Wednesday, January 06, 2021

Menjana Perubahan Minda Yang Positif

 

Untuk memastikan kejayaan dalam kehidupan, kita perlu sentiasa memiliki minda dan fikiran yang positif. Apakah ciri-ciri orang yang berfikiran positif itu?

·      Mereka yang memiliki minda yang positif itu akan sentiasa memikirkan penyelesaian kepada masalah dan bukan terlalu mengutamakan masalah. Tetapi sebaliknya lebih fokus untuk mencari penyelesaian.

·        Mereka menerima perubahan yang baik serta menangani kritikan dengan baik.

·     Mereka akan bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu dan tidak menyalahkan orang lain sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini.

·       Mereka mempunyai perancangan yang teliti, memiliki keyakinan diri yang tinggi serta sentiasa optimis dalam apa yang dilakukan.

·    Mereka yang memiliki pemikiran positif juga suka melihat kejayaan orang lain serta suka membantu orang lain mencapai kejayaan. Kejayaan di sekililing mereka dijadikan sebagai inspirasi untuk memperbaiki diri sendiri.

·        Kata-kata orang yang positif juga dipenuhi dengan mesej, nasihat atau perbualan yang positif.

Oleh yang demikian, antara tips untuk menjana perubahan yang positif itu adalah:

·         Untuk sentiasa mengalihkan fikiran kepada perkara-perkara yang positif.

·         Sentiasa menanamkan dan mengaplikasikan perkara-perkara yang positif itu dalam diri.

·         Mengamalkan nilai-nilai keagamaan dan moral yang baik.

Sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta’ala, memperbaiki diri itu adalah suatu keutamaan. Keimanan hendaklah sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan dengan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala perkara yang ditentang.

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menegaskan agar hambanya sentiasa mengubah keadaan dirinya sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d, ayat 1,

﴿إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Tafsirnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah (keadaan) apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah (keadaan) apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Justeru itu, satu-satunya manusia yang boleh merubah nasib diri adalah diri kita sendiri. Oleh sebab itu marilah kita membina wawasan dan niat yang baru kerana dengan perubahan minda yang positif itu pastinya akan melahirkan individu yang lebih berjaya dunia dan akhirat.

 

 

 

Dipetik dari majalah al-Muslimin, PDI

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan