Thursday, May 14, 2020

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR




Kemuliaan bulan Ramadhan yang menjadikannya rebutan orang-orang beriman adalah kerana pada bulan ini terjadinya malam Lailatul Qadar. Keistimewaan malam Lailatul Qadar apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan surah yang khusus untuknya di dalam al-Quran al-Karim. Surah tersebut dinamakan Surah al-Qadar, ayat 1-5, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (َ1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2)
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ(4)
(5) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر
Tafsirannya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) itu pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat, dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.”

Surah ini adalah bukti jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran.

Menurut pandangan sebahagian besar ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekaligus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam Lailatul Qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, melalui perantaraan Jibril ‘alaihissalam sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selam 23 tahun.

Dalam setahun ada 365 hari, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memilih satu hari untuk menurunkan al-Quran iaitu pada malam Lailatul Qadar sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ..
Tafsirnya:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu pada) bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah..”

Keistimewaan seterusnya malam Lailatul Qadar adalah ia lebih baik daripada seribu bulan. Jika dihitung, seribu bulan bersamaan dengan kehidupan selama 83 tahun dan 4 bulan. Ertinya satu malam ini lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ini adalah di antara keistimewaan yang menjadikan Lailatul Qadar itu adalah malam yang dicari-cari oleh setiap umat Islam di mana jua berada.

Mengenai bila waktunya Lailatul Qadar itu, tidak ada seorang yang dapat mengetahuinya bila berlakunya Lailatul Qadar. Tetapi sebahagian ‘ulama berpendapat Lailatul Qadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil sama ada pada malam ke 21, 23, 25, 27 atau pada malam 29, ini berdasarkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Ubadah bin as-Samad katanya:

قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ أَخْبَرْنَا عَنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ فَقَالَ رَسُولَ الله ﷺ هِيَ فِي رَمَضَانَ الْتَمِسُوهَا فِي الْعِشْر الأَوَاخِرِ فَإِنّها وِتْرٌ فِي إِحْدَى وَعِشْرِين أو ثَلاثِ وَعِشْرِين أو خَمْس وَعِشْرِين أو سَبْع وَعِشْرِين أَوْ تِسْع وَعِشْرِين أَوْ فِي اّخِرِ لَيْلَةٍ فَمَنْ قَامَهَا إِيمَانَا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
(رواه إمام أحمد)
Maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam mengkhabarkan kepada kami tentang Lailatul Qadar. Baginda bersabda di dalam bulan Ramadhan di sepuluh yang akhir malam 21 atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27 atau malam 29 atau di akhir malam bulan Ramadhan. Barangsiapa mengerjakan qiam, pada malam itu kerana imannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kerana mengharapkan keredhaanNya, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang”.

Hikmat tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat adalah sebagi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha menghidupkan kesemua sepuluh malam terakhir dengan ibadat dan amal soleh. Seandainya Lailatul Qadar telah ditetapkan pada malam yang tertentu, nescaya umat Islam akan mengabaikan ibadat dan amal soleh pada malam-malam yang lain.

Memasuki fasa ketiga bukan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih -lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya.
Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui surah ad-Dukhan ayat 3-6:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (3)   فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ  (4) أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ(5)
رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (6)
Tafsirannya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat. Sesungguhnya Kami ialah Pemberi Peringatan. Pada malam itu, dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah. Iaitu perkara-perkara yang besar di sisi Kami. Sesungguhnya Kamilah yang mengutus rasul-rasul. Sebagai rahmat daripada Tuhanmu (kepada manusia). Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Berdasarkan ayat di atas menurut sebahagian ulama,Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menentukan rezeki dan qadha qadar ke atas segala makhlukNya selama setahun. Justeru, tidak hairan mengapa rahsia kedatangannya disembunyikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita.

Menurut Imam ar-Razi, antara rahsia disembunyikan malam Lailatul Qadar ialah:

1.      Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.
2.       Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadah walaupun telah ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itusehingga mendapat kemurkaan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya.
3.       Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.
4.       Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.
Jadi, bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar?
Rasulullah telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapatkan Lailatul Qadar.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan Aisyah Radhiallahu ‘anha, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ الله ﷺ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya :
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.”
Memandangkan betapa besar ganjaran Lailatul Qadar itu, maka rebutlah peluang meningkatkan amal ibadat terutama sekali di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan yang hanya dating sekali setahun. Mudah-mudahan segala amal ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan ini diterima Allah Subhanahu wa Ta’ala dan seterusnya akan mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Amin ya rabbal-‘alamin.

والله أعلم بالصواب



)Petikan daripada buku Ramadhan, Bulan Meraih Taqwa, YB Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Terbitan Pusat Da’wah Islamiah)


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan