Didalam
dunia yang penuh pancaroba ini, penyakit yang terbesar dalam jiwa insan
sebenarnya adalah penyakit hati nurani yang tidak ikhlas dalam amal ibadah dan
perbuatannya. Tujuan asal perbuatan seseorang seringkali tidak seiring dengan
apa yang zahir dari tindakannya.
Jika
dia bersedekah, kadang nampak zahirnya dia ingin membantu mereka yang susah dan
memerlukan, tetapi di sudut hatinya kadang-kala dia sebenarnya inginkan pujian
ataupun balasan tertentu. Hasilnya, hubungan
jiwanya dengan Allah yang mensyariatkan amalan yang baik itu terputus.
Disamping dia tergolong dalam kalangan orang yang kerugian kerana tidak
memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.
Firman
Allah Ta’ala (tafsirnya):
“Pada
hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya
mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah
agama yang benar” (Surah al-Baiyyinah: 5).
Tanpa
kita sedari Bulan Ramadhan ini menawarkan penawar bagi segala penyakit hati
termasuk mendidik keikhlasan dalam amal ibadah. Ini kerana amalan puasa sesuatu
yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ramai orang kita lihat tidak makan di
hadapan kita, tetapi itu bukan semestinya menunjukkan dia berpuasa. Kita tidak
tahu seseorang itu berpuasa ataupun tidak, melainkan jika dia sendiri yang
memberitahu.
Kita
juga tidak tahu apakah dia bercakap benar ataupun bohong bahawa dia berpuasa.
Seseorang mungkin boleh menyatakan dia berpuasa tetapi sebenarnya dia tidak
berpuasa. Dia mungkin makan, minum secara sembunyi. Semua itu hanya Allah Yang
Maha Tahu.
Begitu
juga, kita perlu selalu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan
godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai
juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu.
Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan
positif. Oleh sebab itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
Ikhlas
dalam menjalani amal ibadah itu amat penting bagi diri seorang muslim. Hal ini
kerana Ikhlas akan menjauhkan kita dari perasaan riya’ dan menunjuk-nunjuk.
Suatu amal yang berlandaskan perasaan menunjuk-nunjuk tidak akan mendapat
ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu waTa’ala, amal kebaikannya mungkin
hanya akan mendapat sebutan dan pujian daripada manusia, akan tetapi tidak
mendapat apa-apa balasan daripada Allah. Nauzubillah.
Khatimahnya,
marilah kita bersama-sama berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah di bulan
yang penuh barakah ini. Kita perlu sedaya-upaya membenteng diri kita dari
perasaan riya’ dan menunjuk-nunjuk. Kita perlu sedar bahawa apa yang sebenarnya
kita harapkan dalam kehidupan kita ini hanyalah keredhaan dan rahmat dari Allah
Subhanahu waTa’ala..
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan