Alhamdulillah, kita telah pun melangkah
ke bulan Syawal, bulan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan menahan
nafsu, lapar dan dahaga. Jadi, ada baiknya kita
mengetahui beberapa amalan-amalan sunat dilakukan untuk
diamalkan pada 1 Syawal.
1. Menghidupkan malam hari Raya.
Pada malam hari
Raya digalakkan kita menghidupkannya dengan berzikir, bertakbir, bertahmid,
berdoa dan istighfar dan juga bersedekah.
Sunat melaungkan
takbir dengan suara jahr (nyaring) pada malam Aidilfitri selepas
terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang
Hari Raya.Disunatkan bertakbir bagi membesarkan Allah Subhanahu wa ta’ala.
2. Mengerjakan sembahyang Sunat Aidilfitri.
Sembahyang
Aidilfitri hukumnya sunat muakkadah dan disunatkan melakukannya secara
berjemaah dan menurut mazhab as-Syafi’e boleh juga dilakukan secara
bersendirian di rumah. Sembahyang Sunat Aidilfitri sekurang-kurangnya
dikerjakan seperti sembahyang sunat wudhu’. Namun yang sempurnanya dikerjakan
dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbir.
Kaifiat
bersembahyang Aidilfitri ialah:
Lafaz niat
sembahyang Aidilfitri:
(Jika dilakukan
secara berjemaah)
أُصَلّيِ
سُنَّةَ عَيْدِ الْفِطْرِرَكْعَتَيْنِ مَأْمُوماً لِلّهِ تَعَالَى
Ertinya:
“Sahaja aku
sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Ta’ala.”
Manakala (Jika
dilakukan secara perseorangan)
أُصَلّيِ
سُنَّةَ عَيْدِ الْفِطْرِرَكْعَتَيْنِ لِلّهِ تَعَالَى
Ertinya:
“Sahaja aku
sembahyang sunat Aidilfitri dua rakaat
kerana Allah Ta’ala.”
Selepas
mengangkat takbiratul ihram, disunatkan membaca doa iftitah, dan selepas
itu,
melafazkan takbir
(الّلهُ أَكْبَر) sambil mengangkat tangan
setiap kali takbir sebanyak 7 kali bagi rakaat yang pertama dengan suara yang
terang dan jelas (*). Kemudian membaca surah al-Fatihah dan sunat membaca sesudah
itu surah Qaf atau surah al-A’laa atau surah ad-Dhuha atau surah al-Kafirun.
Dan bagi rakaat
yang kedua pula, dilafazkan 5 kali takbir (الّلهُ أَكْبَر) dengan suara yang
terang dan jelas (*) kemudian membaca surah al-Fatihah dan sunat membaca sesudah
itu surah al-Qamar atau surah al-Ghasyiah atau surah al-Insyirah atau surah
al-Ikhlas.
(*) Sunat
diselangi takbir itu dengan suara yang israr (perlahan) bacaan zikir
berikut:
سُبْحَانَ
اللهِ وَالْحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلّا اللّه واللّه أَكْبَرُ
Disunatkan Khutbah
bagi sembahyang Aidilfitri sebanyak dua kali selepas selesai sembahyang. Tidak
disunatkan berkhutbah bagi orang yang mengerjakan sembahyang Sunat Hari Raya secara bersendirian. Begitu
juga bagi Jemaah perempuan, melainkan ada lelaki yang membaca khutbah untuk
mereka.
Selain
mengadakan di dalam masjid, jika terlalu ramai disunatkan juga mengadakannya di
tanah lapang yang luas. Disunatkan pergi ke tempat sembahyang melalui satu
jalan dan kembali melalui jalan yang
lain.
3. Sunat Makan Sebelum Sembahyang Aidilfitri.
Sebagaimana
hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, katanya :
كَانَ النّبِيُ
ﷺ لاَ يَخْرُجُ
يَوْمَ الْفِطْرِ حَتّى يَطْعَمَ، وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
(رواه الترمذي)
Maksudnya:
“Nabi
Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak keluar (mengerjakan sembahyang Hari Raya)
pada Aidilfitri sehinggalah Baginda makan dan tidak makan pada Aidiladha
sehinggalah Baginda sembahyang (Aidiladha).
(Hadith
Riwayat at-Tarmizi)
Pada Aidilfitri
itu sunat makan beberapa biji tamar (dengan bilangan yang ganjil) sebelum
mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh
Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu
katanya:
كَانَ رَسُولُ
الله ﷺ لاَ يَغْدُو
يَوْمَ الْفِطْرِ حَتّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ
حَدَّثَنِي عُبَيْدُ الله
قَالَ : َحدَّثَنِي أَنَسٌ عَنْ النَّبِي ﷺ
وَيَاْكُلُهُنَّ وِتْرَا
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak keluar di awal pagi Aidilfitri sehinggalah
Baginda makan beberapa biji tamar. Berkata Murajja’ bin Raja’: “Telah
menceritakan kepadaku daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “ Dan Baginda
memakannya (tamar) dengan bilangan yang ganjil.”
(Hadits
riwayat al-Bukhari)
4. Mandi Sebelum Sembahyang Hari Raya.
Sunat mandi
sebelum mengerjakan sembahyang Hari Raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum
sembahyang Jumaat.
Demikian juga
sunat berharum-haruman, mencabut atau mencukur bulu seperti bulu ketiak, menggunting misai dan janggut, memotong kuku dan menghilangkan
bau-bauan pada badan dan pakaian.
Sementara waktu
mandi pula, menurut pendapat yang ashah dan disepakati oleh ulama-ulama asy-Syafi’iyyah
harus mandi selepas fajar atau sebelumnya.
5. Memakai Pakaian yang cantik.
Sunat memakai
pakaian yang terbaik dan afdhal memakai pakaian berwarna putih.
6. Pada hari raya ini, sangat digalakkan apabila orang-orang Islam
berjumpa antara satu sama lain mengucapkan ‘tahniah Hari Raya’ sebagaimana yang diakui oleh Ibnu Hajar
Rahimahullah. Ucapan tahniah itu seperti:
تَقَبَّلَ اللهُ
مِنّا وَمِنْكَ
Maksudnya :
“Semoga Allah
menerima daripada kita (amal ibadat) dan menerimanya daripada awak.”
Sunat dibalas
ucapan tahniah ini seperti:
تَقَبَّلَ اللهُ
َمِنْكُمْ أَحْيَاكُمُ اللهُ لِأَمْثَالِهِ كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْر
Maksudnya:
“Semoga Allah
menerima daripada kamum, semoga Allah memelihara kamu kerana mentaatiNya,
setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”
Sumber rujukan :
Irsyad Hukum 2004 dan buku Bulan Ramadhan dan Keistimewaan.