Thursday, March 18, 2021

BILAKAH WAJIB QADHA, FIDYAH DAN KAFFARAH PUASA RAMADHAN?



Islam tidak membebankan umatnya dalam membuat perkara ibadat. Islam memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu kepada umatnya yang tidak mampu dan berdaya melakukannya. Ini termasuklah juga dalam kewajipan puasa Ramadhan, jika seseorang yang tidak mampu berpuasa dengan sebab-sebab uzur yang dibenarkan seperti sakit, musafir (dalam pelayaran), orang tua, perempuan hamil dan seumpamanya adalah di antara orang-orang yang diharuskan berbuka dengan masing-masing diwajibkan qadha sejumlah hari-hari yang tertinggal atau dengan membayar fidyah atau kedua-duanya.

Ini berdasarkan firman Allah ٍSubhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Baqarah ayat 184 :

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Tafsirnya :

“Iaitu beberapa hari yang tertentu. Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada membayar fidyah), jika kamu mengetahui.”

Menurut hukum syara’ orang yang meninggalkan puasa itu ada beberapa golongan :

1.     Orang Yang Diwajibkan Qadha Sahaja.

2.     Orang Yang Diwajibkan Qadha Dan Fidyah.

3.     Orang Yang Tidak Wajib Qadha Tetapi Wajib Fidyah.

4.     Orang Yang Diwajibkan Kaffarah.

 

1.              Orang Yang Diwajibkan Qadha Sahaja.

Qadha puasa hanya diwajibkan kepada mereka yang berbuka puasa di bulan Ramadhan, sama ada dengan keuzuran syar’i atau tidak. Di antara orang-orang yang diwajibkan qadha puasa itu ialah :

i.                Orang yang sakit yang ada harapan sembuh.

Jika puasa itu boleh mendatangkan mudharat ke atas dirinya, sama ada menambahkan sakitnya atau puasa itu melambatkan kesembuhan atau puasa itu mengekalkan sakitnya, maka adalah harus bagi orang yang sakit itu berbuka puasa Ramadhan tetapi wajib ke atasnya mengqadha puasa sebanyak hari yang ditinggalkannya setelah sembuh.

ii.               Orang yang musafir (dalam pelayaran) dengan syarat :

a.  Hendaklah jarak perjalanan pergi belayar itu, tidak kurang daripada dua marhalah iaitu 91 kilometer atau 56 batu.

b.   Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah.

c.   Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syara’ dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.

d.   Pelayaran itu hendaklah sebelum masuk waktu diwajibkan puasa seperti selepas Maghrib dan sebelum fajar.

Bagi orang yang sakit dan musafir yang diharuskan berbuka itu adalah wajib mengqadha puasa sebanyak hari yang telah dia tinggalkan. Hukum orang yang sakit dan musafir adalah sama dengan orang yang sangat lapar dan sangat dahaga. Orang seperti ini diharuskan berbuka puasa dan wajib qadha.

iii.      Perempuan yang dalam keadaan haidh dan nifas tidak wajib dan tidak sah menunaikan puasa Ramadhan. Walau bagaimanapun adalah wajib ke atas mereka qadha puasa yang tertinggal itu apabila perempuan tersebut suci daripada haidh dan nifas.

iv.      Perempuan yang hamil atau menyusukan anak jika ia takut akan mudharat ke atas dirinya atau mudharat ke atas diri dan kandungannya.

2.         Orang Yang Diwajibkan Qadha Dan Fidyah.

Fidyah ialah memberi makan orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa juga bijiran yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai gantian bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan satu mudd itu bersamaan 15 tahil (566.85 gram).

i.       Jika perempuan hamil atau menyusukan anak bimbang pada anak yang dihamilkan atau yang disusukan sahaja, tanpa dirinya, diharuskan ia berbuka, dan wajib mengqadha puasa tersebut dan membayar fidyah kerana dia berbuka untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berupaya menunaikan puasa.

Ini berdasarkan satu Riwayat yang menyebutkan bahawa ‘Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudharat kepada anaknya, adakah ke atasnya berpuasa? Lalu beliau berkata :

"تُفْطِرُ ، وَتُطْعِمُ ، مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ ، مِسْكِينًا مُدًّا مِنْ حِنْطَة "

Maksudnya :

“Berbuka dan berilah satu cupak makanan (hinthah) kepada orang miskin setiap hari.”

(Hadits Riwayat Malik)

Manakalah perempuan hamil dan menyusukan itu apabila berbuka kerana niat rukhsah sakit atau musafir, maka wajib ke atasnya qadha sahaja dan tidak wajib fidyah.

ii.   Orang yang meninggalkan puasa dan melengah-lengahkan atau melambatkan qadha, sedangkan dia berdaya sehingga datang bulan Ramadhan yang baru. Dengan demikian dia berdosa kerana melambatkannya dan wajib qadha serta fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan itu.

Kecuali bagi orang yang uzurnya berterusan sehingga tidak berdaya melakukan qadha seperti sakit atau musafir yang berterusan, perempuan hamil atau menyusukan sehingga datang Ramadhan yang lain, maka tidak wajib ke atasnya fidyah kerana melambatkan qadha itu memandangkan keuzuran sedemikian itu diharuskan.

iii.     Orang yang senghaja meninggalkan puasa tanpa uzur syar’i, adalah berdosa dan wajib qadha serta dikenakan fidyah.

3.     Orang Yang Tidak Wajib Qadha Tetapi Wajib Fidyah.

Orang yang tidak berdaya menunaikan puasa Ramadhan, Islam memberikan jalan kelonggaran tertentu kepada mereka, sama ada dengan mengqadha puasa yang ditinggalkan itu atau dengan mengeluarkan fidyah, atau kedua-duanya sekali.

i.      Orang sangat tua (yang tidak berdaya melakukannya) dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, tidak wajib ke atasnya berpuasa, tetapi diwajibkan ke atasnya fidyah.

Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman dalam surah al-Hajj ayat 78 :

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

Tafsirnya :

“Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

FirmanNya lagi dalam surah al-Baqarah ayat 184 :

وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ

Tafsirnya :

“Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

ii.       Orang yang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, dia boleh berbuka dan wajib fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan itu.

*Mengenai qadha orang yang sangat tua dan orang yang sangat sakit tidak ada harapan untuk sembuh, jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa, apakah dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu?

Dalam hal ini, ‘ulama menyatakan bahawa jika dia berdaya sebelum membayar fidyah, maka dibolehkan dia mengqadha sahaja, tetapi jika dia berdaya setelah membayar fidyah, dia tidak perlu mengqadhanya.

‘Ulama juga bersepakat adalah harus bagi orang yang sangat tua itu membayar fidyah selepas masuk fajar setiap hari.

MASALAH ORANG YANG LUPUT MENUNAIKAN PUASA RAMADHAN DAN MENINGGAL DUNIA SEBELUM DIA MENGQADHA.

Orang yang luput menunaikan puasa ramadhan dan meninggal dunia sebelum dia mengqadhanya sama ada disebabkan meninggal dunia pada bulan Ramadhan, meninggal sebelum fajar 2hb Syawal, sakit yang berpanjangan atau kerana musafir yang diharuskan sehingga meninggal, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib qadha dan tidak dikenakan fidyah.

4.     Orang-Orang Yang Diwajibkan Kaffarah.

‘Ulama bersepakat mengenai kewajipan kaffarah bagi orang yang berbuka puasa dengan melakukan persetubuhan (jima’) sama ada dengan perempuan atau binatang dengan senghaja tanpa dipaksa atau dengan maksud melanggar kehormatan dalam bulan puasa, atau bukan kerana yang diharuskan berbuka puasa.

Kaffarah kerana persetubuhan tersebut ialah:

i.                Memerdekakan seorang hamba, jika tidak ada ;

ii.              Hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak   

                  berdaya;

iii.              Hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.

Membatalkan puasa dengan jima’ (persetubuhan) yang berlaku pada siang hari bulan Ramadhan adalah haram. Akan tetapi tidak wajib kaffarah jika berlaku jima’ pada bulan-bulan yang lain selain bulan Ramadhan seperti ketika melakukan puasa sunat, nazar, qadha atau puasa kaffarah.

Apabila seorang lelaki atau perempuan berbuka dengan melakukan jima’ dengan senghaja, maka batal puasa dan berdosa. Wajib dia qadha puasa dan kaffarah bersama ta’zir. ‘Ulama berbeza pendapat tentang siapakah yang dikenakan kaffarah sama ada suami atau isteri atau kedua-duanya sekali? Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama Syafi’e, kaffarah hanya wajib ke atas suami sahaja.

Jika berlaku jima’ itu dua hari atau lebih dalam bulan Ramadhan, ‘ulama sepakat bagi setiap hari dikenakan kaffarah. Dan jika ia melakukan jima’ beberapa kali dalam satu hari atau pada hari yang sama, dia hanya dikenakan satu kaffarah.

Jika berlaku jima’ dalam keadaan musafir yang diharuskan, puasa terbatal dan tidak wajib kaffarah dengan jima’ tersebut.

Begitu jika dia menyangka (zhann) matahari telah masuk dan berlaku jima’, sedangkan hari masih siang (belum masuk matahari), dihukumkan tiada kaffarah kerana dia tidak bermaksud untuk melakukan yang dilarang.

Manakala jika dia syak di siang hari, sama ada berniat puasa di malam hari atau sebaliknya, kemudian berlaku jima’ dalam keadaan syak itu, lalu dia teringat bahawa dia telah berniat, maka batal puasanya dan tidak wajib kaffarah.

Begitu juga tidak wajib kaffarah jika jima’ itu berlaku setelah terbatal puasa oleh perkara-perkara yang lain seperti makan, minum dan sebagainya.

Berdasarkan penjelasan di atas, bahawa ibadat puasa itu wajib ditunaikan kecuali bagi orang-orang diberikan kelonggaran tertentu oleh syara’. Supaya tidak akan membebankan umat Islam itu untuk melaksanakan kewajipan. Namun ibadat puasa yang ditinggalkan samada dengan sebab uzur syar’i atau tidak,Islam telah mewajibkan ke atas mereka qadha atau fidyah ataupun kaffarah.

Oleh yang demikian, mana-mana orang yang wajib ke atasnya kaffarah dan fidyah, hendaklah mengambil perhatian tentang perkara ini. Sementara yang wajib qadha pula tidak akan melengah-lengahkan atau menunda-nunda qadhanya sehingga masuk Ramadhan yang akan datang.

 

 

 

Petikan : dari buku Irsyad hukum, 1999, Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.

Tuesday, March 09, 2021

Cabaran Mu’minah Salihah Masa Kini: Hambatan Globalisasi


Dalam menjalani  kehidupan  seharian,  setiap  orang  pasti  akan  menghadapi  pelbagai  rintangan,  cabaran  dan  tantangan.  Begitu juga para mu’minah salihah, mereka tidak terlepas dari  menghadapi  cabaran  dan  tantangan  sama  ada dalam menjaga keperibadian diri dan ketika melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Seperti  yang  diketahui  cabaran  akan  sentiasa  berubah  mengikut  perubahan  dan  peredaran  masa.  Namun yang  pasti  musuh-musuh  Islam  akan  sentiasa  berusaha untuk menyuntik anasir-anasir jahiliah ke dalam jiwa muslimah melalui pelbagai  cara  yang  bertujuan  untuk  merosakkan  iman,  aqidah  dan  perpaduan  masyarakat  Islam.  Antara cabaran yang  dihadapi  oleh  mu’minah  salihah  pada  masa kini ialah hambatan globalisasi iaitu celik IT, itulah yang dapat diistilahkan kepada masyarakat dunia masa kini. Sedari mula lagi kanak-kanak yang berusia dua  tahun  sudah  pandai  menggunakan  alat  teknologi  canggih  seperti  telefon  pintar (smartphone), ipad, Notebook dan sebagainya. Kemudian kecanggihan ini tidak terhenti di sini sahaja malah pelbagai aplikasi moden yang dikenali sebagai ‘media baru’ seperti facebook, whatsapp, twitter, kik messenger, skype juga telah menjadikan dunia ini semakin  kecil  tanpa  sempadan  kerana  kemudahan  untuk  berhubung di mana sahaja dapat dilakukan dengan pantas dan singkat.

Kemudahan-kemudahan   yang   ada   pada masa kini  semakin  mendominasikan  masyarakat  dunia  amnya  termasuklah  juga  para  wanita  mu’minah.  Adapun kemunculan pelbagai       teknologi       canggih  dan  alat  perhubungan  yang  dihasilkan  mempunyai  kebaikan  yang  dapat  diambil  daripadanya,  namun  ia  juga  memberikan  impak  negatif  jika  ia  disalahgunakan. Hambatan  Globalisasi  ini  mengakibatkan berlakunya pengabaian tanggungjawab  dari  melaksanakan  kewajipan  fitrah  wanita  mu’minah  iaitu  sebagai seorang   hambaNya,   ibu,   isteri   dan   sebagainya.    Misalnya    seperti    jika    keasyikan  melayari  sesawang  internet  dan    kelekaan    bermain    permainan    game  mudah  alih  menjadi  satu  tabiat,  bukan  setakat  kewajipan  asasi  sahaja  terbengkalai  bahkan  sikap  perpaduan  seorang    mu’minah    salihah    dalam    bermasyarakat juga terhakis.

Serangan   yang   dibawa   oleh   arus   globalisasi  sedikit  sebanyak  memberi  impak negatif jika wanita mu’minah tiada bekalan  iman  dan  ilmu  pengetahuan  yang    secukupnya.    Yang    pastinya    kecanggihan  sistem,  komunikasi  dan  teknologi   informasi   kini   jika   disalahgunakan  boleh  menyumbang  kepada  berlakunya  gejala  sosial  yang  berupa  krisis keruntuhan moral dan akhlak. Tidak   syak   lagi   semakin   maju   dan   membangun   sesebuah   bangsa   itu,   semakin   banyak   pula   orang   yang   tersungkur  lupa  diri,  kehilangan  arah  kiblat,  Islam  tapi  buta  al-Qur’an,  tidak  mengendahkan    ajaran    Tuhan    dan    agama   diperlakukan   hanya   sebagai   simbol hidup. Dalam hal ini wanita Islam memerlukan kebijaksanaan  agar  dapat  mengawal,  mengenal pasti dan melihat kewajaran tentang  sesuatu  yang  baik  atau  yang  buruk     dengan     menjadikan Islam  sebagai teras penilaian.

 

Petikan buku terbitan Pusat Da’wah Islamiah, 2014:  Mu’minah Salihah Pembentukan Generasi Bertaqwa.