Bagaimanakah kita dapat membuka
pintu ukhuwah di bulan Ramadhan? Apakah ada hikmah dalam persaudaraan dan
silaturrahim dalam bulan Ramadhan yang boleh kita ambil?
Jika sebelum ini kita bermasam
muka dengan orang lain, bagaimanakah kita dapat membina semula hubungan
silaturrahim dan ukhuwah sesama kita melalui bulan Ramadhan yang penuh barakah
ini? Apakah kita masih ingin terus bermusuh-musuhan di dalam bulan Ramadhan?
Maka ambillah peluang di dalam
bulan suci penuh rahmat ini untuk membina kembali hubungan persaudaraan yang
kian lama terputus atau renggang kerana kesibukan kerja dan juga sengketa lama.
Di sini serba sedikit cara
bagaimana kita dapat membina dan membuka kembali pintu ukhuwah seperti yang
dikehendaki oleh Allah dan RasulNya melalui bulan Ramadhan.
Api permusuhan itu akan dapat
dilenyapkan apabila kita mula makan bersama. Duduk bersama, bersembang dan
meluahkan apa-apa permasalahan secara syura iaitu perbincangan secara sihat.
Maka manfaatkanlah saat-saat berbuka puasa dengan menjamu sajian bersama-sama.
Nabi dan para sahabat sentiasa makan bersama-sama dalam setiap majlis bagi
tujuan untuk mengeratkan silaturrahim. Kita juga tahu bahawa salah satu
mustajabnya doa adalah ketika berbuka puasa. Maka berdoalah ketika itu “ Ya
Allah, Engkau hapuskanlah permusuhan di antara kami dan juga umat Islam. Engkau
tanamkanlah kasih-sayang di antara kami. Engkau redhailah hubungan kami sesama
muslim. Dan janganlah Engkau murkai terhadap kami, kerana kami tidak sanggup
menanggung azab seksaaan api nerakaMu”
Buangkan lah jauh-jauh akan
perasaan malu kerana kita tahu mereka yang bermusuh ini kadang-kadang malu
untuk bermaafan sesama mereka dek kerana ego dan rasa segan mereka. Oleh itu,
jadikanlah peluang ini untuk membentuk silaturrahim kembali.
Di bulan Ramadhan ini juga
peluang kita untuk membina ukhuwah dengan cara bertadarus Al-quran. Dengan
membaca bersama-sama, hati kita akan diikat dengan ayat suci Al-Quran. Sejahat
mana pun manusia, jika hatinya mula tersentuh dengan ayat-ayat al-quran, maka tiada
siapa yang dapat menghalangnya dari berubah dan bertaubat.
Itulah mukjizat Al-quran. Jika ia dibaca dengan penuh keyakinan,
maka dia mampu memagari hatinya dari sebarang permusuhan dan perkara-perkara
negatif. Oleh itu, binalah ukhuwah dengan bertadarus bersama-sama. Jadikan
al-quran sebagai pengikat hati yang bermusuh. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat
berguna buat orang-orang beriman.
Ada banyak lagi penyelesaian yang boleh kita ambil dari bulan
Ramadhan. Mudah-mudahan ia dapat membuka kembali pintu ukhuwah di kalangan
kita, dan melindungi kita dari terjebak kembali dari api permusuhan dan
kebencian. Bermaafanlah kerana Allah kerana Allah tidak suka kepada orang yang
memutuskan silaturrahim sesama makhluk. Moga-moga kita tergolong dalam golongan
yang diredhai Allah jua
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan