Tuesday, March 09, 2021

Cabaran Mu’minah Salihah Masa Kini: Hambatan Globalisasi


Dalam menjalani  kehidupan  seharian,  setiap  orang  pasti  akan  menghadapi  pelbagai  rintangan,  cabaran  dan  tantangan.  Begitu juga para mu’minah salihah, mereka tidak terlepas dari  menghadapi  cabaran  dan  tantangan  sama  ada dalam menjaga keperibadian diri dan ketika melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Seperti  yang  diketahui  cabaran  akan  sentiasa  berubah  mengikut  perubahan  dan  peredaran  masa.  Namun yang  pasti  musuh-musuh  Islam  akan  sentiasa  berusaha untuk menyuntik anasir-anasir jahiliah ke dalam jiwa muslimah melalui pelbagai  cara  yang  bertujuan  untuk  merosakkan  iman,  aqidah  dan  perpaduan  masyarakat  Islam.  Antara cabaran yang  dihadapi  oleh  mu’minah  salihah  pada  masa kini ialah hambatan globalisasi iaitu celik IT, itulah yang dapat diistilahkan kepada masyarakat dunia masa kini. Sedari mula lagi kanak-kanak yang berusia dua  tahun  sudah  pandai  menggunakan  alat  teknologi  canggih  seperti  telefon  pintar (smartphone), ipad, Notebook dan sebagainya. Kemudian kecanggihan ini tidak terhenti di sini sahaja malah pelbagai aplikasi moden yang dikenali sebagai ‘media baru’ seperti facebook, whatsapp, twitter, kik messenger, skype juga telah menjadikan dunia ini semakin  kecil  tanpa  sempadan  kerana  kemudahan  untuk  berhubung di mana sahaja dapat dilakukan dengan pantas dan singkat.

Kemudahan-kemudahan   yang   ada   pada masa kini  semakin  mendominasikan  masyarakat  dunia  amnya  termasuklah  juga  para  wanita  mu’minah.  Adapun kemunculan pelbagai       teknologi       canggih  dan  alat  perhubungan  yang  dihasilkan  mempunyai  kebaikan  yang  dapat  diambil  daripadanya,  namun  ia  juga  memberikan  impak  negatif  jika  ia  disalahgunakan. Hambatan  Globalisasi  ini  mengakibatkan berlakunya pengabaian tanggungjawab  dari  melaksanakan  kewajipan  fitrah  wanita  mu’minah  iaitu  sebagai seorang   hambaNya,   ibu,   isteri   dan   sebagainya.    Misalnya    seperti    jika    keasyikan  melayari  sesawang  internet  dan    kelekaan    bermain    permainan    game  mudah  alih  menjadi  satu  tabiat,  bukan  setakat  kewajipan  asasi  sahaja  terbengkalai  bahkan  sikap  perpaduan  seorang    mu’minah    salihah    dalam    bermasyarakat juga terhakis.

Serangan   yang   dibawa   oleh   arus   globalisasi  sedikit  sebanyak  memberi  impak negatif jika wanita mu’minah tiada bekalan  iman  dan  ilmu  pengetahuan  yang    secukupnya.    Yang    pastinya    kecanggihan  sistem,  komunikasi  dan  teknologi   informasi   kini   jika   disalahgunakan  boleh  menyumbang  kepada  berlakunya  gejala  sosial  yang  berupa  krisis keruntuhan moral dan akhlak. Tidak   syak   lagi   semakin   maju   dan   membangun   sesebuah   bangsa   itu,   semakin   banyak   pula   orang   yang   tersungkur  lupa  diri,  kehilangan  arah  kiblat,  Islam  tapi  buta  al-Qur’an,  tidak  mengendahkan    ajaran    Tuhan    dan    agama   diperlakukan   hanya   sebagai   simbol hidup. Dalam hal ini wanita Islam memerlukan kebijaksanaan  agar  dapat  mengawal,  mengenal pasti dan melihat kewajaran tentang  sesuatu  yang  baik  atau  yang  buruk     dengan     menjadikan Islam  sebagai teras penilaian.

 

Petikan buku terbitan Pusat Da’wah Islamiah, 2014:  Mu’minah Salihah Pembentukan Generasi Bertaqwa.

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan