Saturday, January 27, 2018

Apa Yang Hendak dibuat Ketika Gerhana


Kita diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menganjurkan supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan. Sebagaimana hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya:
“Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah Ta’ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah”.
(Hadits Riwayat Bukhari)

Dan daripada hadits Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha:
أَمَرَ الرَّسُولُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعِتَاقَةِ فِى صَلَاةِ الْكُسُوفِ
Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan supaya membebaskan hamba di dalam sembahyang gerhana”.
(Hadits riwayat Bukhari)
Manakala daripada hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ
Maksudnya: “apabila kamu melihat gerhana itu berzikirlah (ingatlah) kepada Allah.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Abu Bakar bin al-‘Arabi di dalam ‘Umdah al-Qari’ bahawa ada enam perkara am dan khas yang diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya iaitu:
 1            Sembahyang
 2            Berzikir
 3            Berdoa
 4            Bertakbir
 5            Bersedekah
 6            Membebaskan hamba.
Walau bagaimana pun beliau tidak memberikan penerangan mengenai enam perkara tadi dengan lebih lanjut.

Kesimpulan
Kejadian gerhana itu adalah kurnia dari Allah Ta’ala sebagai penjelasan akan keagungan dan kebesaranNya dan sebagai gambaran berlakunya Hari Akhirat. Disamping itu gerhana juga suatu ibadat kerana kita dianjurkan melakukan perkara-perkara yang berkebajikan, bersyukur atas kurnia itu dengan melakukan sembahyang, bersedekah, berzikir, berdoa, serta menjauhkan dari melakukan perkara-prkara mungkar, maksiat serta perbuatan syirik sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada al-Mughirah bin Syu’bah berkata yang maksudnya : “Gerhana matahari telah berlaku dizaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika itu Ibrahim (anak Nabi) telah meninggal, berkata orang ramai bahawa gerhana matahari itu disebabkan kematian Ibrahim, lalu bersbda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa gerhana matahari dan bulan itu tidaklah disebabkan oleh kematian atau hidupnya seseorang, maka apabila kamu melihat gerhana itu maka bersembahyang dan berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.                                                                                         
                                                                                              (Hadits riwayat Bukhari) 


(Rujukan Irsyad Hukum 1995)

Saturday, January 13, 2018

Ziarah Kubur



Ziarah kubur orang-orang Islam adalah Sunat bagi lelaki. Bagi perempuan pula, Imam Syafi’e berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh kerana dengan sifat perempuan yang lemah dan beremosi itu dikhuatiri akan membawa mereka melakukan perbuatan yang dilarang seperti meraung dan meratap serta menyesali takdir Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika diyakini pula bahawa keluarnya mereka itu ke kubur boleh menimbulkan fitnah dan boleh menyebabkan terjadinya perkara-perkara haram, maka berziarah kubur bagi mereka adalah haram.

Hikmah dan tujuan ziarah kubur ialah supaya kita mengambil pengajaran atau peringatan daripadanya supaya kita ingat akan kematian dan hari akhirat.
Apabila menziarahi kubur, kita hendaklah menjaga adab-adabnya iaitu:
1.     Sunat mengambil wudhu
2.     Memakai pakaian sopan dan menutup aurat
3.     Membulatkan hati dan ikhlas selari dengan tujuan ziarah
4.  Disunatkan memberi salam kepada semua ahli kubur sebaik-baik sahaja sampai ditanah perkuburan sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى الْمَقَابِرِ :السَّلَامُ عَلَيْكُمْ ياأَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar mereka sekiranya menziarahi kubur (supaya mengucapkan): “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kubur dari kalangan orang-orang mu’min dan muslim, dan sesungguhnya kami Insya-Allah akan menyusuli kamu, saya memohon kepada Allah untuk kami dan untuk kamu keafiatan”.
5.  Setelah sampai dekat kubur kerabat yang hendak diziarahi, afdhal berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi
6.  Disunatkan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada ahli kubur tersebut.
7. Kemudian disunatkan menghadap ke arah kiblat dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas ahli kubur.
8.  Setelah itu disunatkan merenjiskan atau memercikkan air ke kubur. Ini berdasarkan kepada amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَشَّ عَلَى قَبْر ِابْنِهِ إِبْرَاهِيمَ وَوَضَعَ عَلَيْهِ حَصْبَاءُ

Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “menyiram air ke atas kubur anaknya Ibrahim dan meletakan batu-batu kecil diatasnya”.

Penutup
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Ajaran dan peraturannya meliputi urusan dunia dan akhirat. Islam bukan sahaja mengatur kehidupan manusia tetapi juga menjaga kehormatan dan haknya, baik di dunia mahupun sesudah matinya.