Thursday, April 08, 2021

Ramadhan Berkunjung

 

 

Kini, keberadaan kita di penghujung bulan Sya’ban dan akan memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di bulan Ramadhan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 183, tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.”

Sesungguhnya puasa dan amal ibadah yang dikerjakan di bulan Ramadhan telah dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Oleh itu, rebutlah peluang tersebut dengan melaksanakan kewajipan berpuasa dengan kesempurnaan yang maksimum dan perbanyakkanlah amal ibadah di dalamnya dengan pengisian seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengeluarkan zakat, berselawat, berzikir, beristighfar, menunaikan sembahyang-sembahyang sunat terutamanya sembahyang sunat tarawih dan sunat witir, qiamullail dan sebagainya.

Berpuasa dalam bulan Ramadhan juga mengajar kita agar tidak melakukan pembaziran dan tidak berlebih-lebih dalam menyediakan dan menikmati juadah berbuka puasa, seseorang yang makan berlebihan boleh menyebabkan lalai dan malas untuk mengerjakan sembahyang dan ibadah-ibadah yang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-A’raf ayat 31 tafsirnya:

“Wahai anak-anak adam! Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mendirikan sembahyang (dan tawaf), serta makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Justeru, bulan Ramadhan ini adalah kesempatan yang terbaik untuk kita memperbaiki diri dari sudut ibadah dan taqarrub kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Amat merugikan sekiranya di bulan Ramadhan ini kita hanya sekadar berpuasa di siang hari dan melepaskan peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan amalan merebut pahala yang berganda.


No comments:

Post a Comment

Silakan untuk sebarang pertanyaan