk. Suatu amal yang berlandaskan perasaan menunjuk-nunjuk tidak akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu waTa’ala, amal kebaikannya mungkin hanya akan mendapat sebutan dan pujian daripada manusia, akan tetapi tidak mendapat apa-apa balasan daripada Allah. Nauzubillah.

Khatimahnya, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah di bulan yang penuh barakah ini. Kita perlu sedaya-upaya membenteng diri kita dari perasaan riya’ dan menunjuk-nunjuk. Kita perlu sedar bahawa apa yang sebenarnya kita harapkan dalam kehidupan kita ini hanyalah keredhaan dan rahmat dari Allah Subhanahu waTa’ala..

Monday, April 23, 2018

PUASA SUNAT SELEPAS 15 SYAABAN

Menurut Zainuddin al-Malibari rahimahullah bahawa adalah haram berpuasa sunat pada hari–hari separuh terakhir daripada bulan Sya`ban iaitu 16 hingga 30 Sya`ban tanpa sebab-sebab yang tertentu.
(Fiqh al-Mu`in dalam I`anah ath-Thalibin : 2/455)
Larangan pada hari-hari tersebut berdasarkan hadits yang diriyawatkan  oleh Abu Hurairah radhiallahu `anhu katanya Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam bersabda:
اِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلاَ تَصُوْمُوْا

                                 ( رواه ابو داود)
Maksudnya: “Apabila telah berlalu separuh bulan Sya`ban , maka janganlah kamu berpuasa.”
                                                                                                   (hadits Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimana, tidak haram berpuasa pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya`ban itu jika ada sesuatu yang mengharuskan berpuasa seperti puasa kerana menunaikan nazar, kaffarah dan qadha sekaligus puasa yang diqadha itu adalah puasa sunat.
Jika seseorang itu pula kebiasaannya mengamalkan puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan hari Khamis, maka diharuskan juga baginya mengerjakan puasa sunat tersebut pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya`ban.
Begitu juga,  harus berpuasa pada hari-hari separuh terakhir daripada bulan Sya`ban jika puasa yang dikerjakan itu bersambung walaupun hanya satu hari dengan puasa yang dikerjakan pula separuh yang pertama  daripada bulan Sya`ban.  Sebagai contoh, harus mengerjakan puasa sunat yang bermula pada 15 Sya`ban dan meneruskannyu pula separuh terakhir bulan Sya`ban itu hinggalah ke hari terakhir bulan tersebut. Bagaimanapun, sekiranya dia berpuasa pada hari-hari separuh terakhir bulan Sya`ban itu, maka haram ke atasnya meneruskan atau brepuasa lagi selepas hari dia berbuka itu. (I`anah ath-Thalibin 2/455,  Hasyiah al-Jamal `ala al-Minhaj : 2/326)
والله أعلم بالصواب


Sumber rujukan : Puasa Mufti Kerajaan, m.s 42-43.& Zakat, Fatwa

Monday, February 19, 2018

GANJARAN NEGARA DENGAN PETUNJUK ILAHI



Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Pemurah dan Maha Mengasihi para hambaNya. Petunjuk daripadaNya sentiasa menjadi impian setiap negara Islam. Apabila sesebuah negara mengamalkan ajaran-ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memenuhi kriteria-kriteria sebuah negara yang mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, selayaknya mendapat ganjaran yang besar nilainya disisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.


“Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur” بلدة طيبة ورب غفور))

 Ungkapan arab بلدة طيبة ورب غفور sering kita dengar dijadikan sebuah impian yang hendak dicapai oleh sesebuah negara. Ungkapan tersebut adalah petikan daripada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba’ ayat 15 yang tafsirnya:


“Demi sesungguhnya bagi penduduk Saba, (diyaman) ada satu tanda yang membuktikan kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua kebun (yang luas lagi subur, sebuah) disebelah kanan dan (sebuah lagi) di sebelah kiri. (lalu dikatakan kepada mereka): “makanlah daripada rezeki (yang dikurniakan) Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya. (Negara kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur dengan buah-buahan yang banyak) dan (tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Ayat ini sebenarnya mengisahkan tentang penduduk sebuah tempat di Yaman iaitu Saba', yang dikurniakan kekayaan rezeki dan keamanan. Mereka diperintahkan agar bersyukur kerana menerima ni’mat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh kerana itu negara tersebut mendapat gelaran “Baldatun Taiyyibatun wa Rabbun Ghafur” iaitu negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun. Akan tetapi, penduduk Saba’ ini telah mengingkari suruhan Allah, lalu mereka ditimpa musibah banjir besar yang melenyapkan ni’mat yang mereka rasai sebelum ini. sambungan kisah ini Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah Saba’ ayat 16-17 yang tafsirnya:
“Maka mereka berpaling ingkar lalu kami menghantarkan kepada mereka banjir besar dan kami menggantikan dua buah kebun mereka itu dengan kebun (yang ditumbuhi) pohon-pohon pahit buahnya dan pohon astl (sejenis pohon cemara yang jarang berbuah) serta sedikit pohon bidara. Demikianlah kami membalas mereka dengan sebab kekufuran mereka dan sebenarnya kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang sangat kufur.”

Sewajarnya kita mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah umat terdahulu yang perlu direnungi sedalam-dalamnya. Jika ingin membangun dan menegakkan sebuah negara yang terbaik dan cemerlang dengan petunjuk Allah, maka wajib bagi kita mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan mensyukuri ni’matNya serta menjauhi segala laranganNya.


Kesimpulan


Apabila sesebuah negara itu maju dan membangun serta ditadbir selaras dengan petunjuk Allah, nescaya negara tersebut akan dikukuhkan kedudukannya di muka bumi ini. Pemimpin dan rakyat serta seluruh penduduknya terdiri daripada orang-orang yang benar-benar melaksanakan kewajipan beragama dan meninggalkan segala larangan. Ini menepati firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Hajj ayat 41 yang tafsirnya: (iaitu) mereka (umat Islam) yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan melarang daripada mengerjakan yang mungkar. Dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

Berdirinya sebuah negara adalah dengan wujudnya orang-orang yang memiliki syakhsiah dan peribadi yang tinggi. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan dunia untuk bekalan dikemudian hari yang lebih kekal. Semuanya ini kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir dan mengaturkan segala urusan alam. Allah Subahanhu wa Ta’ala sajalah yang memberi pengajaran, petunjuk dan hidayah bagi manusia. Negara dan agama tidak terpisah, malah sama-sama dibangunkan untuk kehidupan manusia. Kaedah utama untuk hidup bernegara dengan petunjuk Allah adalah dengan mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mudah-mudahan negara dan kita semua tergolong dalam kalangan yang menerima petunjukNya.
والله أعلم بالصواب
Dipetik dari buku:
Bernegara Dengan Petunjuk Allah
Terbitan Pusat Da’wah Islamiah 1437H/2016M