Wednesday, March 03, 2021

KEHEBATAN 3 QUL

 


3 Qul adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlash dan surah al-Mu’awwizatain (Surah al-Falaq dan Surah an-Nas). Ketiga-tiga surah ini, walaupun pendek, ia dianggap juga sebagai surah-surah yang terbesar di dalam al-Qur’an. Diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada ‘Uqbah bin Amir Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah bersabda :

أُنْزِلَتْ عَلَيَّ اللَّيْلَةَ لَمْ يُرَ مِثْلَهُنَّ قّطُّ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ

Maksudnya :

Tidakkah engkau tahu tentang ayat yang diturunkan kepada aku pada malam tadi yang tidak pernah ada bandingan sama sekali iaitu قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ dan قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ.

Diriwayatkan oleh al-Imam ath-Thabrani, daripada Aslam Abu ‘Imran. Sesungguhnya dia mendengar ‘Uqbah bin ‘Amir berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda :

يَا عُقْبَةُ بْنَ عَامِرِ ، إِنَّكَ لَنْ تَقْرَأَ سُورَةً أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ، وَلَا أَبْلَغَ عِنْدَهُ مِنْ أَنْ تَقْرَأَ : قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا تَفُوتَكَ فِى الصَّلَاةِ فَافْعَلْ.

Maksudnya :

Wahai ‘Uqbah bin Amir : Sesungguhnya engkau tidak akan membaca surah yang lebih disukai oleh Allah dan tiada yang lebih tinggi di sisiNya daripada engkau membaca قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ jika sekiranya engkau berdaya /mampu untuk tidak meninggalkan (surah itu) dalam sembahyang, maka lakukanlah.

Dan sabda baginda lagi sebagaimana Riwayat Imam Muslim, daripada ‘Uqbah bin Amir Radhiallahu ‘anhu :

اِقْرَأْهُمَا كُلَّمَا نِمْتَ وَكُلَّمَا قُمْتَ

Maksudnya :

Bacalah keduanya setiap kali engkau hendak tidur dan setiap kali engkau bangun.

Surah al-Falaq dan Surah an-Nas dinamakan al-Mu’awwizatain iaitu surah yang menjadi amalan kepada Rasulullah bagi beristi’azah (berlindung dengan Allah daripada godaan dan fitnah syaitan).

Rasulullah pernah berpesan supaya kita selalu membaca kedua surah ini setiap kali selepas sembahyang seperti hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, daripada ‘Uqbah bin Amir, berkata bahawa :

أَمَرْنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقْرَأَ بِالْمُعَوِّذَتَيْنِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya :

Rasulullah menyuruh saya membaca al-Mu’awwizatain pada setiap selepas sembahyang.

Manakala Surah al-Ikhlash, pahala membacanya adalah sama seperti membaca satu pertiga daripada al-Qur’an. Membaca surah al-Ikhlash tiga kali seperti yang selalu kita lakukan selama ini bererti seolah-olah kita telah membaca al-Qur’an sekali khatam 30 juz sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadits Riwayat Imam Muslim dan at-Tirmidzi, bahawa Rasulullah bersabda :

(قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) تَعْدِلُ ثُلُتَ الْقُرْءَانِ

Maksudnya :

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ itu menyamai satu pertiga daripada al-Qur’an.

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan, daripada Abi Ayyub bahawa Rasulullah telah bersabda :

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْءَانِ، مَنْ قَرَأَ اللَّهُ الْواحِدُ الصَّمَدُ فَقَدْ قَرَأَ ثُلُتَ الْقُرْءَانِ

Maksudnya :

Tidakkah boleh seorang daripada kamu membaca satu pertiga daripada al-Qur’an pada suatu malam ? Barangsiapa membaca اللَّهُ الْواحِدُ الصَّمَدُ (Surah al-Ikhlash) bererti dia telah membaca sepertiga daripada al-Qur’an.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Abu Daud dan an-Nasa’ie dalam satu hadits yang bermaksud:

Bacalah surah-surah : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ, قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ, قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ , tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali waktu petang supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana.

Rasulullah   mempunyai amalan tersendiri mengenai surah-surah tersebut. Menurut al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa baginda ketika berada di tempat tidurnya setiap malam, baginda menemukan dua tapak tangannya, kemudian menghembuskan pada keduanya bacaan surah-surah قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ, قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ dan قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ, kemudian baginda sapukan kedua tapak tangannya itu kepada semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya. Baginda sapukan ke atas kepala, dan mukanya dan bahagian hadapan badannya. Baginda berbuat demikian sebanyak tiga kali. (Riwayat Ashabus Sunan).

Surah al-Ikhlash juga mempunyai banyak kelebihan antaranya boleh menghapuskan dosa  sebagaimana Imam at-Tirmidzi meriwayatkan, sabda Rasulullah :

أَنَ رَجُلًا قًالَ يَا رَسُولُ اللَّه إِنِّي أُحِبُ هَذِهِ السُّورَةَ ( قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) حُبَّكَ إِيَّاهَا يُدْخِلُكَ الْجَنَّةَ

Maksudnya :

Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah : Saya cintakan surah ini ( قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ) (Maka sabda baginda): cintamu kepadanya itu menyebabkan engkau masuk syurga.

 

No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan