Saturday, January 27, 2018

Apa Yang Hendak dibuat Ketika Gerhana


Kita diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menganjurkan supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan. Sebagaimana hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya:
“Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah Ta’ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah”.
(Hadits Riwayat Bukhari)

Dan daripada hadits Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha:
أَمَرَ الرَّسُولُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعِتَاقَةِ فِى صَلَاةِ الْكُسُوفِ
Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan supaya membebaskan hamba di dalam sembahyang gerhana”.
(Hadits riwayat Bukhari)
Manakala daripada hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu:
فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ
Maksudnya: “apabila kamu melihat gerhana itu berzikirlah (ingatlah) kepada Allah.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Abu Bakar bin al-‘Arabi di dalam ‘Umdah al-Qari’ bahawa ada enam perkara am dan khas yang diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya iaitu:
 1            Sembahyang
 2            Berzikir
 3            Berdoa
 4            Bertakbir
 5            Bersedekah
 6            Membebaskan hamba.
Walau bagaimana pun beliau tidak memberikan penerangan mengenai enam perkara tadi dengan lebih lanjut.

Kesimpulan
Kejadian gerhana itu adalah kurnia dari Allah Ta’ala sebagai penjelasan akan keagungan dan kebesaranNya dan sebagai gambaran berlakunya Hari Akhirat. Disamping itu gerhana juga suatu ibadat kerana kita dianjurkan melakukan perkara-perkara yang berkebajikan, bersyukur atas kurnia itu dengan melakukan sembahyang, bersedekah, berzikir, berdoa, serta menjauhkan dari melakukan perkara-prkara mungkar, maksiat serta perbuatan syirik sebagaimana hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada al-Mughirah bin Syu’bah berkata yang maksudnya : “Gerhana matahari telah berlaku dizaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika itu Ibrahim (anak Nabi) telah meninggal, berkata orang ramai bahawa gerhana matahari itu disebabkan kematian Ibrahim, lalu bersbda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa gerhana matahari dan bulan itu tidaklah disebabkan oleh kematian atau hidupnya seseorang, maka apabila kamu melihat gerhana itu maka bersembahyang dan berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.                                                                                         
                                                                                              (Hadits riwayat Bukhari) 


(Rujukan Irsyad Hukum 1995)

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan