Berbakti bermaksud berjasa yang asalnya daripada perkataan “bakti” yang membawa maksud perbuatan baik untuk menyatakan setia, kasih, hormat dan lain-lain yang berkaitan dengan segala kebaikan di dalamnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 23 :
﴿وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ
وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا﴾
Tafsirnya :
“ Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada kedua-duanya (sesuatu perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking kedua-duanya tetapi ucapkanlah kepada kedua-duanya perkataan yang mulia (dengan berlemah lembut dan bersopan santun.”
Manakala, Sabda Rasulullah ﷺ dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada ‘Abdullah ia berkata:
"سَأَلْتُ النَّبِيَّ ﷺ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ : الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا، قَالَ: ثُمَّ أَيٌ ؟
قَالَ: ثُمَ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ، قَالَ : ثُمَّ أَيٌ ؟ قَالَ : الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya:
“Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ amal apakah yang paling dicintai Allah Subhanahu wa Ta’ala? Baginda bersabda : “ Sembahyang pada waktunya.” Aku bertanya lagi : “Kemudian apa?” Baginda bersabda : “Kemudian berbakti kepada orang tua.” Aku bertanya lagi : “Kemudian apa?” Baginda bersabda, “Jihad di jalan Allah.”
Berbakti kepada ibu bapa adalah suatu perintah wajib dilaksanakan yang dapat mendekatkan diri seorang anak tersebut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jadi bagaimanakah caranya seorang anak itu dapat berbakti kepada orang tua mereka?
1. Melayan kedua ibu bapa dengan baik, bercakap dengan lemah lembut dan janganlah sesekali menengking seperti meninggikan suara, membantah percakapan yang bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa dan sebagainya. Adalah lebih baik berdiam daripada berkata-kata yang boleh menyinggungkan perasaan mereka apabila berlaku pertelingkahan atau tidak kesefahaman dalam sesuatu perkara, walaupun kadangkala sebenarnya kebenaran berpihak kepada anak-anak. Dalam keadaan seperti ini, seseorang anak hendaklah bijak mengawal keadaan, bagi menjaga hati kedua ibu bapanya. Gunakanlah cara yang lembut dan terbaik untuk menjelaskan keadaan atau kedudukan yang sebenarnya.
Kata-kata yang kesat dan kasar yang diucapkan oleh seorang anak tentulah lebih mudah menjadikan ibu bapanya sedih dan menitiskan air mata. Setitis air mata ibu atau bapa yang mengalir disebabkan oleh seorang anak, maka ia tergolong sebagai anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Kitab al-Adab al-Mufrad, daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
"بُكَاءُ الْوَالِدَيْنِ مِنَ الْعُقُوقِ"
Maksudnya:
“Perbuatan yang menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.”
2. Mengambil berat akan keadaan ibu bapa dan selalu menziarahi mereka bagi anak-anak yang tinggal berasingan.
Sesungguhnya kehadiran anak-anak ketika menziarahi mereka akan dapat menggembirakan hati keduanya, apalagi jika mereka sakit dan memerlukan perhatian serta sokongan. Bayangkanlah, bagaimana perasaan mereka apabila anak-anak tidak menziarahi mereka apalagi di saat mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Kekecewaan yang dialami akibat diabaikan dan dipinggirkan oleh anak-anak sendiri boleh membawa kepada hukum derhaka. Sebaliknya dengan menziarahi ibu bapa, maka hubungan kasih sayang dan silaturrahim dalam kekeluargaan akan sentiasa terjalin. Sebagai seorang anak yang telah berkeluarga sendiri, maka perbuatan menziarahi ibu bapa akan menjadi ikutan dan contoh tauladan pula kepada anak-anaknya, apalagi dalam mengamalkan sikap yang baik dalam pergaulan hidup.
3. Selalu mendo’akan kebaikan dan keselamatan di dunia dan akhirat bagi kedua ibu bapanya. Sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firmanNya dalam surah al-Israa’ ayat 24 :
﴿وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرٗا﴾
Tafsirnya:
“Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdo’alah (untuk kedua-duanya): “ Ya Tuhan! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku sejak kecil (lagi).”
Berbuat bakti dan menyayangi mereka berdua tidak akan lengkap tanpa diiringi dengan do’a yang berterusan. Sesungguhnya do’a-do’a yang dipohonkan anak-anak yang soleh dan solehah adalah khazanah ibu bapa yang amat berharga, kerana ia merupakan perbuatan dan amal bakti yang tidak akan pernah putus buat selama-lamanya.
4. Mendahulukan Ibu bapa dalam banyak perkara. Rasulullah ﷺ pernah bersabda dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al- ‘Ash dia berkata;
Maksudnya:
“Seseorang lelaki telah datang menghadap Rasulullah ﷺ, lalu dia berkata, “Aku bai’at (berjanji setia denganmu akan ikut hijrah dan berjihad, kerana untuk mencari pahala di sisi Allah” Baginda bertanya : “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Jawab lelaki itu: “Masih, bahkan kedua-duanya masih hidup.” Baginda bertanya lagi, “ Apakah kamu mengharapkan pahala dari Allah?” Jawabnya : “Ya!” Lalu Baginda bersabda: “Pulanglah kamu kepada kedua orang tuamu, lalu berbaktilah pada keduanya dengan sebaik-baiknya.”
Mengapa Islam menetapkan bagi seorang anak untuk lebih mendahulukan ibu bapanya dalam banyak perkara? Ini kerana kita tahu bahawa perintah bagi seorang anak berbakti kepada kedua orang tuanya adalah diletakkan selepas melaksanakan perintah beribadah dan menyembah Allah Subhanahu wa Ta’ala serta menta’ati RasulNya. Oleh yang demikian, kepentingan mendahulukan ibu bapa dalam banyak perkara adalah perkara utama. Selain itu, ibu bapalah orang yang paling hampir dengan anak dan banyak berjasa berkorban bagi kehidupan anak-anak mereka.
5. Menghulurkan Bantuan Kewangan. Seorang anak hendaklah sentiasa merasa bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah menciptakannya dan kepada kedua ibu bapa yang telah melahirkannya ke dunia. Sedari kecil anak-anak dipelihara, dibesarkan dengan penuh kasih sayang, diberikan pelbagai kesenangan, pendidikan yang membawa mereka ke menara gading. Semua pencapaian dan ni’mat yang dikecapinya itu sudah setentunya bukan semata-mata hasil usahanya tetapi juga adalah hasil daripada pengorbanan kedua ibu bapanya.
Ada di kalangan ibu bapa yang tidak mampu lagi untuk membenting tulang empat kerat mereka untuk mencari pendapatan atas faktor usia dan kesihatan. Dalam keadaan ini, mereka seharusnya tidak lagi terbeban dengan kerja-kerja berat, akan tetapi mereka sepatutnya menikmati hari tuanya dengan berehat, beribadah dan melapangkan fikiran. Di sinilah, anak-anak sepatutnya mengambil alih tugas ibu bapa selama membesarkan mereka. Sebagai anak terutamanya anak lelaki yang tidak lari dari tanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya, seeloknya pendapatan atau wang gaji dihulurkan secara konsisten mengikut kemampuannya. Dalam erti kata lain, pendapatan atau wang gaji seorang anak yang dikongsikan sedikit bersama kedua ibu bapanya itu sekurang-kurangnya menunjukkan penghargaan anak terhadap ibu bapa dan menggembirakan mereka.
Janganlah lupa bahawa rezeki daripada kewangan yang diperolehi oleh anak itu juga adalah hasil titik peluh ibu bapa yang membesarkannya dan berkat do’a yang sentiasa dipohonkan oleh keduanya. Sesungguhnya do’a kedua ibu bapa itu tidak akan ditolak, sebagaimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةٌ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
Maksudnya:
“Tiga macam do’a yang akan dikabulkan dan tidak ada keraguan pada ketiganya, iaitu do’a orang dizalimi, do’a orang yang musafir dan do’a ibu bapa kepada anaknya.”
6. Menyediakan tempat tinggal yang selesa adalah salah satu cara bagi seorang anak untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya selagi mereka masih hidup, apalagi jika keduanya telah mencapai usia tua. Dalam keadaan mereka yang telah tua, maka sudah pasti hayatnya juga menanti untuk kembali dan dipanggil semula menghadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Menyediakan tempat tinggal bagi kedua ibu bapa tidak semestinya menyediakan sebuah rumah untuk mereka, apatah lagi jika ibu bapa telah sedia memiliki rumah yang selesa. Dalam hal ini, adalah baik jika anak-anak duduk bersama dengan ibu bapa, kerana dengan ini segala kebajikan mereka seperti makan, minum dan pakai mereka akan terjaga. Bagi anak-anak yang tinggal berasingan carilah banyak masa untuk sentiasa berdamping dengan ibu bapa. Jika rumah orang tua uzur atau jauh dari kediaman anak-anak, ada baiknya anak itu membawa kedua ibu bapanya tinggal bersama-sama mereka. Bergilirlah membawa ibu bapa tinggal di rumah anak-anak yang ramai. Rebutlah peluang berbakti dan menjaga ibu bapa selagi hayat mereka ada.
7. Sentiasa memberi perhatian. Seorang anak hendaklah sentiasa memberi perhatian terhadap kedua ibu bapanya. Ibu bapa yang semakin hari meniti usia tuanya akan sentiasa cepat tersentuh perasaannya. Mereka akan lebih cenderung merasa sunyi apabila anak-anak mengabaikan mereka sendiri tanpa perhatian. Perkara ini akan menyebabkan kesihatan mereka terganggu akibat memikirkan anak-anak tidak memperdulikan mereka dan akhirnya terlantar, juga tanpa diperhatikan dan diambil peduli.
Sebagai seorang anak yang tahu mengenang jasa, sudah pasti tidak mahu melihat kesihatan kedua ibu bapanya terjejas akibat asyik memikirkan tiada perhatian daripada anak mereka. Perkara ini dapat dielakkan jika anak sentiasa memberi perhatian dengan sentiasa menziarahi mereka dan mengadakan aktiviti kekeluargaan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Bagi anak yang berada jauh daripada ibu bapanya pula, sekecil-kecil perkara yang dapat dilakukannya adalah dengan menghubungi mereka untuk bertanyakan khabar. Meskipun ianya perkara kecil sahaja, akan tetapi bagi seorang ibu atau bapa ia adalah perbuatan yang amat bernilai dan sangat dihargai.Sebagai seorang anak, janganlah kita merasa bosan mencurahkan bakti kepada kedua ibu bapa. Janganlah memandang mereka dengan pandangan sebelah mata dan mengingkari perintah-perintah mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syari’at Islam. Melalui kedua ibu bapalah kita lahir ke dunia untuk mengecapi ni’mat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas muka bumi ini.
Teruskanlah berbakti dan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa walaupun keduanya sudah meninggal dunia iaitu seperti menyempurnakan jenazah ibu bapa di saat hari kematian, mendo’akan dan meminta keampunan bagi keduanya, menziarahi kubur mereka, menunaikan wasiat mereka. Selain itu juga, membayarkan hutang-hutang keduanya melalui harta yang ditinggalkan atau menggunakan harta anak itu sendiri jika berkemampuan.
Mengenai kewajipan seorang anak untuk menyelesaikan hutang kedua ibu bapanya ini, terdapat satu kisah yang dinyatakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
“Bahawa seorang wanita menemui Nabi ﷺ dan berkata : “Ibuku bernazar untuk menunaikan haji, akan tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat ia menunaikan hajinya, apakah aku boleh menunaikan haji yang menjadi nazar ibuku itu?” Nabi ﷺ menjawap, “Boleh, tunaikanlah haji atas namanya, bagaimana pendapatmu, jika ibumu mempunyai hutang yang tidak dapat dibayarnya, bukankah engkau yang membayarnya?” Wanita itu menjawab, “Ya”, lalu Nabi ﷺ bersabda: “Kerana itu, bayarlah hak Allah kerana hak Allah lebih utama untuk diselesaikan.”
Selain itu, Rasulullah ﷺ juga bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
لَا تَزَالُ نَفْسُ ابْنِ آدَمَ مُعَلَّقَةً بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya:
“Jiwa anak adam akan sentiasa tergantung dengan tanggungan hutangnya sehingga hutang tersebut dapat diselesaikannya (dibayar).”
Sesungguhnya berbakti kepada orang tua akan mendapat ganjaran dan balasan yang baik iaitu keberkatan dan kebahagian dalam hidup di dunia dan akhirat. Bagi seorang anak yang faham akan erti keberkatan tersebut,pasti ia tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya kepada kedua ibu bapanya. Jika hendakkan ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan maka perlunya keberkatan. Antara ganjaran dan balasan yang baik itu ialah:
i. Allah memanjangkan umur dan sentiasa membuka pintu rezekinya walaupun rezekinya sedikit akan tetapi sentiasa merasa cukup.
ii. Bakti seorang anak kepada ibunya sebagai satu amal yang mulia dan letak balasannya adalah di syurga yang kekal abadi.
iii. Mendapat ganjaran pahala.
iv. Diampunkan dosanya apabila ia menziarahi kubur kedua ibu bapanya. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا فِي كُلِّ جُمُعَةٍ غُفِرَ لَهُ وَكُتِبَ بَرًّا
Maksudnya :
“ Barangsiapa menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya pada setiap hari Juma’at, maka diampunkan dosanya dan ditulis sebagai orang yang telah berbakti.”
Adapun balasan bagi anak yang derhaka kepada ibu bapa terkandung di dalam beberapa perkara:
i. Termasuk dalam empat perkara yang membawa kepada dosa besar. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أَكْبَرَ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَين وَقَوْلُ الزُّورِ
Maksudnya:
“Dosa paling besar di antara dosa besar ialah menyekutukan Allah, membunuh jiwa yang diharamkan, derhaka kepada kedua orang tua dan berkata dusta atau sumpah palsu.”
ii. Tidak akan masuk syurga.Diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’ie, daripada Abdullah bin ‘Amrin, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنَّانٌ وَلَا عَاقٌّ وَلَا مُدْمِنُ خَمْرٍ
Maksudnya:
“Tidak akan masuk syurga bagi orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya (dihebohkannya) dan orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang kecanduan (ketagih) minuman keras (khamar).”
iii. Disegerakan balasan di dunia. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim, daripada Abu Bakrah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلَّا عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya :
“Semua dosa diakhirkan hukumannya menurut kehendak Allah ke hari kiamat kelak, kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua ibu bapa, maka balasan dan hukumannya dipercepatkan oleh Allah bagi siapa yang melakukakannya semasa hidupnya, sebelum matinya.
iv. Setiap ibadah, amal kebajikan yang dikerjakan oleh seseorang anak, jika ia menderhaka kepada kedua ibu bapanya, maka semua menjadi sia-sia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani, daripada Tsauban, bahawa Nabi ﷺ bersabda :
ثَلَاثَةٌ لَا يَنْفَعُ عَمَلٌ : الشِّرْكُ باللَّهِ، وَعُقُوقِ الْوَالِديْنِ، وَالْفِرَارُ مِنَ الزَّحْفِ
Maksudnya :
“Tiga perkara yang menyebabkan segala amal tidak bermanfaat : Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perang.”
والله أعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan