Saturday, April 11, 2020

KEWAJIPAN RAKYAT MENTAATI PEMIMPIN


Allah Subhanahu wa taala berfirman :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَماناتِ إِلى أَهْلِها وَإِذا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كانَ سَمِيعاً بَصِيراً (58) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (59)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (hendaklah) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhanNya itu) memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan ulil amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada (kitab) Allah dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah An-Nisaa’ : 58-59)

Ayat 58 ditujukan kepada para pemerintah dan pemimpin untuk memelihara amanah, mengurus urusan masyarakat, dan menegakkan  hukum secara adil. Kepimpinan  akan berjalan dengan efektif jika pemimpin menjalankan  kewajipan dan mendapatkan  haknya secara sempurna. Kewajipan  melaksanakan amanah mengurus masyarakat  khasnya daripada kalangan kaum muslimin ada disebutkan dalam hadits Rasullulah Shallalahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda: 


مَنْ لاَ يَهْتَمْ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ



Maksudnya:

Barangsiapa yang tidak mengambil  berat tentang  urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk daripada golongan mereka (golongan kaum Muslimin)”

(Riwayat Imam ath-Thabarani)

Ayat 59 pula ditujukan kepada rakyat jelata yang diurus untuk tunduk  dan taat kepada pemimpin. Seseorang pemimpin tidak akan mampu melakukan apapun tanpa adanya dukungan daripada rakyat. Oleh kerana itu, masyarakat wajib memberi kepercayaan dan ketaatan kepada pemimpin  demi melahirkan kepimpinan yang legitimasi. Sabda Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam:


وَ مَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بيَعَةٌ مَاتَ مِيتَةﹰ جَاهِلِيَّةﹰ


Maksudnya :
“Barangsiapa yang mati dalam keadaan tiada ada padanya  suatu bai’ah (ikrar janji taat kepada pemimpin Islam) maka matinya seumpama mati dalam keadaan jahiliah.”

(Riwayat Imam Muslim)

Sungguhpun ketaatan kepada pemimpin merupakan sebahagian daripada ketaatan kepada Allah Subahanahu wa ta’ala, namun ketaatan itu tetap ada batasannya. Jika pemimpin memerintahkan suatu yang maksiat, maka perintahnya  tidak wajib dipatuhi kerana Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam berpesan :


لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ إِنَّمَا الطَّاعَة فِي الْمعْرُوفِ


Maksudnya :

“Tiada ketaatan dalam perkara maksiat, sesungguhnya taat itu, (hanya) dalam perkara yang baik (ma’ruf).”

(Riwayat Imam al-Bukhari)

Oleh yang demikian, hubungan antara pemimpin (Ulil Amri) dengan yang dipimpin (rakyat) perlu terjalin harmoni kerana tanggungjawab pemimpin tidak mungkin dapat dijalankan dengan sempurna tanpa adanya sambutan dan ketaatan daripada rakyat. Dengan adanya hubungan yang baik ini akan wujud kehidupan yang tenteram, aman dan sentosa dalam negara sebagaimana yang pernah berlaku kepada masyarakat di bawah kepimpinan Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallamdan juga masyarakat tabi’in dan tabi’in di bawah kepimpinan Khalifah Islam.

Dipetik daripada majalah Al-Huda, Disember 2017M/1439H




No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan