Wednesday, January 06, 2021

Keperluan atau Kehendak?

 

Dalam kehidupan kita pada hari ini, kita hendaklah perlu bijak membezakan antara keperluan dan kehendak.

Keperluan merupakan barangan asas yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan seharian, tanpanya kita tidak dapat hidup seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan.

Manakala, kehendak adalah kemahuan dan pelengkap kepada keperluan asas agar kehidupan kita menjadi lebih selesa dan sempurna seperti hiburan, rumah atau kereta mewah dan alat-alat gajet. Lebih-lebih lagi pada zaman yang serba canggih ini, kemewahan tersebut seolah-olah telah menjadi keutamaan atau keperluan dalam kehidupan kita seharian. Sebenarnya barang-barang tersebut hanyalah untuk kepuasan peribadi dan tidak semestinya ada dalam kehidupan kita, malah kita masih boleh hidup tanpanya.

Oleh yang demikian, kita perlulah bijak dalam menentukan keperluan dan kehendak kita. Beringat dan berfikirlah secara rasional ketika berbelanja dan utamakanlah dahulu barang-barang yang lebih perlu. Janganlah berbelanja sehingga melebihi had dan apa yang lebih penting, kita perlu juga untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan untuk keperluan di kemudian hari. Elakkanlah pembaziran kerana ia adalah jelas merupakan  saudara syaitan sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 27 tafsirnya :

 “Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang melebihi syara’) itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada tuhannya.”

Semoga kita tidak tergolong dalam orang-orang yang suka membazir. Dan semoga kita menjadi orang yang membelanjakan harta kepada perkara-perkara yang lebih bermanfaat dan diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala. Amin

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan