Muharram mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam ‘alaihissalam dijadikan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Satu kelebihan dalam bulan Muharram ialah pada hari ke sepuluh yang dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada hari tersebut, umat Islam disunatkan berpuasa.
Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh a-Imam Muslim dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda :
((أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ))
(رواه مسلم)
Maksudnya:
“Puasa yang utama (afdhal) sesudah Ramadhan ialah puasa di bulan Muharram.”
(Hadits Riwayat Muslim)
Dan diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari katanya :
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ)) ((
(رواه مسلم)
Maksudnya:
“ Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam) tentang berpuasa pada hari ‘Asyura’. Maka Baginda bersabda : “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu.”
(Hadits Riwayat Muslim)
Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada hari ‘Asyura’ ,berpuasa pada hari Tasu’a’ iaitu hari yang kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata :
(( حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولُ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )).
(رواه مسلم)
Maksudnya:
“Dahulu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu, mereka berkata : “ Wahai Rasulullah ! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Asyura’ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda : “ Apabila pada tahun yang akan datang, in sha Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan.” Berkata Abdullah bin Abbas : “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam telah pun wafat.”
(Hadits Riwayat Muslim)
Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a’ (Sembilan Muharram) :
i. Bagi membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ (sepuluh Muharram) sahaja.
ii. Bagi maksud berhati-hati bepada hari ‘Asyura’ kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
iii. Bagi maksud menyambung
puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam berpuasa satu hari satu-satunya
sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi
apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’. [1]
Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari ‘Asyura’ tanpa berpuasa pada hari Tasu’a’, supaya berpuasa pada hari ke sebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi’e Rahimahullah Ta’ala menyebutkan dalam kitab Al-Umm dan Al-Imla’ disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu’a’), kesepuluh (‘Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.[2]
Terdapat satu Riwayat yang menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Asyura’. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
((صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا ))
(رواه البيهقي)
Maksudnya :
“Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan janganlah menyerupai orang Yahudi dalam perkara ‘Asyura’. (Oleh itu) berpuasalah kamu sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Selain berpuasa, disunatkan juga pada hari ‘Asyura’ untuk menggembirakan ahli keluarga.
Asy-Syeikh ‘Abdul Hamid asy-Syarwani pula ada menyebut, bahawa adalah sunat menggembirakan ahli keluarga pada hari tersebut berdasarkan hadits Rasulullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam :
مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ فِي يَوْم عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ سَنَتَهُ كُلَّهَا)) ))
(رواه الطبراني)
Maksudnya :
“Sesiapa yang melapangkan (menggembirakan) keluarganya pada hari ‘Asyura’, maka Allah akan meluaskan rezekinya di sepanjang tahun itu.”
(Hadits riwayat Thabrani)
Al-Mundziri menyebut bahawa hadits ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lainnya daripada berbagai jalan pada sahabat nabi. Sekalipun sandarannya dhaif, tetapi apabila dihimpun dengan periwayat yang lain, menjadilah ia kuat. (At-Targhib wa at-Tarhib : 2/33)[3]
واللَّه أعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment
Silakan untuk sebarang pertanyaan